3/13/2007

MODUL OH MODUL !

Oleh :

MUHAMMAD NAJID BIN ABDULLAH
KULIAH SYARIAH ISLAMIAH, KAHERAH
Saya tertarik untuk membuat sedikit catatan dan kupasan mengikut kefahaman sendiri apabila ada sahabat yang menimbulkan persoalan berkenaan dengan istilah modul. Mulanya ingin saya tulis secara ilmiah siap dengan bukti dan fakta, namun saya terfikir apa guna saya menulis sebegitu kalau penulisan saya hanya akan menjadi lapik periuk nasi lantaran tidak ramai golongan pembaca yang suka penulisan berat. Justeru saya rasakan tajuk yang penting ini saya tunaskan dengan penulisan santai dan contoh mudah sekadar untuk membantu menampakkan kewadhihan istilah yang amat penting ini sebelum saya susulkan dengan penulisan berat dalam penulisan akan datang.

Klisenya modul sering dikaitkan dengan pengisian program, muzakarah berkelompok mahupun tidak kurang juga yang menggunakannya dalam muamalah seharian.

Sebagai contoh kita sering mendengar istilah ‘cakap berlapik’, ‘cakap berkias’, istilah pasar yang cukup popular dikalangan anak muda seperti ‘cucur’ dan ‘pam’ serta istilah yang cukup popular di tanah Arab iaitu ‘mujamalah’ juga merujuk kepada makna modul. Ini kerana kesemua istilah yang saya sebutkan di atas hanya mempunyai matlamat yang sama iaitu inginkan sesuatu dari orang yang kita tuju cakap. Justeru bukankah modul juga bermalamatkan untuk menyampaikan sesuatu mesej dengan harapan perkara tersebut dapat difahami. Kesemuanya merujuk kepada modul yang direka samada dengan kata-kata, mimik muka, body contact (bahasa badan), eye contact (isyarat mata) dan apa jua kaedah yang berlapik.

Apa pun istilahnya saya ingin tegaskan modul merupakan suatu cabang seni uslub yang jika diolah dengan baik akan menatijahkan suatu peluang untuk kita menyampaikan mesej dakwah. Namun perlu diingat jika kita silap memahami suasana (fiqhul waqi’), padahnya akan mengakibatkan prasangka, dendam kesumat, permusuhan dan yang pasti akan menyebabkan mad’u lari makin jauh dari kita selaku dae’i.

Sebagaiman yang saya terangkan, saya kotakan dengan membawa contoh cerita-cerita dalam dialog mudah berkenaan dengan modul antara individu yang berbeza-beza latar umur, pendidikan mahupun tahap kefahaman.

Cerita 1

Amir seorang kanak-kanak yang petah berkata-kata. Berumur 5 tahun dan amat manja dengan bapa saudaranya yang saya namakan Ayah Jid.

Suatu pagi, Ayah Jid membawa Amir ke taman permainan. Amir amat gembira dan langsung tidak betah untuk duduk diam, berlari dan bermain; kelihatan asyik dengan dunia kanak-kanak yang penuh animasi. Ayah Jid pula duduk di bangku memerhati sambil membaca buku ‘Anda Berfikir Bagaimana’ tulisan Ainon Mohd dan Abdullah Hasan. Sedang asyik mengamati setiap kiasan contah bawaan pasangan penulis buku tersebut, tiba-tiba Ayah Jid dikejutkan dengan tangisan Amir. Sepantas kilat Ayah Jid meluru ke arah Amir lantaran terkejut dengan jeritan yang secara tiba-tiba.

Rupanya Amir jatuh dan lututnya berdarah. Dalam esakan tangis si Amir maka berlakulah dialog berikut :

Amir : Ayah Jid Sakit, lutut Amir berdarah.

Ayah Jid: Alah sikit jer ni, nanti Ayah Jid lapkan.

Ayah Jid pun terus lapkan darah tersebut dan memujuk Amir supaya berhenti menangis.

Ayah Jid: Kan dah tak ada lagi darah. Sudah!, berhenti menangis.

Amir : Sakit............ dalam esak tangis

Ayah Jid: okay, kalau Amir berhenti menangis nanti Ayah Jid belikan Aiskrim nak. Kalau nak Aiskrim kena berhenti menangis.

Amir : Janji tau!, Amir nak aiskrim coklat Kancil, tak nak aiskrim Cornetto, boikot.

Ayah Jid: Okay, jom kita ke kedai Ayah Haji kat depan tu. Ayah Haji tu bagus dia tak jual aiskrim boikot.

Amir berhenti menagis. Ayah Jid tersenyum bangga kerana jerat mengena dan modul yang dibuatnya menjadi. Uslub yang diguna kena dengan tahap umur dan corak berfikir. Modul Oh Modul!

Ceriita 2

Su Ina seorang gadis sunti yang bermur 12 tahun dan bakal menduduki peperiksaan UPSR pada tahun ini. Su Ina amat rapat dan manja dengan kakak-kakak dan abang-abang selaku adik bongsu. Lantaran keterbatasan masa dan beban tanggungjawab kakak-kakak dan abang-abang yang mempunyai kerjaya mahupun hidup sendiri menjadikan keakraban bertambah apabila sekali-sekala si abang mahupun kakak pulang bercuti.

Suatu hari Abang Jid pulang bercuti ke kampung. Maka sekian banyak waktu dihabiskan bersama adik bongsu. Rasa bersalah terkadang hadir dalam hati lantaran melihat dunia adik bongsu yang terbelit di rumah bersama mak dan ayah seolah-olah semua tanggungjawab menggembirakan hati kedua ibu bapa dibebankan atas dia seorang. Tapi apakan daya dek kerana tuntutan belajar, dakwah dan kerjaya sepatutnya menjadikan kita tidak terikat dengan keluarga dan punya tanggungjawab yang lebih terhadap agama.

Rasa insaf hadir jua bila mengenangkan ulamak-ulamak besar seperti Imam Syafie yang terpaksa musafir jauh meninggalkan ibu yang sudah tua, Imam Nawawi pula korbankan hidup sendiri tidak berkerluaga lantaran menuntut ilmu dan menginfakkan diri demi agama serta ramai lagi. Apalah sangat diri jika mahu dibandingkan dengan ulamak-ulamak dahulu, jauh sekali dengan para sahabat yang hidup dan mati demi Islam.

Dalam rancak bergurau senda dan seolah-olah si abang lupa akan jarak usia yang tidak sesuai untuk berperangai sedemikian. Namun sememangnya ia disengajakan untuk menggembirakan Su Ina yang sekian lama kesunyian dunia animasi anak-anak seusianya dikabusi dunia kedua orang tua yang limpah kasih sayang yang tanpa sedar mengongkong Su Ina untuk terbang bebas memilih haluan. Namun si abang diamkan jua hal kongkongan lantaran sedar betapa luar sahaja daripada pagar rumah sebenarnya tersedia 1001 fitnah yang cuba merosakkan anak-anak gadis seusianya dengan harapan limpahan kasih sayang keluarga tidak akan menjadikan dia sunyi tidak keruan, pendendam dan terperangkap dalam inferiority complex (rasa rendah diri atau kecelaruan identiti).

Dalam lincah berlari dan berkejaran maka Su Ina terjelepuk jatuh di lantai dan lutut serta sikunya berdarah. Maka berlakulah dialog berikut :

Su Ina : Aduh sakitnya Abang Jid!

Kelihatan ada jernihan air mata yang mungkin bukan sengaja bergenang dikelopak mata Su Ina manifestasi dari rasa sakit yang teramat.

Abang Jid: Itu lah, lain kali hati-hati, nak jalan tu pakailah mata, tengok betul-betul. Ni tidak, main rempuh saja.

Su Ina : Okaylah lain kali Su Ina hati-hati

Abang Jid: Mari Abang Jid cuci luka tu dan sapukan ubat. Sikit saja ni, buat malu saja menangis.

Sambil mengesat air mata Su Ina membiarkan sahaja si abang menyapukan ubat pada luka. Sesekali mengetap bibir menahan sakit ketika si abang menyapu ubat pada luka.

Moralnya

Kedua-dua cerita tadi menggambarkan betapa modul amat penting dalam memastikan mesej yang ingin disampaikan dapat difahami oleh mad’u. Perbezaan umur dan tahap berfikir di antara Amir dan Su Ina memerlukan modul yang berlainan. Faktor umur kanak-kanak menjadikan Amir boleh dimodulkan dengan Aiskrim tapi tidak pada Su Ina. Ubat dan sedikit kiasan ‘jalan pakai mata’ mungkin menjadi modul buat Su Ina supaya berhati-hati lain kali dan berhenti menangis. Ini kerana tahap umur gadis sunti yang mampu berfikir secara logik dan realistik menyebabkan dia tahu hanya ubat luka sahaja yang boleh menghilangkan sakit dan menyembuhkan luka. Agak-agaknya kalaulah ditawarkan aiskrim pada Su Ina, apa akan berlaku? Saya tinggalkan persoalan tersebuat supaya menjadi ulit tidur sahabat-sahabat untuk dicerap masuk dalam kehidupan seharian.

1 comment:

fajar_jumaat said...

ada sesiapa yang takafaham artikel ni, sila ber komen