2/10/2007

KITA DAN KPKM 2

Mustafa Masyhur menyatakan :

“.... perkara utama yang perlu diberi perhatian sepenuhnya dalam jalan dakwah ini ialah perkaderan atau penerusan warisan dakwah ini pada seluruh matlamatnya, objektif, perencanaan, asas dan pengalaman agar dapat diwariskan kepada generasi yang seterusnya tanpa perubahan dan penyelewengan” ( Fiqh al-Dakwah )

     Pergolakan dunia dewasa ini menggambarkan betapa kefasadan atau kemusnahan terus berlaku apabila kuasa memelihara dan mentadbir dunia ini berada dalam tangan mereka yang menzalimi diri sendiri dengan enggan mengikut dan mengakui keesaan Allah SWT. Lantaran itu, keamanan dihiasi dan digambarkan dengan kenikmatan dunia tanpa batasan mengikut hawa nafsu yang menggila. Ia juga digambarkan dengan kekenyangan dengan makanan yang melimpah ruah dan kemewahan yang membayangkan kenikmatan syurga.
     Pantulannya pada hemat saya ialah hidup dengan satu manhaj yang mengekang hawa nafsu tersebut, menyekat kekenyangan dengan merasai kelaparan dan hidup di dunia sebagai sekadar tempat berteduh bagi musafir yang berkelana ke suatu tempat yang jauh lebih baik dan sempurna.
     Itulah manhaj Ilahi yang telah digariskan oleh Allah SWT dalam kitab suci Al-Quran dan disampaikan melalui perantara agung nabi junjungan besar SAW seterusnya diwarisi oleh para sahabat baginda, tabiin, tabi’ tabiin dan ulama’ sebagaimana sabda Baginda SAW dalam hadis Abu Darda’, beliau mendengar nabi SAW bersabda : “Sesungguhnya Ulama’ itu pewaris Nabi, Sesungguhnya para Nabi tidak meninggalkan dinar dan juga dirham sebagai pusaka warisan tetapi mereka meninggalkan ilmu, maka barang siapa yang mengambilnya mendapat ganjaran yang banyak”.
     Inilah kader-kader du’at yang melayakkan anak-anak Kelantan sama ada Azhari mahupun Mahasiswa Perubatan dalam menjelaskan impian besar saya selaku peneraju KPKM sekali gus melayakkan kita semua untuk dalam zon ilmuan agama sekaligus terpundak taklifan Allah SWT : “... bukankah aku ini tuhanmu? Mereka menjawab: betul, engkau tuhan kami, kami menjadi saksi...”, (surah Al-A’raaf : 172). Seterusnya menjadikan KPKM-PMRAM sebagai wadah perkaderan anak-anak Kelantan di perantauan Ardul Kinanah, khazanah bernilai negara masa depan.
     Globalisasi hari ini menjanjikan dunia dipenuhi dengan pelbagai ilmu baru yang semakin hari semakin luas untuk diterokai. Ini meyakinkan kita bahawa perlunya kepada pengkhususan di lapangan ilmu dalam saf bakal ulama’ yang cuba dibentuk. Lapangan ilmu yang ada,adalah seperti Tafsir, Hadith, Dakwah dan pelbagai pecahan ilmu fiqh yang memerlukan kita sebagai wakil kader.
     Tidak ketinggalan juga mahasiswa perubatan yang mendapat kelebihan oleh Allah dengan berada di bumi ilmu ini juga adalah sebahagian daripada mereka yang difaqehkan oleh Allah dalam bidang agama yang tidak terlepas daripada tanggungjawab untuk menyebarkan agama Allah SWT atas muka bumi ini. Inilah tuntutan semasa yang natijahnya pemfokusan tugas dan kemahiran seterusnya menghasilkan input yang terbaik apabila setiap wakil ini berkumpul, duduk semeja menjana keilmuan bagi kecemerlangan ummah.
     Selain itu, ilmu semasa dan kemahiran tertentu juga perlu diserapkan kepada madrasah perkaderan ini. Kemahiran seperti menyampaikan ilmu, komunikasi (PR skill), penguasaan teknologi maklumat dan pelbagai tuntutan ilmu duniawi akan menghasilkan momentum yang lebih dinamik kepada anak-anak Kelantan untuk berhadapan dengan cabaran global mutakhir ini. Ini bertepatan dengan saranan Mustafa Masyhur Katanya :
       “Yang dikehendaki bagi setiap generasi ialah menyediakan generasi yang berikutnya bagi menanggung tanggungjawab dan melaksanakan kewajipan pada peringkatnya maka dengan latihan.....” (Fiqh Al-Dakwah)
     Sehubungan dengan itu, KPKM- PMRAM dilihat sebagai tapak yang terkehadapan dalam proses perkaderan aset bernilai Islam. Yakin dan percayalah sahabat sekalian, mahasiswa yang menjejakkan kaki ke bumi Mesir sedang diperhati dan dinilai dari masa ke semasa dalam proses yang saya sifatkan sebagai ‘proses penyulingan berperingkat’ untuk memastikan produk yang bakal terhasil adalah menepati piawaian ‘high standard.
     Tepuk dada tanya iman masing-masing adakah kita telah bersedia untuk berada di hadapan dalam memastikan survival ummah dapat dikekalkan mengikut landasan yang sepatutnya atau kita tewas sebelum turun ke medan. Semua ini tidak mampu malah tidak mungkin direalisasikan seandainya kita masih lagi alpa, keliru dan semabur dalam pencarian diri dan identiti selaku lepasan bumi kinanah.
     Nah, inilah sebenarnya tanggungjawab dan taklifan yang terpundak dalam memastikan kita berada betul pada ‘mind setting’ yang digariskan. Saya sedar KPKM seharusnya terkehadapan dalam memastikan proses sulingan ini dapat dilaksanakan sedaya dan semaksima mungkin melalui manifestasi program yang dilaksanakan. Apa pun saya akur dengan keterbatasan kudrat dan tenaga kerja yang ada dalam memikul tanggungjawab ini. Walau bagaimanapun saya optimis dengan meletakkan harapan, usaha yang berterusan yang tidak kenal erti kalah seterusnya panjangan tawakal kepada Rabbul Ibad akan menjayakan segala impian yang dipahat di sanubari.
     Suka saya untuk berpesan pada semua pimpinan baru yang sedang menerajui KPKM sesi ini untuk tabah menghadapi segala mehnah dan tribulasi dalam memastikan ‘survival’ anak-anak Kelantan Mesir dapat diteruskan. Kita perlu punya jati diri dan identiti sendiri serta berprinsip untuk terus dihormati. Ketepikan soal hati dalam menjalankan amanah taklifan, istiqamah dan iltizam dalam menjalankan tugas khilafah yang terpundak serta pastikan diri ikhlas dalam perjalanan dakwah berpersatuan.
     Apa yang paling mustahak dalam hidup berorganisasi adalah sifat tasamuh, boleh menerima pandangan dan punya prinsip dan mauqif yang tidak mampu diganggu gugat oleh anasir perosak yang jahat dan begitu dengkikan khilafah islamiah tertegak walau seinci atas muka bumi ini. Inilah realiti dan asam garam dalam perjuangan yang perlu kita pastikan kemenangannya adalah milik kita yang bernama kebenaran, InsyaAllah.
     Akhirnya, saya mewakili pimpinan KPKM sesi 2006/2007 menyusun 10 jari memohon ampun dan maaf kepada semua ahli KPKM seandainya selama kami memegang amanah ini akan ada salah, silap dan kekurangan pihak kami yang sudah menjadi adat selaku manusia biasa yang insyaAllah akan menjadi sempadan dalam kotak hati dan sanubari saya dan sahabat pimpinan.
     Akhirnya pesan saya pada semua marilah kita pahatkan rasa hormat-menghormati dan kasih-mengasihi sesama kita dalam setiap tindakan. Justeru rasa hormat dan rasa kasih akan memimpin kita untuk membuat perubahan yang besar dalam setiap gerak tindak dan ribatan ukhuwwah fillah sepanjang kita bermuamalah selaku ahli KPKM-PMRAM serta beramal dengan hadis nabi SAW:
‘Sesiapa yang tidak mengasihi maka dia tidak layak untuk dikasihi’.

 

No comments: