2/10/2007

IKHTILAT IKHWAH DAN AKHAWAT,

SEKSISKAH KITA ???


NUKIL PESAN OLEH :
MOHD FAIZAN BIN MAT JUSOH
KETUA LAJNAH PENERBITAN KPKM SESI 2006 / 2007


     Persoalan mungkin, ikhtilat antara IKHWAH dan AKHAWAT, bagaimana dengan kita? Sesungguhnya menjadi kewajipan bagi seorang muslim/muslimah yang beriman kepada Allah dan rasul itu menjauhi ikhtilat yang haram antara lelaki dan perempuan. Seorang wanita itu hendaklah apabila telah cukup ilmu dan fahamnya dan terlibatnya di dalam dakwah untuk memastikan dirinya jauh daripada ikhtilat (percampuran lelaki-perempuan) yang bukan mahramnya.
     Pelanggaran batas-batas pergaulan muslimin-muslimat masih terjadi dan hal ini mungkin disebabkan kerana:
1. Belum mengetahui batas-batas pergaulan.
2. Sudah mengetahui, namun belum memahami.
3. Sudah mengetahui namun tidak mahu mengamalkan.
4. Sudah mengetahui dan memahami, namun tergelincir kerana lalai.
     Kita mungkin sibuk menghiasi penampilan luar kita dengan menyimpan janggut, berkopiah ataupun dengan tudung labuh warna warni. Kita sibuk berhiaskan simbol-simbol font Islam, namun lupa substans Islam. Kita bersungguh belajar ilmu Islam namun tidak menfokuskan kepada pemahaman dan amal.
     Aktivis sekular tidak lagi segan dengan kita!!! Seorang ustaz bercerita bahawa ada aktivis sekular yang berkata kepadanya, "Ustaz, dulu saya respect pada Islamic student, pakai tudung labuh, berkopiah kerana pandai menjaga pergaulan antara muslimin-muslimat, namun kini mereka sama saja dengan kami. Kami jadi tak segan lagi."
     Ungkapan aktivis sekular di atas memalukan kita selaku jundi-jundi yang ingin memperjuangkan agama Islam. Menjaga pergaulan lelaki-perempuan memang bukanlah hal yang mudah kerana fitrah lelaki adalah mencintai wanita dan demikian pula sebaliknya. Hanya dengan keimanan yang kukuh dan mujahadah sahajalah yang membuat seseorang dapat istiqomah menjaga batas-batas ini.
     Pelanggaran batas-batas pergaulan Ikhwah dan Akhawat masa kini
1. Tidak Menundukkan Pandangan (Gadhdhul Bashar)
    Bukankah ada pepatah yang mengatakan, "Dari mana datangnya cinta? Dari mata turun ke hati". Maka jangan kita ikuti seruan yang mengatakan, "Ah, tidak perlu gadhdhul bashar, yang penting kena jaga hati!". Namun, bukanlah menunduk pandangan sehingga terlanggar tiang tetapi cukup sekadar kita memastikan pandangan kita terjaga daripada melihat sesuatu yang tidak syarie. Lelaki memandang wanita dengan penuh nafsu dan tidak alah juga wanita yang berkelakuan demikian walau tampil ‘warak berbungkus’.
2. Couple
    Duduk berdua di taman-taman, tepi-tepi jalan malah ada yang lebih licik dengan menggunakan platform rasmi yang bernama ‘meeting’ di tempat-tempat yang mencurigakan. Walaupun kebanyakan masyarakat pelajar Azhari mahupun masyarakat Arab tidak mempedulikan tindakan sebegini kerana menganggap ustaz-ustazah yang berdua-duaan ini sedang berdiskusi tentang Islam dan tugas, namun apapun alasannya, maka menutup pintu fitnah ini adalah langkah terbaik dan wajib bagi kita.
3. "Cop awal-awal" Untuk Berkahwin
    "Bagaimana, ustazah? Tapi tiga tahun lagi baru kita kahwin. Ana takut enti diambil orang." Ikhwah belum tamat belajar sehingga 'cop' seorang akhwat untuk menikah kerana takut kehilangan, padahal belum pasti hasrat itu akan tercapai. Hal ini sangatlah berisiko dan boleh mendatangkan permusuhan dan perpecahan bukan setakat semasa belajar, malah akan berlanjutan ke tanah air. Bukankah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri melarang kita daripada ‘cop awal’ atau bertunang terlalu lama. Dengan kata mudah ‘kalau rasa diri sudah berpunya dan serius dalam hubungan, eloklah dipercepatkan urusan akad antara kedua-duanya takut-takut terjerumus ke kancah maksiat. Justeru, mana mungkin hubungan suci suami-isteri akan terbina kekal di atas timbunan sampah kemaksiatan.
4. Telefon Tidak ‘Urgent’
    Menelefon dan berborak tidak tentu arah, yang tidak ada nilai significantnya sama ada soal pengajian mahupun soal tugas berpersatuan. Kalau setakat bertanya khabar, bercakap soal hati dan perasaan atau apa sahaja yang bersifat tidak syarie tanpa batas, saya gusar apa akan kita jawab di hadapan Allah nanti. Apa yang lebih malang, kita selaku daie, ulamak dan taruhan masyarakat di tanah air sebagai benteng terakhir umat Islam yang membawa mandat besar selaku agen pengubah masyarakat, harus menunjukkan teladan dan nama yang baik dengan mengenepikan sebarang salah laku.
5. SMS Tidak ‘Urgent’
    Saling berchatting via SMS mengenai hal-hal yang tak ada kaitannya dengan dakwah, sampai tak sedar kredit dah habis. Sudah tiba masanya kita matang dan bermuhasabah dengan kehadiran teknologi yang sudah sekian lama kita nikmati. SMS tidak sepatutnya dijadikan medan melampiaskan nafsu serakah dengan berabang-sayang tapi sepatutnya dimanfaatkan untuk tujuan yang lebih murni dan berfaedah untuk menempah tiket ke syurga Allah Subhanahu Wataala.
6. Berbicara Mendayu-Dayu
    Bercakap sambil tertawa kecil dan terdengar sedikit manja. Bukankah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam melarang perempuan daripada bercakap dengan suara yang mendayu-dayu dan dibuat-buat untuk menarik perhatian lelaki. Jadilah wanita yang bermaruah dengan sedikit bertegas bila bercakap dengan lelaki yang bukan mahram. Si lelaki pula, jadilah mukmin yang ‘gentleman’ dengan menghormati perempuan mukminat. Hormat dalam erti kata menjaga dan memelihara maruah kaum hawa yang bakal menjadi tempat letaknya zuriat kita, penerus generasi beragama masa depan.
7. Yahoo Messenger/Chatting Yang Tidak ‘Urgent’
    YM adalah termasuk satu kemudahan. Tidaklah berdosa bila ingin menyampaikan hal-hal penting di sini. Namun menjadi bermasalah bila topik perbicaraan melebar entah ke mana dan tidak menfokuskan kepada dakwah kerana khalwat secara maya mudah untuk berlaku.
     Firman Allah Subhanahu waatala dan hadis berkaitan larangan terhadap isu ini adalah :
a. Rasulullah SAW bersabda,maksudnya:"Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka jangan sekali-kali dia bersendirian dengan seorang perempuan yang tidak bersama mahramnya, kerana yang ketiganya ialah syaitan." (HR.Ahmad)
b. Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman, 'hendaknya mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluan mereka’
(Al-Qasas.24: 30)
c. Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Katakanlah kepada wanita yang beriman, 'Hendaklah mereka menahan pandangan, dan memelihara kemaluan mereka".(Al-Qasas.24: 31)
d. Rasulullah SAW. Bersabda yang bermaksud, "Pandangan mata adalah salah satu daripada panah-panah iblis, barangsiapa menundukkannya kerana Allah, maka akan dirasakan manisnya iman dalam hatinya".
e. Rasulullah SAW. bersabda, "Wahai Ali, janganlah engkau ikuti pandangan yang satu dengan pandangan yang lain. Engkau hanya boleh melakukan pandangan yang pertama, sedang pandangan yang kedua adalah risiko bagimu". (HR Ahmad)
f. "... maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit di dalam hatinya..." (Al Ahzab: 32)
     Tuntasnya, persoalan ikhtilat antara ikhwah dan akhawat, seksiskah kita? Berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan, jelaslah kepada kita bahawa pergaulan atau 'ikhtilat' di antara lelaki dan wanita tanpa sebab-sebab munasabah yang dibenarkan adalah dilarang sama sekali dan membawa kepada dosa.
     Maka sewajarnya ke atas kaum Hawa menjaga batas-batas pergaulan harian mereka dengan kaum Adam. Ini kerana 'ikhtilat' yang melanggar batas-batas syariat akan menyebabkan fitnah serta kerosakan hati dan akhlak di kalangan masyarakat Islam. Seterusnya ia boleh menjatuhkan martabat wanita itu sendiri.
     Justeru, sebenarnya langsung tidak timbul soal seksisnya kaum Adam dalam menghukum Hawa, tapi yang pasti Islam mengajar kita untuk berdepan dengan masalah dengan menggunakan ukuran kapasiti diri selaku manusia.
     Nah, masuk akal jika kita katakan perempuan yang dilebihkan oleh Allah dalam soal menjaga maruah dan harga diri sepatutnya lebih peka dan sensitif dengan masalah ini. Namun ini tidak bermakna lelaki boleh berbuat sesuka hati. Selaku lelaki yang sifatnya dikuatkan oleh Allah dalam segala hal, sepatutnya tidak terjerlus ke lembah becak kemaksiatan.
     Jadilah lelaki yang mampu membela dan memimpin kaum Hawa ke jalan yang membawa mereka ke syurga. Bukankah sekiranya kita sayangkan seseorang, sayang kita akan lebih bermakna jika kita sama-sama memperoleh syurga. Mana mungkin lafaz sayang dan kasih kita terpalit lumpur yang natijahnya adalah neraka.
     Lupakan persoalan salah siapa antara kita tapi letakkan pertanyaan dalam benak sanubari kita, ikhtilat antara ikhwah dan akhawat, bagaimana dengan kita? Adakah kita terlibat sama? Jangan sampai suatu masa nanti anak cucu kita mentertawakan dan menghukum kita lantaran salah laku yang kita lakukan hari ini.









 

TAKDIR DIRI, OPTIMISKAH ANDA ???

TAKDIR DIRI,
OPTIMISKAH ANDA ???
OLEH :
MUHAMMAD NAJID BIN ABDULLAH
KULIAH SYARIAH ISLAMIAH, KAHERAH



Firman Allah:
      “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah ....” Al-Taubah: 111.
     Secara jujur, penulisan kali ini ingin membawa pembaca terutama sahabat-sahabat yang baru sahaja mendapat natijah imtihan tahdid mustawa bagi lepasan muadalah dengan Al-Azhar untuk memperkuatkan hayunan langkah, menangkis kata nista perasaan sendiri lantaran kecewa mungkin atau apa jua situasa yang dialami. Sudah menjadi adat dunia, yang berjaya pasti akan gembira dan yang gagal pasti berduka nestapa. Lantaran itu saya merasa terpanggil untuk menukilkan sesuatu untuk dikongsikan bersama walau apa jua situasi dan kondisi anda. Apa yang penting jadikan ia sebagai suatu titik tolak untuk kita terus mara kearah kejayaan.
     Sudah tiada apa lagi yang harus dikesalkan, apatah lagi jauh sekali untuk ditangisi. Sudah tiba saat dan ketika kita lebih serius dan bertenaga dalam mengatur langkah kehadapan. Bagi yang berjaya pastikan kejayan akan menjadi milik kita untuk yang kesekian kalinya dengan meletakkan dikotak fikiran ‘kejayaan bukanlah suatu kemahiran tapi ia adalah suatu sikap’. Bagi yang kurang bernasib baik, sematkan suatu pesanan peringatan ‘gagal sekali bukan bererti tidak akan gagal lagi’.
     Islam mengajar kita untuk berfikir dan berusaha dalam menjalani kehidupan atas muka bumi ini tanpa kita lupa pada suratan yang dinamakan takdir. Ikhtiar yang dileluasakan oleh Allah atas genapan manusia memungkinkan kita untuk mengejar kejayaan dan kecemerlangan dalam hidup. Bulatnya dunia ini menggambarkan betapa kecemerlangan dan kejayaan adalah suatu yang subjektif dan tiada parameter tetap yang mampu mengukurnya. Ia sebenarnya bergantung kepada cara kita berfikir dan melihat sesuatu perkara serta tetapan matlamat yang kita pahatkan dibenak fikiran.
     Soalnya, dengan kerencaman tabiat, gaya hidup dan rentak fikir, kita tidak boleh secara mutlak menghukum seseorang mengikut selera dan fikir otak kita. Letakkan dihati kita rasa hormat dan kasih sesama makhluk untuk memastikan kita diberi perhatian rahmat daripada Allah. Selaku manusia yang dianugerahi akal dan dipandukan dengan nur iman, suka saya untuk memetik kata-kata Dr Majdi Al-Hilali dalam bukunya bertajuk ‘Fenomena Kelemahan Jiwa’ beralaskan kesedaran untuk membina diri kearah cahaya ilmu dan iman dari Allah jua. Mudah-mudahan kejayaan dan kecemerlangan yang membayangi syurga menjadi milik kita akhirnya.
     “Membina diri menitikberatkan pembinaan dan pembentukan dalaman iaitu pembentukan akal, hati dan jiwa. Berkembangnya akal fikiran dan tercetusnya globalisasi minda adalah dengan ilmu kerana tanpa ilmu manusia tidak berupaya untuk menuju kepada Allah dengan jalan yang betul dan selamat.
     Jalan menuju Allah penuh dengan halangan dan liku-liku. Ia tidak dapat dikenalpasti melainkan dengan pertolongan Allah dan berbentengkan ilmu pengetahuan. Hati ialah tempat untuk mengenal Allah. Celik hati, bermakna mereka perlu menghambakan diri kepada Tuhan. Ubudiah (pengabdian) seperti ini dapat diserlahkan melalui tunduk dan penyerahan diri yang mutlak kepada qadha` dan qadar Allah serta kembali dan takut pada-Nya. Taat suruhan Allah menjauhi segala larangan-Nya, menyukai apa yang disukai Allah dan membenci apa yang dibenci Allah. Membuat perhitungan dengan Allah dan marah hanya kerana-Nya. Hati jika dibiarkan maka akan berkarat dan gelaplah cerminnya. Untuk itu, mengambil berat tentang hati dan mengembalikan sinarnya adalah asas terpenting dalam proses pembinaan diri insan.
     Ia bermula dengan taubat nasuha di atas segala dosa yang lalu dan menghilangkan hijab yang menutup pandangan hatinya. Pemerhatian serius adalah perlu untuk memastikan sinarnya berterusan. Ini tidak dapat dilakukan melainkan dengan istiqamah dalam beramal soleh. Tugas ini, umpama proses penyuburan “pokok iman” dalam hati. Kesuburan dan kesegarannya akan terserlah pada cermin hati, seterusnya menambah sinaran cahayanya yang bergemerlapan.
     Dengan itu maka perlulah kita memelihara sembahyang jemaah di masjid di awal waktu, sentiasa menanti azan bila berpeluang, mengakhiri solat dengan wirid yang ma’thur, bersembahyang sunat, bangun tidur sebelum subuh untuk sembahyang walaupun hanya dua rakaat bermunajat kepada Allah SWT dengan penuh khusyu`, merintih dan menghina diri sendiri atas segala kesalahan yang lampau. Menunaikan solat subuh di masjid dan beriktikaf sehingga terbit fajar. Mengisi waktu dengan bacaan Al Quran dan zikir. Setiap orang juga mestilah mempunyai wirid khusus untuk bacaan harian.
     Di samping itu, kita perlu memperbanyakkan puasa, sedekah, doa, menziarahi kubur dan mengiringi jenazah serta menjauhi diri dari memakan benda haram dan segala apa yang ada kesamaran (shubhah) padanya kerana memakan makanan haram boleh mendatangkan penyakit di dalam hati yang susah untuk diubati.
     Rasulullah SAW telah memberi amaran tegas agar menjauhi makanan yang haram dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Seorang lelaki yang bermusafir jauh perjalanannya, tidak terurus rambutnya dan berdebu, menadah tangan ke langit sambil berkata Ya Tuhan…Ya Tuhan, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, sumber makanannya haram maka bagaimanakah dikabulkan doanya!”
     Sabda Rasulullah SAW kepada Saad Bin Abi Waqqas, yang bermaksud ‘Elokkanlah pemakananmu nescaya dimustajabkan doamu’.
(Dr Majdi Al-Hilali, Zohiratu Al-Dha’fi Al-Nafsi)
     Bersama ini juga saya selitkan sembilan belas panduan untuk membina kuasa diri mengikut kajian yang dibuat oleh MONOJA, Permatang Rambai yang diringkaskan serta disusun daripada puluhan buku-buku motivasi :

1. Pegang teguh pada hak kemanusiaan.
2. Selalu hormati harga diri setiap orang, tidak kira siapa dia.
3. Amalkan kata-kata hikmah yang diberi kepada semua orang.
4. Selalu tunjukan keperihatinan yang mendalam kepada kebajikan manusia.
5. Selalu tunjukan kesungguhan melayani setiap orang dengan baik seolah-olah mereka sedarah sedaging.
6. Bersikap ramah terhadap kenalan baru seperti kenalan lama dan anggota keluarga.
7. Jangan pentingkan diri dan bangga. … selalu utamakan keinginan orang lain, dan bualkan (bicarakan) minat mereka, bukan anda.
8. Jangan tetapkan ukuran betul dan salah dengan sendiri.
9. Kekalkan keinginan sihat, cergas bersemangat, dan aktif untuk mengetahui semua perkara yang dapat anda pelajari tentang cara membantu orang.
10. Jangan jemu mencari pengalaman.
11. Bersikap terbuka terhadap perkara yang remeh, tetapi pertahankan dengan tegas dan jelas kepada prinsip.
12. Pastikan anda membantu semua orang pada bila-bila masa, dan bagaimana cara pun… bantulah orang yang memerlukan bantuan apabila anda berupaya.
13. Cari kualiti dalaman yang menjadikan seseorang, bukan menilainya dari luaran yang mungkin akan menimbulkan salah sangka.
14. Sedar bahawa perbuatan yang tidak dapat anda lakukan tidak menjadikannya tugas yang mustahil dibuat.
15. Terima perkara yang tidak dapat anda ubah, tetapi bersikap berani mengubah perkara yang dapat anda ubah.
16. Jangan harapkan kesamaan pendapat atau cuba menyamakan perbezaan.
17. Jangan cuba bandingkan keseronokan orang lain dengan ukuran anda.
18. Selalu berikan teladan untuk diikuti dengan bersikap jujur dan tegas dengan keputusan.
19. Tampilkan ciri warak tambahan seperti ketahanan, semangat, inisiatif, pertimbangan, adil setia, berdiplomasi, dan bijak bertindak.
     Tuntasnya, sama-sama kita pugarkan usaha, sufikan hati, optimiskan minda dan panjatkan tawakal pada Allah jua. Pada masa yang sama pastikan kita menanamkan dalam benak nurani kita suatu keazaman untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam hidup mengikut acuan yang membawa kita ke Syurga Allah Suhanahu Wataala.

EID MUBARAK


Oleh :
Rosriana Mohamad
Syariah Islamiah, Kaherah.

    Pemergian Ramadan al-Mubarak, disusuli kehadiran Syawal yang mulia, hari yang dikenali sebagai hari kemenangan, menang dalam erti kata berjaya memerangi pelbagai godaan sepanjang kita berpuasa pada bulan Ramadan melalui tarbiah madrasah Ramadan.
     Alhamdulillah, kita telah pun berada pada bulan syawal yang cukup indah dan meriah. Ada diantara kita bergembira menyambut Aidulfitri dengan pelbagai persiapan, namun pada saat ini juga ada saudara yang seagama dan seaqidah dengan kita menyambut Aidulfitri dengan kepanasan butir-butir peluru yang tanpa ada keperimanusiaan, dan tangisan yang entah bila akan kesudahannya. keperitan.dan kezaliman yang dihidangkan. Dalam kita bergembira ingatlah kepada mereka yang sensara.
     Di sini,saya mengajak sahabat-sahabiah meneliti sepintas lalu beberapa peristiwa ghazwah yang berlaku pada bulan syawal sebagai santapan ilmuan kita bersama.
     Pada pertengahan Syawal, disana tercetusnya persengketaan antara Qainuqa’ yang sama-sama bermukim di madinah dengan umat islam. Persengketaan berlaku kesan daripada kemenangan islam pada perang badar. Mereka membatalkan perjanjian yang telah dimeterai bersama Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Justeru, umat diseru supaya berwaspada dan tidak mudah percaya dengan yahudi ketika itu.

Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Dan jika kamu khuatir akan terjadinya pengkhianatan dari suatu golongan,maka kembalikanlahperjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur.Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang khianat ”.
Al-Anfal :58

      Perang Uhud ( 3 Hijrah )
      Kekalahan puak Quraisy pada perang Badar memberi impak yang besar kepada mereka. Sejak itu, musyrikin Mekah sentiasa mempersiapkan diri mereka untuk balas dendam dan memerangi Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Pada 15 Syawal mereka bersedia untuk menyerang bersama 3000 orang tentera. Setelah Rasulullah s.a.w mengetahui akan kemaraan kafir Mekah, baginda berbincang dan sebulat suara untuk keluar berperang dari Kota Madinah. Tentera Islam seramai 700 tentera setelah dikhianati oleh puak munafiq yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bersama 300 pengikutnya.
     Di medan Uhud, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam mengatur startegi kedudukan tentera Islam. Setiap kumpulan diketuai seorang ketua. Baginda sallallahu alaihi wasallam menetapkan pasukan pemanah yang diketuai oleh Abdullah bin Jabir. Mereka ditempatkan di atas bukit yang membelakangi tentera Islam untuk menjaga dari belakang. Rasulullah sallallahu alaihi wasallam telah berpesan agar mereka tidak berganjak kecuali setelah diberi arahan. Akan tetapi mereka telah ingkar akan arahan tersebut. Dalam masa yang sama Khalid Al-Walid pemimpin pasukan musyrikin melihat kekurangan pasukan pemanah dan bertindak menyerang semula tentera Islam. Akhirnya, tentera Islam tewas akan puak kafir kerana kelalaian sendiri.

Perang Khandak / Ahzab ( 5 Hijrah )
     Perang khandak ataupun dengan nama lain perang Ahzab yang berpunca daripada Yahudi bani Nadhir yang telah diusir. Beberapa orang ketua mereka menuju ke Mekah mengajak puak Quraisy untuk sama-sama membunuh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Kemudian mengajak dua lagi suku kaum di Ghatfan iaitu bani Murrah dan Fazarah. Mereka semua bersepakat untuk menyerang kaum muslimin di Madinah.
     Setelah baginda sallallahu alaihi wasallam mengetahui perancangan tersebut, baginda sallallahu alaihi wasallamterus berbincang dengan para sahabat. Antara pendapat yang dipersetujui ialah pendapat Salman Al-Farisi untuk menggali parit adalah dipersetujui. Kemaraan tentera kafir terhenti setelah melihat Khandak yang dalam mengelilingi Madinah. Melihat keadaan tersebut mereka menghasut Bani Quraizah yang baru berdamai agar membatalkan perjanjian damai dengan pihak muslimin.
     Kesannya, mereka turut berpihak untuk memerangiI slam. Dan ini adalah ancaman besar kepada tentera Islam yang hanya berjumlah 3000 tentera .
     Di sana juga, Naim bin Mas’ud bin Amir dari Banu Quraizah telah memeluk Islam tanpa pengetahuan kaumnya. Beliau merupakan orang yang dipercayai dikalangan Bani Quraizah. Beliau juga telah membuat beberapa tipu daya sehingga memecah-belahkan persepakatan antara suku kaum yang memerangi Islam. Mereka semua kembali setelah berasa takut dan gentar dengan apa yang ditimpakan oleh Allah ke atas mereka iaitu angin kencang yang menganggu gugat dan merosakan perkhemahan tentera kafir.
     Perang Hunain ( 8 Hijrah )
     Setahun selepas pembukaan Mekah,telah berlaku perang Hunain pada 10 Syawal. Ia merupakan peperangan terakhir yang berlaku antara Muslimin dan Musyrikin yang berpunca daripada pemimpin Hawazin dan Saqif. Mereka masih berdukacita dengan penguasaan Islam ke atas Kota Mekah. Mereka menyangka Rasulullah sallallahu alaihi wasallam akan menyerang setelah menyelesaikan urusan baginda disana. Apa yang berlaku, pemimpin Hawazin dan Saqif mengambil keputusan untuk menyerang sebelum kaum muslimin menyerang mereka.
     Tentera Musyrikin diketuai oleh Malik bin Auf pemimpin Hawazin yang memimpin tentera lebih sedikit jumlahnya daripada tentera Islam. Manakala Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersama tentera Muslimin keluar sehingga tiba di lembah Hunain. Maka disinilah berlaku pertempuran sehingga pada mulanya tentera Islam hampir tewas kerana keramaian dan tipu daya mereka. Dimana ada dikalangan tentera Islam berpaling dari medan Hunain, tetapi Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersama dengan tentera lain tetap meneruskan perjuangan. Akhirnya kemenangan berpihak kepada tentera Islam.
     Inilah diantara sejarah perjuagan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, para sahabat dan para syahidin yang berjuang habis-habisan demi memastikan syiar Islam berada dikemuncaknya, juga mendapatkan keredhaan Allah Taala. Bagaimanakah pula dengan kita?. Adakah penat-lelah kita selama ini, Pergorbanan yang dicurahkan kerana untuk Islam ataupun semata-mata kerana kepentingan diri sendiri beralndaskan nafsu semata-mata….

Salam Lebaran Al-Mubarak.





 

KITA DAN KPKM 2

Mustafa Masyhur menyatakan :

“.... perkara utama yang perlu diberi perhatian sepenuhnya dalam jalan dakwah ini ialah perkaderan atau penerusan warisan dakwah ini pada seluruh matlamatnya, objektif, perencanaan, asas dan pengalaman agar dapat diwariskan kepada generasi yang seterusnya tanpa perubahan dan penyelewengan” ( Fiqh al-Dakwah )

     Pergolakan dunia dewasa ini menggambarkan betapa kefasadan atau kemusnahan terus berlaku apabila kuasa memelihara dan mentadbir dunia ini berada dalam tangan mereka yang menzalimi diri sendiri dengan enggan mengikut dan mengakui keesaan Allah SWT. Lantaran itu, keamanan dihiasi dan digambarkan dengan kenikmatan dunia tanpa batasan mengikut hawa nafsu yang menggila. Ia juga digambarkan dengan kekenyangan dengan makanan yang melimpah ruah dan kemewahan yang membayangkan kenikmatan syurga.
     Pantulannya pada hemat saya ialah hidup dengan satu manhaj yang mengekang hawa nafsu tersebut, menyekat kekenyangan dengan merasai kelaparan dan hidup di dunia sebagai sekadar tempat berteduh bagi musafir yang berkelana ke suatu tempat yang jauh lebih baik dan sempurna.
     Itulah manhaj Ilahi yang telah digariskan oleh Allah SWT dalam kitab suci Al-Quran dan disampaikan melalui perantara agung nabi junjungan besar SAW seterusnya diwarisi oleh para sahabat baginda, tabiin, tabi’ tabiin dan ulama’ sebagaimana sabda Baginda SAW dalam hadis Abu Darda’, beliau mendengar nabi SAW bersabda : “Sesungguhnya Ulama’ itu pewaris Nabi, Sesungguhnya para Nabi tidak meninggalkan dinar dan juga dirham sebagai pusaka warisan tetapi mereka meninggalkan ilmu, maka barang siapa yang mengambilnya mendapat ganjaran yang banyak”.
     Inilah kader-kader du’at yang melayakkan anak-anak Kelantan sama ada Azhari mahupun Mahasiswa Perubatan dalam menjelaskan impian besar saya selaku peneraju KPKM sekali gus melayakkan kita semua untuk dalam zon ilmuan agama sekaligus terpundak taklifan Allah SWT : “... bukankah aku ini tuhanmu? Mereka menjawab: betul, engkau tuhan kami, kami menjadi saksi...”, (surah Al-A’raaf : 172). Seterusnya menjadikan KPKM-PMRAM sebagai wadah perkaderan anak-anak Kelantan di perantauan Ardul Kinanah, khazanah bernilai negara masa depan.
     Globalisasi hari ini menjanjikan dunia dipenuhi dengan pelbagai ilmu baru yang semakin hari semakin luas untuk diterokai. Ini meyakinkan kita bahawa perlunya kepada pengkhususan di lapangan ilmu dalam saf bakal ulama’ yang cuba dibentuk. Lapangan ilmu yang ada,adalah seperti Tafsir, Hadith, Dakwah dan pelbagai pecahan ilmu fiqh yang memerlukan kita sebagai wakil kader.
     Tidak ketinggalan juga mahasiswa perubatan yang mendapat kelebihan oleh Allah dengan berada di bumi ilmu ini juga adalah sebahagian daripada mereka yang difaqehkan oleh Allah dalam bidang agama yang tidak terlepas daripada tanggungjawab untuk menyebarkan agama Allah SWT atas muka bumi ini. Inilah tuntutan semasa yang natijahnya pemfokusan tugas dan kemahiran seterusnya menghasilkan input yang terbaik apabila setiap wakil ini berkumpul, duduk semeja menjana keilmuan bagi kecemerlangan ummah.
     Selain itu, ilmu semasa dan kemahiran tertentu juga perlu diserapkan kepada madrasah perkaderan ini. Kemahiran seperti menyampaikan ilmu, komunikasi (PR skill), penguasaan teknologi maklumat dan pelbagai tuntutan ilmu duniawi akan menghasilkan momentum yang lebih dinamik kepada anak-anak Kelantan untuk berhadapan dengan cabaran global mutakhir ini. Ini bertepatan dengan saranan Mustafa Masyhur Katanya :
       “Yang dikehendaki bagi setiap generasi ialah menyediakan generasi yang berikutnya bagi menanggung tanggungjawab dan melaksanakan kewajipan pada peringkatnya maka dengan latihan.....” (Fiqh Al-Dakwah)
     Sehubungan dengan itu, KPKM- PMRAM dilihat sebagai tapak yang terkehadapan dalam proses perkaderan aset bernilai Islam. Yakin dan percayalah sahabat sekalian, mahasiswa yang menjejakkan kaki ke bumi Mesir sedang diperhati dan dinilai dari masa ke semasa dalam proses yang saya sifatkan sebagai ‘proses penyulingan berperingkat’ untuk memastikan produk yang bakal terhasil adalah menepati piawaian ‘high standard.
     Tepuk dada tanya iman masing-masing adakah kita telah bersedia untuk berada di hadapan dalam memastikan survival ummah dapat dikekalkan mengikut landasan yang sepatutnya atau kita tewas sebelum turun ke medan. Semua ini tidak mampu malah tidak mungkin direalisasikan seandainya kita masih lagi alpa, keliru dan semabur dalam pencarian diri dan identiti selaku lepasan bumi kinanah.
     Nah, inilah sebenarnya tanggungjawab dan taklifan yang terpundak dalam memastikan kita berada betul pada ‘mind setting’ yang digariskan. Saya sedar KPKM seharusnya terkehadapan dalam memastikan proses sulingan ini dapat dilaksanakan sedaya dan semaksima mungkin melalui manifestasi program yang dilaksanakan. Apa pun saya akur dengan keterbatasan kudrat dan tenaga kerja yang ada dalam memikul tanggungjawab ini. Walau bagaimanapun saya optimis dengan meletakkan harapan, usaha yang berterusan yang tidak kenal erti kalah seterusnya panjangan tawakal kepada Rabbul Ibad akan menjayakan segala impian yang dipahat di sanubari.
     Suka saya untuk berpesan pada semua pimpinan baru yang sedang menerajui KPKM sesi ini untuk tabah menghadapi segala mehnah dan tribulasi dalam memastikan ‘survival’ anak-anak Kelantan Mesir dapat diteruskan. Kita perlu punya jati diri dan identiti sendiri serta berprinsip untuk terus dihormati. Ketepikan soal hati dalam menjalankan amanah taklifan, istiqamah dan iltizam dalam menjalankan tugas khilafah yang terpundak serta pastikan diri ikhlas dalam perjalanan dakwah berpersatuan.
     Apa yang paling mustahak dalam hidup berorganisasi adalah sifat tasamuh, boleh menerima pandangan dan punya prinsip dan mauqif yang tidak mampu diganggu gugat oleh anasir perosak yang jahat dan begitu dengkikan khilafah islamiah tertegak walau seinci atas muka bumi ini. Inilah realiti dan asam garam dalam perjuangan yang perlu kita pastikan kemenangannya adalah milik kita yang bernama kebenaran, InsyaAllah.
     Akhirnya, saya mewakili pimpinan KPKM sesi 2006/2007 menyusun 10 jari memohon ampun dan maaf kepada semua ahli KPKM seandainya selama kami memegang amanah ini akan ada salah, silap dan kekurangan pihak kami yang sudah menjadi adat selaku manusia biasa yang insyaAllah akan menjadi sempadan dalam kotak hati dan sanubari saya dan sahabat pimpinan.
     Akhirnya pesan saya pada semua marilah kita pahatkan rasa hormat-menghormati dan kasih-mengasihi sesama kita dalam setiap tindakan. Justeru rasa hormat dan rasa kasih akan memimpin kita untuk membuat perubahan yang besar dalam setiap gerak tindak dan ribatan ukhuwwah fillah sepanjang kita bermuamalah selaku ahli KPKM-PMRAM serta beramal dengan hadis nabi SAW:
‘Sesiapa yang tidak mengasihi maka dia tidak layak untuk dikasihi’.

 

KITA DAN KPKM

KITA & KPKM

OLEH :

MOHD HAFIZ BIN MAHMUD
YDP KPKM SESI 2006/2007


Firman Allah:
“Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk” (al Kahf:13)

Assalamualaikum Wbrt

Sahabat Yang Dirahmati Allah
          Setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan kehadrat Allah SWt kerana dengan limpah izin dan kurnianya kita masih lagi diberi ruang untuk teruskan kehidupan atas muka bumi Allah ini dalam misi dan visi suci sebagai hamba Allah seterusnya diberi kefahaman oleh Allah untuk terus tegar memugar Ardhu Kinanah, terus bertahan dan sebolehnya menjadi penerus yang kuat mendokong misi khilafah. Selawat serta salam buat junjungan besar kita nabi dan rasul Muhammad SAW, keluarga baginga, sahabat serta mereka-mereka yang menjadi mata rantai kepada perjuangannya.
         Panjatan Tahmid juga saya lebarkan atas izin kurnia Allah menyatukan kita dalam satu bahtera persatuan yang saya sifatkan sebagai medan untuk kita mengimplimentasi segala ilmu sesuai dengan tema KPKM ‘Berilmu Dan Beramal. Inilah suatu janji yang secara sedar sedang menguasai kotak fikiran kita dengan dengan beramalkan suatu hadis ‘Hendaklah kamu berada bersama jemaah orang Islam’. Nakhoda persatuan yang saya maksudkan ialah Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir (KPKM) yang bernaung di bawah Persekutuan Republik Arab Mesir(PMRAM) yang jika dirujuk dasar dan asas penubuhan adalah bermatlamat menjadikan Al-quran dan Al-Sunnah sebagai asas dan matlamat dalam pergerakan dan tindakan dengan menyakini bahawa cara hidup Islam sahajalah yang dapat memberikan kesejahteraan, kepuasan, ketenangan dan kebahagiaan kepada pendokongnya di dunia dan juga di akhirat. KPKM juga meyakini manhaj Islam perlu digerakkan dalam setiap aspek tindakan anak-anak Kelantan Mesir samada dari sudut penguasaan ilmu pengetahuan, ekonomi, sosial, politik, kebajikan dan sebagainya dengan satu iltizam untuk mencapai mardhatillah.
         Suka saya untuk panjangkan kalam pertama selepas pentaklifan ini dengan mengajak para sahabat untuk sama-sama merenung dan membuat koreki kendiri dalam meletakkan standard kesatuan, kemuafakatan, kerjasama padu antara kita dalam menjadikan KPKM sebagai sebuah bahtera milik bersama yang perlu kita dokongi kearah matlamat laungan menjadikan anak-anak Kelantan cemerlang dari sudut akademik, punyai akhlak dan jiwa kental dan mampu mendepani massa.
        Andaikan kita berada dalam satu kapal ditengah lautan. Nakhoda adalah sang ketua yang diamanahkan untuk mengetuai permusafiran, diikuti pembantu kiri, kanan, depan dan belakang yang sentiasa bertungkus lumus untuk memastikan bahtera pelayaran tidak berkubur ditengah lautan seterusnya para penumpang yang sentiasa berdoa untruk keselamatan. Fokusnya setiap inci dari kita punyai peranan dalam memastikan pelayaran kita selamat dan tidak goyah dirempuh badai.
       Inilah analogi mudah untuk menunjukkan bahawa kesatuan adalah aset utama dalam sesebuah gerakan organisasi yang tersusun sifatnya yang tunjangnya adalah berasaskan kebenaran. Cuma mungkin ada pincang jika diteliti teknikal perjalanan yang perlu diperbaiki dan sudah menjadi adat nasi berkerak adat lesung berdedak, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Jangan kerana lumpur secalit kerbau sekubang di sembelih. Kerana sifat manusia yang terpuji bukanlah orang yang tidak pernah jatuh mahupun silap tapi meraka yang terpuji dan terhormat adalah mereka yang jatuh dan bangkit kembali mencipta kegemilangan.
       Kiri, kanan, depan dan belakang kita diasak gelombang ombak lautan malah terkadang ujian taufan dari Tuhan datang dari atas menggongcang kapal, sesekali karang dari bawah muncul secara senyap cuba mengganggu perjalanan. Tamsilan mudah yang saya bawakan, saya tinggalkan beberapa persoalan buat sahabat untuk berfikir dan mencari jawapan kerana mana mungkin kebenaran dapat dijelmakan seandainya kita malas untuk menggunakan otak anugerah Tuhan sebagaimana firman Allah bermaksud ‘kenapa kamu tidak berfikir’.
       Dikesempatan waktu yang terbatas ini tidak terlalu lewat untuk saya dedikasikan ucapan Ramadhan Karim dan selamat menempuhi pengajian kepada seluruh anak kelantan samada Azhari mahupun mahasiswa perubatan dengan harapan agar sama-sama kita maksimakan usaha dengan panduan studi yang betul dan berkesan agar natijah imtihan yang bakal diperolehi sejajar dengan usaha dan smart studi yang kita amalkan.
       Secara khususnya ingin saya mengajak mahasiswa baru untuk sama-sama bermuhasabah dalam memulakan langkah pertama bergelar mahasiswa di Ardul Kinanah. Sesuatu yang ingin saya kongsi bersama dengan kalian adalah bagaimana mungkin kejayaan akan datang bergolek menghampiri kita mahupun melayang jatuh ke riba seandai tidak disusuli usaha, doa dan tawakkal kerana kecemerlangan bukan sutu kemahiran yang kita boleh banggakan mahupun kita paksikan berdasarkan masa lalu tapi ia berteraskan bagaimana kita mampu mengekalkan sikap seorang yang cemerlang mahupun membuang jauh sikap gagal, lantas memasang tekad yang utuh untuk berjaya dengan cemerlang.
      Walau siapa dan apa pun kita masa yang lalu jangan letakkan di kotak hati dan fikiran yang ia adalah ukuran tetap yang menjanjikan sesuatu yang qatei untuk kejayaan dan kegagalan kita hari ini. Seandainya dulu kita pelajar yang cemerlang jangan kita memdabik dada menyatakan kita mampu mengulangi sejarah cemerlang untuk kali kedua seandai kita tidak bertindak dan mengekalkan sikap cemerlang masa dulu. Namun sebaliknya seandai kita pernah gagal, jangan sekali-kali putus asa dan menganggap gagal akan menjadi sajian kita selamanya kerana sepatutnya kita muhasabah dan berubah untuk betindak dan membentuk sikap baru yang mampu menatijahkan kejayaan. Justeru, orang yang terpuji bukanlah orang yang tidak pernah jatuh tapi mereka adalah orang yang jatuh dan bangkit kembali untuk melakar kejayaan yang tidak pernah disangka-sangka. Sematkan di hati DIA YANG BERJAYA adalah kita.
    Tuntasnya, suburkan sifat bantu-membantu, tolong-menolong dan kemas ikatan ukhuwwah sesama kita agar rahmat Allah akan melimpahi kita sepanjang keberadaan di perlembahan Nil ini. Seterusnya marilah sama-sama kita keketepikan prasangka dan sengketa kerana mana mungkin parasit yang menghisap rahmat Allah ini mampu membantu kita membesar dengan tenang dan sejahtera.
     Wujudkan sekitaran yang kondusif untuk menyuburkan cara hidup yang mampu merangsang kelangsungan biah pengajian dengan mengetepikan semua perkara negatif yang merampas inayah dan hidayah Allah jauh dari kita dek kerana kealpaan dan keloklakan kita dalam memasarkan diri selalu hamba Allah. BERSAMBUNG .......










 

2/09/2007

PENUNTUN HIDUP BAHAGIA


FAJARMU AKAN MENYISING LAGI
DENGAN NAMA ALLAH SWT YANG MAHA PENGASIH 
LAGI MAHA PENYAYANG