4/03/2007

MODUL OH MODUL 2, JIHAD SRIKANDI SAYAP KIRI

Oleh :
MUHAMMAD NAJID BIN ABDULLAH
KULIAH SYARIAH ISLAMIAH, KAHERAH
Kali pertama saya menulis artikel modul oh modul untuk keluaran Fajar Jumaat, pelbagai telahan mahupun andaian dibuat oleh sahabat-sahabat pembaca. Ada yang mengkritik isi kupasan pokok penulisan yang dibawakan, ada yang menyalahkan saya kerana membawakan isu yang kurang popular dan kabur katanya, sebilangannya pula menyarankan agar saya menukar tajuk artikel malah ada pula yang mempertikaikan penggunaan bahasa yang saya gunakan. Sebilangan lain pula pening tidak dapat mentafsirkan hasrat yang cuba saya bawakan. Namun dalam keributan itu juga ada yang nampaknya boleh memahami topik perbincangan dengan menolak ke tepi eleman remeh mahupun kesilapan yang katanya saya lakukan dengan memasukkan definisi 'cucur' dan 'pam' sebagai modul mahupun uslub.
Apa jua pandangan yang dikemukan, saya telan sendiri dan saya sedar kuasa pembacalah yang selayaknya mengadili segala butiran huruf yang saya lakarkan. Tanpa syok sendiri saya panjangkan artikel tersebut bagi menjelaskan hasrat sebenar ketika jemari saya mentafsirkan jentikan hati dan berian otak dalam mengemukan modul sebagai elemen seni uslub dakwah. Saya buang jauh rasa tercabar atas telahan yang timbul dengan meletakkan rasa tanggungjawab dan amanah ilmu terhadap apa yang saya bawakan.
1. Penggunaan kata kolokial 'cucur' dan 'pam' saya bawakan dengan menisbahkan dua kata tersebut dari sudut hasrat untuk mengubah orang yang 'dicucur' mahupun 'dipam'. Dua kata tersebut kalau diteliti mengikut faham penggunaan sememangnya tidak sama dengan modul tapi kalau kita hayati sebenarnya dari sudut positif kedua-duanya inginkan sesuatu yang tersirat disebalik kata yang berkias. Contoh mudah, kalau ada sahabat kita yang mengutuk salah laku sahabat yang lain, maka kita 'cucurkan' padanya kata 'sedapnya makan ketupat'. Namun saya sedar dua kata tersebut tiada dalam penggunaan Bahasa Melayu. Ia hanya digunakan dalam cakap seharian. Apa pun saya mohon maaf andai dua kata tersebut melenguhkan tafsiran otak pembaca dek telahan yang saya buat tidak tepat atau sebaliknya. Saya harapkan agar ia tidak akan mengganggu kefahaman dalam memberikan fokus kepada pokok penulisan.
2. Isu modul yang saya bawakan untuk menjelaskan betapa dalam dakwah seharusnya tidak dilupakan seni uslub yang bernama modul. Setiap daei' sepatutnya bijak dalam merencana modul mahupun uslub bertindak untuk menyedarkan mad'u. Jangan gunakan modul yang sama untuk semua orang secara pukal tapi fahami 'fe’el' manusia sebelum merencana serangan saraf untuk menyedarkan mereka kembali kepada agama. Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam saya bawakan dalam loghat arab mengikut tulisan melayu : likulli maqam maqal (penulis merasa lebih selesa denga uslub arab dalam membawakan hadis ini)
3. Penulis memohon maaf andai bahasa yang digunakan mengganggu hidup pembaca. Saya sedar apa guna saya menulis andai penulisan saya tidak difahami. Namun ingin saya katakan FAJAR JUMAAT akan menerima sebarang artikel selagi mana ia ditulis menggunakan tatabahasa Melayu, Inggeris mahupun Bahasa Arab atau apa jua bentuk karya kreatif yang bertujuan untuk meneruskan kelangsungan dakwah.
Dengan menggunakan lenggok tari yang sama saya bawakan contoh mudah dengan skop modul yang lebih fokus sebagai menjelaskan pokok penulisan.

Cerita 3
Abang Din merupakan seorang guru Bahasa Melayu berkelulusan Universiti Malaya dalam bidang pengajian Bahasa dan Kesusasteraan. Aliran pengajian dan corak pergaulan bandar menjadikan dia agak maddiyah dalam mengurus keluarga dan merencana masa depan.
Kak Dah pula watak seorang Isteri yang mempunyai latar belakang pengajian Islam lepasan Universiti Malaya bidang Usuludiin. Seorang ustazah yang berkahwin atas pilihan keluarga. Setakat mengajar Pendidikan Islam PMR dan SPM menjadikan ilmunya terbatas apatah lagi menemui jodoh yang dia terpaksa redha, namun ilmu yang ada cukup untuk membuatkan dia memahami akan hakikat kehidupan.
Memahami bahawa suatu masa kita akan dibangkitkan dihadapan Allah dengan amalan masing-masing. Memahami jua akan bahayanya maddiyah dalam aliran pemikiran manusia yang akan menatijahkan ‘selfish’ dalam tindakan, lupa daratan, bersifat keakuan, menindas orang yang lemah dan apa yang lebih dahsyat adalah melupakan saranan dan kewajipan agama secara beransur-ansur.
Suatu masa ketika sedang menikmati minum petang Abang Din dan Kak Dah duduk di ruang tamu rumah ditemani Kakak, Angah, Amir dan Danish. Maka ketika itu berlakulah dioalog berkut :
Abang Din : Cepat betul besar budak-budak ni, Abang rasa baru saja kahwin.
Kak Dah : Kakak dah masuk darjah 2, Angah dah darjah 1, Amir pula dah masuk tadika. Kakak tu sikit masa lagi jadi anak dara.
Abang Din : Sekejap saja masa berlalu.
Kak Dah : Oh ya, tadi saya ke Tabung Haji, duit yang saya buat potongan bulanan gaji tu dah cukup untuk daftar buat haji. Abang pun dah lebih dari cukup untuk buat haji. Apa kata tahun ni kita tunaikan rukun islam ke 5, kita buat haji.
Abang Din : Abang bukan apa. Bukan tak nak pergi tunaikan haji tapi Abang rasa duit yang ada tu nak buat beli tanah kat Kelantan.
Kak Dah : Baru saja tahun lepas kita beli flat kat Ampang tu. Duit yang ada tu kita buat haji la pula.
Abang Din : Abang sebenarnya bukan tak nak buat haji tapi Abang segan kalau orang panggil Abang haji. Hidup Abang akan terbatas dan terikat dengan masjid dan kupiah.
Kak Dah : Ke situ pula Abang ni. Okay lah Abang, kita bincang lain kali saja. Dah nak maghrib ni. Abang tak nak pergi masjid ke. Katanya ada kuliah maghrib malam ni.
Abang Din : Tak rasanya, penat.
Kak Dah : Tak apa lah, Saya nak ke masjid, boleh? Saya bawa Amir dan Danish saja ni, Abang tolong tengok-tengokkan Kakak dan Angah. Anak-anak lelaki ni kena ajar dari kecil lagi ke masjid. Kalau kita sudah tiada nanti boleh jadi imam solat jenazah kita nanti. Saya pergi ya!
Perbualan berakhir di situ. Abang Din diam sambil terkebil-kebil melihat si isteri memanggil anak-anak masuk ke rumah. Ada sesuatu yang menyentuh perasaan dan nubari hingga menyebabkan dia lambat untuk bergerak bangun.

Moralnya
Inilah realiti yang berlaku di kalangan masyarakat. Aliran pengajian, pengaruh persekitaran dan corak berfikir menjadikan kita rencam matlamat dan halatuju. Tambah pula dengan kapasiti diri seorang isteri yang sifatnya mengalah selaku sayap kiri menjadikan permasalahan ini lebih kompleks. Kalau mahu berhujah rasanya masakan ego seorang suami mampu dibawa berbincang secara keras. Penggunaan modul dengan menjadikan anak-anak sebagai alat bantu modul memberikan kesedaran kepada suami. Ini memerlukan kepintaran dan kekreatifan minda seorang isteri untuk memastikan suami akur dengan perintah Allah tanpa meletakkan diri dalam kelompok nusyuz. Mudah bukan jihad srikandi, isteri solehah?
Membantu suami untuk menunjukkan jalan takwa adalah suatu taklifan buat isteri solehah. Namun jangan sekali-kali nusyuz mahupun menguasai suami untuk mengikut telunjuk isteri hingga mengakibatkan suami menjadi dayus sebagaimana istilah ‘queen control’.
Cerita ini saya paparkan bukan semata-mata buat suami isteri tapi saya wakilkan watak isteri yang ingin membetulkan suami dengan modul yang sepatutnya diguna secara hikmah untuk menegur pimpinan atasan. Sekiranya terdapat salah dan silap yang dilakukan oleh pimpinan maka sebagai ahli sepatutnya kita menghormati dan mengasihinya dengan teguran. Tegurlah dengan cara hikmah seperti menarik rambut dalam tepung. Rambut tidak putus, tepung juga tidak berselerak.
Tidak terhenti setakat itu sahaja kiasan yang boleh dibuat beradasarkan cerita mudah tersebut. Saya tingalkan buat sahabat-sahabat untuk merenung lebih jauh kerana apalah sangat kudrat otak kecil saya untuk mengeluarkan semua kaitan yang ada. Saya serahkan pada perkiraan otak pembaca untuk mengkaitkannya selagimana ia tidak lari dengan watak teguran orang lemah kepada orang yang lebih kuat darinya. Ianya memerlukan Alat Bantu Modul (ABM), Modul Oh Modul!

Kesimpulan
Selaku manusia kita tidak terlepas dari salah dan silap. Psikologi adalah elemen tambahan dalam kita merangka skrip hidup atas nama dae’i. Modul pula adalah garapan seni nukilan dari psikologi jiwa dan watak manusia. Islam membenarkan semua pendekatan saraf dan psikologi selagi mana ia tidak bercanggah dengan hukum.
Modul hanya sebahagian daripada uslub teguran. Tidak semua mad’u perlu dimodulkan dalam proses teguran. Pandang kanan, pandang kiri tapi jangan lupa untuk menoleh ke belakang dan melihat ke hadapan demi memastikan kita tidak tersalah langkah, tersilap pandang dalam merangka modul membentuk Fityatun a’manu birabbihim wa zidnahum huda masa depan. Salam jihad buat srikandi perjuangan. Modul Oh Modul



No comments: