3/13/2007

TAUTAN UKHUWWAH

OLEH :

ROSRIANA BINTI MOHAMED
KULIAH SYARIAH ISLAMIAH, KAHERAH
“Serendah-rendah tahap ukhuwah ialah berlapang dada manakala setinggi-tinggi martabat ukhuwah adalah mementingkan sahabat melebihi diri sendiri ”
(Risalah Ta’alim Hasan Al-Banna)

Di kesempatan yang terhad ini, saya suka mengingatkan diri saya sendiri dan berkongsi rasa dengan sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian untuk sama-sama membuat koreksi serta membuka kembali lipatan fail ukhuwah sesama kita. Biar jauh mana jarak kita, malah dek kerana sibuk kita, maka jarang sekali dapat bersua muka walau sebilik namanya kita, namun rasanya perlu saya cadangkan untuk diletakkan persoalan di benak sanubari kita, apakah jenis sahabat namanya kita?

Saya analogikan secara mudah ikatan ukhuwah kita sebagai sebahagian daripada lapangan ilmu yang sememangnya tanpa ulang kaji dan recall (diulang ingat) semestinya agak sukar untuk diertikan apa jenis persahabatan namanya. Nah, sudah menjadi adat manusia pelupa, jika tidak diingatkan maka hilang begitu sahaja. Namun mungkin di sana juga berlaku tahap pemahaman yang berbeza-beza tentang definisi ukhuwah yang sepatutnya dapat dicari di manakah letaknya titik perbezaan tersebut.

Ibarat bertanam tebu di bibir manisnya tidak terasa di hati, terlalu mudah untuk diperkatakan tentang ukhuwah, tetapi hakikat yang terzahir cukup sukar untuk direalisasikan. Apa yang lebih malang lagi kadangkala apa yang diamalkan jauh berbeza dengan apa yang disyariatkan. Apa yang dilarang kadangkala kita lakukan juga tanpa ada rasa sedikit malu dan takut kepada Allah. Saya suka lontarkan sedikit persoalan, apakah mungkin akan terbina utuh sebuah ikatan persahabatan jika didasarkan di atas timbunan sementara keduniaan yang bertemankan kemungkaran?

Ukhuwah dalam Islam merupakan satu jalinan atau ikatan akidah yang mempertautkan penganutnya antara satu sama lain bagaikan binaan yang tersusun rapi. Ia merupakan satu ikatan rabbani yang mengikat antara hati-hati yang mengakui keesaan Allah dan mengikuti landasan syariat-Nya. Ia merupakan jalinan yang erat sebagaimana sabda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam :

Bermaksud :( ikatan iman yang paling kuat ialah kasih sayang kerana Allah dan marah kerana Allah) Hadith riwayat Ahmad daripada al-Bara’ Ibn Azib

Dalam Islam, persaudaraan merupakan sendi yang menjadi tunjang dalam usaha untuk memperkuatkan binaan masyarakat Islam dan mengeratkan hubungan baik sesama kita. Apa mungkin akan terealisasi cita-cita luhur ini sekiranya terselit kefasadan di tengah-tengah binaan.

Dalam beramal Islami, ukhuwah amat dititik-beratkan supaya gerak kerja, co-operation antara satu sama lain akan menatijahkan kemenangan untuk dakwah Islam. Dengan kata lain, kita akan menjadi satu jasad yang akan sama-sama merasakan sakit apabila salah satu anggota diserang penyakit.

Bagi menjamin ikatan ukhuwah yang terbina supaya dapat memainkan peranannya terutama dalam melaksanakan kerja-kerja dakwah, Islam telah menggariskan hak dan kewajipan dalam persaudaraan yang sebenar dan bukan hanya tersusun indah di bibir atau teori gempak semata-mata. Di antara hak dan tanggungjawab yang dituntut sebagaimana yang dikemukakan dalam kitab karangan Fathi Yakan mengatakan :

1. Persaudaraan mestilah dapat menolong usaha-usaha melakukan ketaatan kepada Allah sebagai membenarkan apa yang disabdakan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud ;

(Sesiapa yang dikehendaki Allah dan mendapat kebaikan,Allah akan memberikannya rezeki seorang teman karib yang soleh. Seandainya beliau lupa (temannya) akan memperingatinya dan apabila temannya itu memperingatkannya beliau akan menolongnya.)

2. Persaudaraan adalah kerjasama dari sudut kejiwaan, merasakan keperluan-keperluan saudaranya dan berusaha untuk menunaikan keperluan tersebut, sebagai memenuhi tuntutan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam yang bermaksud :

(Sekiranya seorang dari kamu berjalan bersama saudaranya dalam usaha untuk menunaikan keperluannya dan baginda memberi isyarat itu yang lebih baik baginya dari beriktikaf di masjid ku ini selama dua bulan).

3. Persaudaraan Islam adalah satu kemesraan, kasih sayang dan saling bantu- membantu antara satu sama lain. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam :
Bermaksud: (Janganlah kamu memutuskan silaturahim,jangan kamu berpaling memberi belakang,jangan kamu benci-membenci, jangan kamu berhasad dengki.Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara tidak harus bagi muslim meninggalkan tegur sapa dengan saudaranya lebih dari tiga hari).

(Hadis riwayat malik,Abu Daud,Nasa’i dan Tirmizi )

4. Persaudaraan dalam Islam merupakan ketulusan dan kesetiaan. Sebagaimana sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wassalam yang bermaksud:

(Siapa yang mempertahankan kehormatan saudaranya, Allah akan menjauhkan api dari mukanya di hari kiamat kelak).

(Hadis riwayat Tirmizi daripada Abu Darda’)

Ya Allah..sungguh indah persaudaraan yang Engkau persembahkan kepada kami sebagai panduan untuk diamalkan dalam kehidupan harian berlandaskan syariat Engkau. Ingatlah sahabat ! Allah kurniakan pendengaran, penglihatan, dan infinitinya nikmat tetapi alangkah malangnya sekiranya sedikit sahaja kita bersyukur dengan nikmat-Nya.
Di kesempatan ini juga, saya ingin dedikasikan ucapan selamat berjuang dan terus mujahadah khusus kepada sahabat-sahabat anak-anak Kelantan Mesir dan sahabat-sahabat muadalah yang telah selamat ditauziqkan ke tempat masing-masing. Semoga dengan perpisahan ini, akan mengajar kita supaya lebih mantap dan kuat hubungan dengan Allah, kerana kekuatan yang paling utama adalah ketakwaan kepada Allah. Namun apa yang pastinya, jalan yang bakal kita lalui akan terlingkar mehnah dan tribulasi yang pasti.
Sama-sama kita berganding tenaga, berjuang dengan tujuan dan matlamat yang satu iaitu untuk mencapai Mardhotillah. InsyaAllah, yakin dan percayalah sahabat sekalian, perjuangan yang ditautkan dengan ukhuwah fillah pasti akan mendapat Rahmat dan Nusrah dari Allah SWT. Salam perjuangan.

No comments: