8/11/2007

Pengenalan al-Arqam

Oleh : Muhammad Mujahid bin Muhammad Fadzil
Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar Kaherah

Al-Arqam merupakan sebuah fahaman (aliran pemikiran, bukan sebuah agama) yang menyerapkan pengamalan dan nilai (akhlak) tasawwuf tanpa menekankan aspek syariat (fiqh dan hukum hakam sekitarnya) yang sebenar (berdasarkan disiplin-disiplin tertentu) dan keshahihan ilmu (aspek penerimaan ilmu dan kaedah-kaedahnya dalam berhujah atau berpegang).

Di sini, saya cuba menggunakan pemikiran yang pertengahan di dalam membuat dan menghasilkan keputusan yang akan dipertimbangkan sendiri oleh pembaca.Antara yang perlu diberi perhatian di dalam penyampaian ilmu samada berbentuk naqli ataupun aqli, di sana terdapat beberapa kaedah yang sepatutnya dijaga dan dipelihara di dalam proses tersebut.

Setelah kita meneliti semua penulisan, penyampaian, rakaman mahupun pertuturan, kita akan mendapati beberapa masalah di dalam pembahagian-pembahagian berikut. Antaranya:- Penggunaan Dalil al-Arqam@Rufaqa' di Dalam Berhujah atau Beri'tikad

1)Penggunaan dalil al-Quran Kebanyakan pertuturan, uslub dan sebagainya kurang disandarkan kepada dalil al-Quran. Ia banyak bersandarkan kepada tasawwuf semata-mata, dan nilai-nilai murninya. Sedangkan al-Quran sendiri lebih mengetengahkan dan menjelaskan uslub tersebut.

Selain itu, penggunaan dalil al-Quran sebagai hujah amat lemah, walaupun ada beberapa penggunaannya, namun masih tidak mengikut kaedah tafsir yang sebenar. Di dalam penafsiran al Quran, al-Arqam juga agak kurang menggunakan tafsiran ulama’-ulama’ yang muktabar dan lebih tepat dengan kehendak ayat.

Dalil-dalil al-Quran lebih banyak dan jelas di dalam persoalan Hari Kiamat, tetapi penggunaannya di dalam sebaran pegangan mereka agak berkurangan. Sekiranya mereka dikatakan sebagai pakar Ilmu Akhirat sekalipun, mereka sepatutnya lebih menonjolkan dalil-dalil al-Quran terlebih dahulu. (Sila rujuk kitab an-Nihayah Fi al-Fitani Wa al-Malahim, an-Nihayah Bidayah Wa an-Nihayah, Ibnu Kathir, as-Shohih al Musnad Fi Ahadithi al-Fitani Wa al Malahimi Wa Asyratu as-Sa’ah, Mustafa bin al-Adawiy dan banyak lagi).

2)Penguasaan Ilmu Hadith Ilmu Hadith atau disebut Ulum Hadith atau Mustolah Hadith yang sangat penting di dalam pemahaman dan penggunaan hadith sebagai hujah. Kebanyakan hadith yang menceritakan tentang Hari Kiamat dikategorikan sebagai Hadith Ahad. Namun penggunaannya sebagai hujah dan pegangan diakui oleh kebanyakan ulama’, seperti Imam Shayuti, Tadribu ar-Rawiy dan disyarahkan oleh Dr Umar Hasyim, Syeikh Hassan Sagaf, Syarh Aqidah Thohawiyah dan banyak lagi.

Namun begitu, hadith-hadith yang berkaitan dengan Bani Tamim, hampir keseluruhannya dho’if (disebut di dalam Kitab al-Fitan, al Imam al Hafiz Nu’aim bin Hammad bin Mu’awiyah bin al Harith al Khuza’ie al Marwazi. Sepanjang pengkajian saya berkenaan hadith Bani Tamim, saya belum menemui Hadith Shahih yang jelas di dalam bab ini)

Hadith dho’if telah disepakati oleh ulama’-ulama’ hadith bahawa ia tidak boleh dijadikan hujah, apatah lagi di dalam bab Akidah. (Sila rujuk kitab-kitab ini di dalam perbahasan Hadith Dho’if, Tadribu ar-Rawiy, Imam Syayuti, Nukhbatul Fikr, Ibnu Hajar al-Asqolani, Mukaddimah Ibnu Solah, Mukaddimah Majmu’ dan banyak lagi).

3)Pemahaman hadith Di dalam pemahaman al-Arqam@Rufaqa’ terhadap hadith Nabi SAW, mereka boleh dikategorikan sebagai seorang yang tersilap di dalam membuat penafsiran tersebut, kerana kaedah-kaedah yang telah digariskan oleh ulama’-ulama’ (al muhaddith, al hafiz, al Hujjah, al Hakim dan amirul mu’minin).

Mereka agak lemah di dalam memahami dan perbandingan hadith. Contohnya di dalam hadith Bani Tamim sendiri, menyebut bahawa kemunculan golongan ini di “timur” (hadith no. 852, sanadnya dho’if, Kitab al-Fitan, al Imam al Hafiz Nu’aim bin Hammad bin Mu’awiyah bin al Harith al Khuza’ie al Marwazi. Ditakhirjkan oleh Abu Amru ad-Dani 5/546, Ibnu Abi Ashim Sunnah 2/633, Ibnu Majah 4082, al Bazar 1/246, Ibnu Abi Syaibah Musannif 7/527, at Thobroni 10/85 dan Hakim 4/464. Sanad lemah pada Yazid bin Abi Ziyad).

“Timur” yang dimaksudkan di sini ialah Afrika (perkataan umum, mungkin boleh dikatakan sebagai negara di Afrika, Raja di Benua Afrika dan sebagainya) tetapi ia bukanlah Negara Malaysia sepertimana yang ditafsirkan oleh al-Arqam@Rufaqa’. (Pandangan ini telah di dinyatakan oleh Abu Qubail di dalam Kitab al-Fitan 4/215 dan telah disebut juga oleh Imam Syayuti di dalam Kitab al Hawi 2/68).

Selain itu, Dr Mustafa Murad (PhD Dakwah Universiti al-Azhar di dalam kitabnya Nihayatul Alam) mentafsirkan hadith tentang kemunculan mereka di Timur ialah negara Islam di sebelah tengah Asia, contohnya Negara Afghanistan, Daghastan, Turkistan, Tarjikistan, Turkimanistan, Pakistan, Bukharistan dan Checnya. (Dr Mustafa Murad, Nihayah al Alam, ms 151).

Kesimpulan

Al-Arqam@Rufaqa’ masih lemah di dalam aspek memberi hujah atau berpegangan dengan dalil. Apa yang dinyatakan di sini, banyak dirujuk berdasarkan perbandingan yang dibuat berdasarkan kitab-kitab hadith. Kebanyakan sebaran fahaman ini, tidak disandarkan kepada ulama’-ulama’ yang sepatutnya. Mereka hanya bersandarkan dalil yang dibawa di dalam perjumpaan mereka semata-mata tanpa mengkaji secara mendalam perkara dan perbandingan tersebut.

Kelemahan ini jelas kelihatan, walaupun golongan Tabligh juga menggunakan Hadith Dh’oif sebagai amalan dan menyampaikan hadith tanpa mempelajarinya (hanya di dengari), namun golongan ini tidak mengeksploitasikannya di dalam aspek Akidah.

Masalah ini jelas kelihatan pada al-Arqam@Rufaqa’ yang “berpegang” dengan dalil-dalil dho’if dan berhujah dengannya. Selain itu, mereka banyak menaqalkan hadith berdasarkan apa yang didengari tanpa mempelajari hadith tersebut. Ini akan menyebabkan banyak kesilapan makna dan tiada pertimbangan dengan hadith-hadith lain.

AYAT-AYAT CINTA

Oleh : Mohd Zuhaili Bin Saiman
Kuliah Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar Kaherah

ASSALAMUALAIKUM WBT

Salam manis tanpa gula dilemparkan kepada para pembaca yang tidak mengenal erti penat dan lelah yang sentiasa mengambil risalah Fajar Jumaat setiap minggu.

Tatkala ditaklifkan sebagai penulis risalah Fajar Jumaat pada kali ini, termenung seketika di benak akal fikiran, tajuk apakah yang menepati citarasa dan selera untuk santapan para pembaca yang berstatus AL-AZHAR. Namun ianya bukanlah menjadi masalah yang rumit lagi belit, kerana kita ini semuanya manusia yang tidak dapat lari daripada perasaan CINTA..

Masih ingatkah bagaimana Adam a.s merasakan CINTA yang membara dalam hatinya untuk mempunyai teman hidup, lalu Maha Suci Allah menciptakan Hawa sebagai pasangan. Jadi, khalifah muka bumi yang pertama yang juga nabi Allah pun tidak lari daripada kalimah CINTA ini, apakan pula kita yang maha kerdil ini.

Sedar atau tidak, setiap insan yang diciptakan dalam keadaan lemah ini, disemat dalam kehidupannya perasaan CINTA. Mafhum-Nya yang bermaksud :

‘Dihiasi dalam diri manusia CINTA terhadap syahwat berupa wanita, anak-anak, harta benda yang berbentuk emas dan perak, kuda pilihan haiwan ternakan dan ladang-ladang
( Ali-imran:14 )

Syariat tidak pernah menghalang perasaan CINTA sejak dahulu lagi, kalau tidak masakan Hawa dicipta sebagai ‘sayap kiri’ adam? Malah dengan CINTA manusia mendapat dorongan. Namun tidak mustahil dikatakan dengan CINTA juga manusia mendapat godaan. Namun ianya bukan alasan untuk kita tidak perlu membarakan perasaan CINTA yang wujud dalam jiwa, kerana adanya syurga beserta neraka, wujudnya malaikat beserta syaitan.

Dalam Al-Quran juga menggalakkan CINTA. Mafhum-Nya yang bermaksud :

“Katakanlah (Muhamad) sekiranya kamu cintakan Allah maka ikutilah aku,nescaya kamu akan dikasihi Allah..” (Ali-Imran:31)

Namun CINTA yang diperhangatkan janganlah kita melebihi ‘tobaqat’ yang telah disusun oleh Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. CINTA kita terhadap-Nya mestilah didahului akan segala isi perut dunia. Hamba-Nya yang taat, sama sekali tidak akan sempurna imannya tanpa di’combain’kan CINTA terhadap kekasih-Nya, nabi Muhamad s.a.w kerana mentaati baginda serupalah mentaati-Nya.

Sabda rasulullah:

‘Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah dia mencintaiku melebihi kedua ibu bapanya dan sekalian manusia’

Mafhum-Nya: “Barangsiapa yang mentaati rasulullah maka dia telah mentaati Allah.” ( Muttafaqun Alaih )

Mesti para pembaca pernah membaca, menghafaz malah mengajar orang mengenai mengikhlaskan niat atau menjadi hamba yang bergelar mukhlis. Perkara yang menari-nari di lidah bukannya mudah untuk dipamerkan dengan kelakuan, perkara yang dipamerkan pula bukan mudah untuk direalisasikan di hati. Begitulah ikhlas. Bukan mudah untuk kita mencapai tahap ini tanpa adanya kewujudan CINTA.

Menyingkap kembali sirah-sirah para anbiya’, para sahabat, para ulama’, tidak lupa juga para srikandi islam, bagaimana mereka boleh mencapai martabat mukhlis dalam setiap kelakuan dan keadaan tanpa perasaan CINTA?

Lihat sahaja pada srikandi islam Rabiah Adawiyah. Betapa dalamnya CINTAnya kepada Allah. Setiap zikir munajatnya disulami dengan lafaz-lafaz CINTA terhadap-Nya. Sebagai manusia, kita tidak dapat tidak untuk hidup bersama. Kita tidak boleh ‘mencampak’ orang lain ke belakang. Malah perasaan CINTA juga perlu disalurkan kepada mereka samada yang istimewa atau biasa.

Sabda baginda yang bermaksud :

“Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia MENCINTAI sedaranya sebagai mana dia mencintai dirinya.”

Ini adalah ‘tobaqat CINTA yang ke-3 selepas CINTA terhadap Allah dan kekasih-Nya, Muhamad. Maka tidak akan mencapai nikmat bahgia jikalau tanpa ketiga-tiga CINTA ini.

Justeru, bangkitlah wahai para AZHARI semarakkanlah CINTA suci ini yang telah dikurniakan oleh Allah. Tanpa dorongan CINTA, mustahil adanya hamba yang bergelar mukhlis fi din. Tanpanya juga maka berat punggunglah mahassiwa AZHARI untuk talaqi kerana tiada perasaan CINTA pada ilmu.

Maka terpulanglah kepada diri masing-masing untuk menyemarakkan CINTA ini mengikut citarasa dan skill yang kena dengan pemiliknya. Ketahuilah “Adam turut sunyi tanpa perasaan CINTA, Hawa juga begitu. Anda bagaimana?

KEBINASAAN LIDAH

Oleh : Siti Nur Hafizah binti Abu Bakar

Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar Iskandariah


Sabda Rasulullah sallahu alaihi wasallam :

“ Tidaklah hasil tuaian lidah manusia itulah yang telah menghumbankan muka mereka ke dalam neraka ? ”


Disebalik kecilnya lidah kita yang diciptakan oleh Allah Taala, disana tersimpan pelbagai peranan yang besar yang mesti diketahui oleh sesiapa yang memiliki anggota unik tersebut. Yang demikian ini dalam soal keimanan dan kekufuran akan seseorang tidak dapat diketahui dan tidak boleh dikenal pasti melainkan dengan kesaksian lidah . Dengan disebabkan lidah yang tidak bertulang itu boleh membawa manusia ke lembah kebinasaan dan kejahatan. Begitu juga sebaliknya, ia boleh membawa manusia ke jalan kebaikan dan kebahagiaan.

Sesungguhnya ia merupakan salah satu senjata dan wasilah syaitan untuk menipu manusia dan mengajak mereka ke lembah kemusnahan dan kerugian. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Sufyan dari ayahnya, dimana ayahnya berkata :

“ Aku berkata : Wahai Rasulullah ! Khabarkan kepadaku tentang Islam akan sesuatu hal, dimana aku tidak akan bertanya lagi tentang itu kepada seseorang sesudah Engkau.’ Maka Rasulullah sallahu alaihi wasallam menjawab : “ Katakanlah ! Aku beriman dengan Allah. Kemudian engkau berpendirian teguh.’ Lalu Aku bertanya lagi.’ Apakah yang perlu Aku pelihara ?’. Maka Nabi sallahu alaihi wasallam menunjukkan dengan tangannya kepada lidahnya.”

( Riwayat Tirmidzi )

Bahaya lidah itu terlalu besar. Tidak selamat dari bahayanya melainkan dengan diam atau berkata-kata dengan kebaikan. Sebagaimana Abu Hurairah berkata, Rasulullah sallahu alaihi wasallam bersabda :

“ Barang siapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau dia diam. ”

( Riwayat Bukhari dan Muslim )

Begitu juga Ibn Thaus berkata : “ Lidah ku itu umpama binatang buas. Jikalau aku lepaskan, nescaya ia memakan aku.”Di dalam hal ini, timbul persoalan mengapa begitu sekali dianjurkan sifat menzipkan mulut dari banyak bercakap atau kata-kata, seolah-olah mempunyai kelebihan dan hikmah yang tersendiri ? Sememangnya jawapan sudah terukir kemas di dalam benak fikiran sahabat-sahabiah semua. Pendek kata, banyak yang silap berbanding yang sebaliknya. Akan tetapi amat berutung dan bahagia bagi mereka yang sentiasa memelihara dan menahan lidahnya dari terjebak pada pembohongan,mengumpat, nifaq, perkataan yang keji, perbantahan , permusuhan, menyakiti orang lain dan perbuatan yang sia-sia.

Dalam hal ini, Hujjatul Islam Imam Ghazali di dalam karyanya yang agung Ihya’ Ulumuddin telah mengklafikasikan percakapan itu kepada empat bahagian :

Pertama : Mudharat semata-mata

Kedua : Manfaat semata-mata

Ketiga : Ada Mudharat dan Manfaat

Keempat : tidak ada mudharat dan manfaat

Selain itu juga, Imam Ghazali telah menyenaraikan beberapa jenis bahaya dan kebinasaan lidah serta kesulitan dalam menjaganya. Antaranya ialah :

KEBINASAAN PERTAMA :

BERCAKAP PADA PERKARA YANG TIDAK DIPERLUKAN

Kita disarankan supaya bercakap dan berbual pada perkara yang dibolehkan selagi mana ianya tidak bertentangan dan memudharatkan diri sendiri dan orang lain, kecuali berkata-kata pada perkara yang tidak dihajati. Alangkah baiknya sekiranya kita gantikan perbualan kosong kita kepada perkara yang lebih baik, berzikir atau berfikir pada perkara yang mendatangkan hasil baik kerana sangat besar faedahnya. Berapa banyak zikir yang boleh memberatkan neraca timbangan kita dan dapat membina istana indah di syurga kelak. Modal seseorang hamba Allah taala itu adalah waktunya. Sekiranya dibazirkan pada perkara yang tidak diperlukan dan tidak disimpan untuk pahala akhirat, maka dia sudah mensia-siakan modalnya. Oleh kerana inilah Nabi sallahu alaihi wasallam bersabda :

“ Diantara keelokan Islam seseorang itu ialah meninggalkan apa yang tidak diperlukannya.”

( Riwayat Tarmidzi )

KEBINASAAN KEDUA :

PERCAKAPAN YANG BERLEBIHAN

Percakapan yang berlebihan ini boleh kita klasifikasiikan sebagai percakapan yang berlebihan dari keperluan yang sepatutnya. Oleh kerana percakapan yang berlebihan mendatangkan pelbagai kesilapan samada secara sedar atau sebaliknya. Sebagaimana sabda Nabi sallahu alaihi wasallam :

“ Berbahagialah orang yang menahan kelebihan dari lidahnya dan membelanjakan kelebihan dari hartanya.”

Akan tetapi apa yang berlaku dikalangan masyarakat manusia sekarang adalah sebaliknya. Mereka menahan lebihan harta mereka dan melepaskan kelebihan lidah. Sebagaimana Ibrahim an-Nakha’i pernah berkata : “ manusia dibinasakan oleh dua sifat; kelebihan harta dan kelebihan perkataan.”

KEBINASAAN KETIGA :

PERTENGKARAN DAN BERBANTAH-BANTAHAN

Sebagaimana sabda Nabi sallahu alaihi wasallam :

“ jangan kamu bertengkar atau berbantah-bantah dengan saudaramu, jangan kamu persendakan-sendakan dia dan jangan berjanji sesuatu janji,lalu engkau menyalahi janji itu.”

Orang yang biasa berbantah-bantah dan bertengkar tidak terlepas dari menyakiti dan mengobarkan kemarahan lawannya. Kadang-kadang boleh membawa kepada menegakkan hujahnya dengan apa cara sahaja, samada dengan cara yang hak atau batil. Sememangnya ini adalah suatu sifat yang sukar untuk dinyahkan lebih-lebih lagi sekiranya seseorang itu yang terlibat dalam pertengkaran atau seumpamanya merasa dirinya di pihak yang benar. Terasa berat jiwanya untuk mengalah atau berdiam diri .

Kerana itulah Nabi sallahu alaihi wasallam bersabda : “ Barang siapa meninggalkan pertengkaran sedangkan dia di pihak yang benar,nescaya dibinakan sebuah rumah baginya di dalam syurga tertinggi dan barang siapa meninggalkan pertengkaran sedangkan dia di pihak yang salah, nescaya dibina baginya sebuah rumah di tengah-tengah syurga.”

( Riwayat Tirmidzi )

Beginilah keadaan apabila kita yang mempunyai lidah dan anggota-anggota lain yang cukup sempurna ciptaanya yang dianugerahkan oleh Allah taala kepada kita akan tetapi tidak pernah rasa untuk mendidik dan memelihara nikmat ini dengan sebaiknya sebagai tanda syukur kita kepada Pencipta Yang Esa dalam mencari redhaNya.

Percayalah, sesungguhnya amat mulia kedudukan dan darajat bagi mereka yang sentiasa berpenat-lelah , cekal, tabah dan bersusah-payah dengan apa jua cara sekalipun untuk memastikan dirinya, amalanya dan segala ibadatnya sentiasa dibayangi dengan rahmat Allah taala dan redhaNya.

Salam Retrospektif dan berubah.

ENGKAU DAN AKU BERBEZA

Oleh : Muhammad Najid Bin Abdullah
Kuliah Syariah Islamiah Kaherah

Saya masih berminat untuk meneruskan perbincangan melalui jalan penceritaan berkenaan dangan modul sebagai satu seni uslub dalam berdakwah. pada MODUL OH MODUL 1 telah saya takrifkan apa yang saya maksudkan dengan modul sebagai cabang seni uslub. Harapan saya agar konsep dan caragaya saya bercerita dapat difahami dan dihayati misi tersurat dan tersirat. Ku Mohon....

Dalam kehidupan harian seorang mukmin, kita tidak terlepas daripada menyumbang untuk kelangsungan agama Islam. Sabda nabi Sallallahu Alihi Wasallam yang bermaksud :

' Orang mukmin yang sentisa berfikir, bergaul dan mengambil tahu akan urusan manusia (untuk membawa manusia kepada agama) dan bersabar dengan segala karenah atau celaan manusia adalah lebih baik daripada mukmin yang lansung tidak pernah bergaul, berfikir dan mengambil tahu akan urusan manusia malah tidak sabar pula melayani karenah mereka.
(Rujuk Bulughul Maram, Bab Jihad)

Pada kali ini saya tambahkan cerita 4 untuk menggambarkan perbezaan jantina juga memerlukan skill modul dalam menyampaikan apa jua kebenaran agar lebih mudah diterima. Selalu kita dengar pergaduhan, pertelingkahan dan pertengkaran mulut sering berlaku samada dalam mesyuarat, majlis muhasabah malah percakapan harian jika dinisbahkan kepada situasi kita di rantauan ini. Pada saya ini semua adalah ekoran daripada kegagalan kedua-dua pihak untuk memahami perbezaan biologi antara satu sama lain.

Suka saya simpulkan bahawa :

"orang perempuan selalunya mahu lelaki jadi sepertinya yang sentiasa beradab, berprotokol dan sopan. Orang lelaki pula langsung tidak pernah cuba untuk memahami tabiat orang perempuan dan selalu melakukan sesuatu mengikut pemikiran mereka."

Justeru saya bawakan cerita ini untuk memberikan suatu laluan kepada kedua-dua pihak untuk saling memahami antara satu sama lain agar Islam akan bergerak laju ke hadapan dengan mengenepikan pertengkaran kecil lantaran gaya hidup dan rentak fikir yang berbeza.

Cerita 4

Wahida dan Safwan adalah pasangan adik beradik. Latar hidup yang masih berpegang dengan sifat ketimuran menjadikan kedua-duanya amat terbatas untuk bersosial. Hubungan kekeluargaan yang erat menjadikan kedua-duanya saling bertukar pandangan dan berkongsi masalah.

Kesempatan cuti hujung minggu tidak dilepaskan untuk bercerita. maka berlakulah dialog berikut :

Wahida : Boring betul budak-budak lelaki dalam bas tadi. Melalak saja tahu. Yang pakai kupiah pun lebih kurang sama.

Safwan : La, biasalah budak lelaki.

Wahida : Biasa apa ke bendanya. mengganggu hidup orang lain tu biasa.

Safwan : Lelaki lain dari perempuan. Tu fakta yang semua orang perempuan kena faham. Lelaki mana boleh duduk diam, sopan macam perempuan. memang lelaki dah dilatih lasak dan bersosial.

Wahida : Kat depan orang pun nak tunjuk perangai. Tak senonoh tu.

Safwan : Tak senonoh tu pada pandangan perempuan. Tapi bagi lelaki biasalah kalau nak hidup dan diterima dalam kelompok masyarakat anak muda kena bersosial. Kena pandai guna skill untuk letakkan diri dalam kumpulan anak muda. Lebih-lebih lagi yang mengaji agama.

Wahida : Tapi orang agama kena jadi contoh, tak thiqah langsung.

Safwan : Memang orang agama kena jadi contoh tapi takkan diam, tak bercakap dan tak bergaul dengan masyarakat baru nak dikatakan thiqah. Sepatutnya orang agama yang ada kesedaran kena bergaul dengan masyarakat, kena bersosial, kena tackle anak muda. Nak tackle anak muda bukan boleh main paksa-paksa. kena guna uslub yang diaorang boleh terima.

Wahida : Erm...........

Safwan : Nak jadi daei ni kena bijak mencari peluang. kena kuasai mad'u dengan apa jua cara asal tak menyalahi syariat. Setakat nak bergaul, bersembang, bersosial apa salahnya. baik lagi daripada tengok filem yang kadang-kadang tak senonoh atau main game yang langsung tak berfaedah untuk sebarkan Islam. Walau orang kata main game boleh pick-up kan konsentrasi tapi kalau 24 jam main game tak ke beku jadinya.

Wahida : yelah, betul lah tu

Safwan : Tahu tak apa...

Perbualan berakhir di situ. Masing-masing berfikir dalam memahami cara berfikir dan rentak tindak mengikut kesesuaian jantina dalam menyebarkan Islam. Moralnya Selalunya perempuan mahu lelaki menjaga serba serbi tatasusila dalam urusan sosial like them.

Selaku orang yang mampu berfikir dan matang, perbincangan sebegini amat diperlukan. Cakap terang dan nyata juga adalah modul terbaik untuk menyedarkan dan menyergah minda untuk berfikir. Namun saya tegaskan bahawa tidak semua modul diperlukan dalam uslub menyedarkan mad'u. ini memerlukan kebijaksanaan dae'i dalam mengenal pasti jenis mad'u.

Nasihat saya, perbezaan cara didikan sejak kecil, kecenderungan minat malah hukum yang berbeza dalam sosial harian mengikut tetapan agama menunjukkan perbezaan yang amat besar antara kedua-dua jantina. Jadi, sepatutnya perbezaan ini difahami dan dijadikan sebagai bonus dalam ertikata saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

Hentikan pergaduhan dan nyalakan obor Islam dengan segenap kudrat dan kelebihan yang ada dengan menjadikan diri kita sebagai bahan bakarnya.

Salam perdamaian, peace...

SEBUT SAJA MURTAD ITU KAFIR

Oleh : Ahmad Muhaimin Bin Mustapha
Kuliah Perubatan Universiti Kaherah

JIKA ada yang mengatakan isu murtad sudah selesai dengan gagalnya kes ‘murtad mycard’ Lina Joy, kalau ada yang mengatakan usah besarkan isu keluar daripada Islam, sekiranya ada yang mengatakan artikel murtad ini sudah tidak releven kerana isu ini sudah suam-suam kuku, saya katakan jika ada yang berpandangan demikian maka dia perlukan satu suntikan intravenous berisi air keimanan, sebiji ‘tablet kesedaran’ dan multivitamin untuk menyuburkan hati yang makin kering, juga tafakkur yang panjang untuk memulihkan jiwa yang gersang. Jangan kerana selesainya isu, kita biarkan kes murtad yang tidak berdaftar terus menerus berlaku, jangan hanya kerana isu, baru kita melatah dan mahu bertindak.

Gejala murtad yang melanda umat Islam bukanlah isu yang bersifat local. Ia bukan isu Malaysia mahupun isu Indonesia, bahkan murtad ini merupakan masalah dan cabaran yang berlaku di mana-mana negara Islam. Di kala Eropah dan negara yang asasnya kufur mula lunak menerima Islam, di kala Perancis, agama yang keduanya adalah Islam, pada waktu inilah negara umat Islam dilanda tsunami akidah yang meruncing. Saya katakan ianya merupakan isu umat Islam sejagat kerana murtad bukan sahaja berlaku di negara kita, tanah arab yang merupakan tempat mulanya Islam turut mengalaminya. Mesir yang mendabik dada dengan gahnya Azhar tetap diselubungi jerebu akidah ini.

Serangan ke atas akidah umat Islam bukanlah berlaku seawal tahun 2000 atau selewat 1900 yang lalu. Ianya bermula sejak awal permulaan sejarah Islam lagi. Gerakan ini terus bergerak dan berkembang, mereka mengkaji dan meneliti kehendak, sasaran dan segala-galanya guna untuk melemahkan akidah umat Islam. Mereka mempunyai modus operandi yang teratur lagi terancang, ada bantuan kewangan yang kukuh, ada tenaga sepenuh masa yang sanggup berkorban demi menegakkan agama batil, juga ada sokongan antarabangsa. Kita umat Islam sedia tahu cara mereka. Teknik, helah, tipu daya serta umpan mereka bukanlah perkara yang luar daripada pengetahuan kita.

Semuanya kita tahu! Tetapi kita tetap lemah dalam menahan gelora ini. Lemah mungkin kerana tak semua umat Islam yang peka dan bersatu hati, juga mungkin lemah kerana hukum Islam tidak diamalkan sesempurna mungkin. Krisis kita kini bukan sekadar isu murtad, bahkan krisis lemahnya sentimen umat Islam dalam isu ini, bahkan mungkin tiada langsung sentimen benci murtad! Isu murtad seolah-olah setaraf dengan berita kenaikkan harga minyak masak, mahalnya Milo ais dan cerita gosip artis-artis. Bahkan ceritanya hampir lenyap dalam media arus perdana negara. Mungkin kenaikkan gaji kakitangan kerajaan lebih penting daripada akidah ummah yang kian goyah. Pada pengamatan saya, murtad ini hanya dibincangkan di kalangan individu dan pertubuhan tertentu yang mempunyai kesedaran. Seolah-olah ianya isu elit.

Masyarakat awam umumnya ada yang bersama dan masih ramai yang tidak sensitif. Bayangkan sekiranya gelombang rakyat dapat dibangkitkan melalui isu akidah ini, saya yakin dan percaya penyelesiannya lebih mudah. Suka saya bawakan komentar Dr. Muhammad Fuad Yoeh Abdullah ketika negara digemparkan dengan peristiwa Nor Aishah Bokhari sekitar 1998, katanya isu ini (isu murtad Nor Aishah) sememangnya agak luar biasa. Ini kerana kebiasaannya bagi kebanyakkan orang Melayu Islam biarpun tidak beramal dengan ajaran Islam namun dia sayangkan Islam. Sebab itu secara tradisionalnya, seseorang yang dilahirkan Islam akan marah jika orang menuduhnya kafir. Apatah lagi untuk mengisytiharkan murtad. Sungguhpun tidak beramal dengan Islam namun jika ingin berkahwin dengan pasangan dari agama yang berbeza, pastinya bakal isteri atau suami itu disuruh memeluk Islam terlebih dahulu.

Mungkin itu cerita Melayu dulu. Tetapi Melayu era Akademi Fantasia sudah berubah tidak lagi semacam Melayu pasca merdeka. Murtad diisytihar, mahkamah dicabar! Apa yang diharapkan isu akidah ini sentiasa diperjuangkan. Bukan semata-mata kes Lina Joy, kemudiannya disenyapkan apabila kesnya gagal di mahkamah. Apa yang dipohonkan kepada semua umat Islam moga isu menangani murtad ini terus diperjuangkan, jangan hanya menunggu adanya kes dimahkamah baru kita bangkit dari lena. Jangan tunggu Majlis Agama dan Mahkamah Syariah dicabar autoritinya baru kita teruja. Mungkin kerana lemahnya sentimen anti murtad ini, saya cadang gunakan saja perkataan ‘kafir’ @ ‘kafir jadian’ kerana hakikat murtad dan kafir tetap sama, agar murtad jijik kembali di kalangan Melayu Islam yang mudah lupa.

Itu cerita ‘keluar Islam’ secara rasmi, belum lagi kita bincangkan isu murtad apabila hukum hakam dalam Islam dihina dan diingkari. Sama-samalah kita fikir punca dan penyelesaiannya, bukan semata-mata melaung sana, bertempik sini tanpa tindakan.