2/10/2007

TAKDIR DIRI, OPTIMISKAH ANDA ???

TAKDIR DIRI,
OPTIMISKAH ANDA ???
OLEH :
MUHAMMAD NAJID BIN ABDULLAH
KULIAH SYARIAH ISLAMIAH, KAHERAH



Firman Allah:
      “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah ....” Al-Taubah: 111.
     Secara jujur, penulisan kali ini ingin membawa pembaca terutama sahabat-sahabat yang baru sahaja mendapat natijah imtihan tahdid mustawa bagi lepasan muadalah dengan Al-Azhar untuk memperkuatkan hayunan langkah, menangkis kata nista perasaan sendiri lantaran kecewa mungkin atau apa jua situasa yang dialami. Sudah menjadi adat dunia, yang berjaya pasti akan gembira dan yang gagal pasti berduka nestapa. Lantaran itu saya merasa terpanggil untuk menukilkan sesuatu untuk dikongsikan bersama walau apa jua situasi dan kondisi anda. Apa yang penting jadikan ia sebagai suatu titik tolak untuk kita terus mara kearah kejayaan.
     Sudah tiada apa lagi yang harus dikesalkan, apatah lagi jauh sekali untuk ditangisi. Sudah tiba saat dan ketika kita lebih serius dan bertenaga dalam mengatur langkah kehadapan. Bagi yang berjaya pastikan kejayan akan menjadi milik kita untuk yang kesekian kalinya dengan meletakkan dikotak fikiran ‘kejayaan bukanlah suatu kemahiran tapi ia adalah suatu sikap’. Bagi yang kurang bernasib baik, sematkan suatu pesanan peringatan ‘gagal sekali bukan bererti tidak akan gagal lagi’.
     Islam mengajar kita untuk berfikir dan berusaha dalam menjalani kehidupan atas muka bumi ini tanpa kita lupa pada suratan yang dinamakan takdir. Ikhtiar yang dileluasakan oleh Allah atas genapan manusia memungkinkan kita untuk mengejar kejayaan dan kecemerlangan dalam hidup. Bulatnya dunia ini menggambarkan betapa kecemerlangan dan kejayaan adalah suatu yang subjektif dan tiada parameter tetap yang mampu mengukurnya. Ia sebenarnya bergantung kepada cara kita berfikir dan melihat sesuatu perkara serta tetapan matlamat yang kita pahatkan dibenak fikiran.
     Soalnya, dengan kerencaman tabiat, gaya hidup dan rentak fikir, kita tidak boleh secara mutlak menghukum seseorang mengikut selera dan fikir otak kita. Letakkan dihati kita rasa hormat dan kasih sesama makhluk untuk memastikan kita diberi perhatian rahmat daripada Allah. Selaku manusia yang dianugerahi akal dan dipandukan dengan nur iman, suka saya untuk memetik kata-kata Dr Majdi Al-Hilali dalam bukunya bertajuk ‘Fenomena Kelemahan Jiwa’ beralaskan kesedaran untuk membina diri kearah cahaya ilmu dan iman dari Allah jua. Mudah-mudahan kejayaan dan kecemerlangan yang membayangi syurga menjadi milik kita akhirnya.
     “Membina diri menitikberatkan pembinaan dan pembentukan dalaman iaitu pembentukan akal, hati dan jiwa. Berkembangnya akal fikiran dan tercetusnya globalisasi minda adalah dengan ilmu kerana tanpa ilmu manusia tidak berupaya untuk menuju kepada Allah dengan jalan yang betul dan selamat.
     Jalan menuju Allah penuh dengan halangan dan liku-liku. Ia tidak dapat dikenalpasti melainkan dengan pertolongan Allah dan berbentengkan ilmu pengetahuan. Hati ialah tempat untuk mengenal Allah. Celik hati, bermakna mereka perlu menghambakan diri kepada Tuhan. Ubudiah (pengabdian) seperti ini dapat diserlahkan melalui tunduk dan penyerahan diri yang mutlak kepada qadha` dan qadar Allah serta kembali dan takut pada-Nya. Taat suruhan Allah menjauhi segala larangan-Nya, menyukai apa yang disukai Allah dan membenci apa yang dibenci Allah. Membuat perhitungan dengan Allah dan marah hanya kerana-Nya. Hati jika dibiarkan maka akan berkarat dan gelaplah cerminnya. Untuk itu, mengambil berat tentang hati dan mengembalikan sinarnya adalah asas terpenting dalam proses pembinaan diri insan.
     Ia bermula dengan taubat nasuha di atas segala dosa yang lalu dan menghilangkan hijab yang menutup pandangan hatinya. Pemerhatian serius adalah perlu untuk memastikan sinarnya berterusan. Ini tidak dapat dilakukan melainkan dengan istiqamah dalam beramal soleh. Tugas ini, umpama proses penyuburan “pokok iman” dalam hati. Kesuburan dan kesegarannya akan terserlah pada cermin hati, seterusnya menambah sinaran cahayanya yang bergemerlapan.
     Dengan itu maka perlulah kita memelihara sembahyang jemaah di masjid di awal waktu, sentiasa menanti azan bila berpeluang, mengakhiri solat dengan wirid yang ma’thur, bersembahyang sunat, bangun tidur sebelum subuh untuk sembahyang walaupun hanya dua rakaat bermunajat kepada Allah SWT dengan penuh khusyu`, merintih dan menghina diri sendiri atas segala kesalahan yang lampau. Menunaikan solat subuh di masjid dan beriktikaf sehingga terbit fajar. Mengisi waktu dengan bacaan Al Quran dan zikir. Setiap orang juga mestilah mempunyai wirid khusus untuk bacaan harian.
     Di samping itu, kita perlu memperbanyakkan puasa, sedekah, doa, menziarahi kubur dan mengiringi jenazah serta menjauhi diri dari memakan benda haram dan segala apa yang ada kesamaran (shubhah) padanya kerana memakan makanan haram boleh mendatangkan penyakit di dalam hati yang susah untuk diubati.
     Rasulullah SAW telah memberi amaran tegas agar menjauhi makanan yang haram dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Seorang lelaki yang bermusafir jauh perjalanannya, tidak terurus rambutnya dan berdebu, menadah tangan ke langit sambil berkata Ya Tuhan…Ya Tuhan, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, sumber makanannya haram maka bagaimanakah dikabulkan doanya!”
     Sabda Rasulullah SAW kepada Saad Bin Abi Waqqas, yang bermaksud ‘Elokkanlah pemakananmu nescaya dimustajabkan doamu’.
(Dr Majdi Al-Hilali, Zohiratu Al-Dha’fi Al-Nafsi)
     Bersama ini juga saya selitkan sembilan belas panduan untuk membina kuasa diri mengikut kajian yang dibuat oleh MONOJA, Permatang Rambai yang diringkaskan serta disusun daripada puluhan buku-buku motivasi :

1. Pegang teguh pada hak kemanusiaan.
2. Selalu hormati harga diri setiap orang, tidak kira siapa dia.
3. Amalkan kata-kata hikmah yang diberi kepada semua orang.
4. Selalu tunjukan keperihatinan yang mendalam kepada kebajikan manusia.
5. Selalu tunjukan kesungguhan melayani setiap orang dengan baik seolah-olah mereka sedarah sedaging.
6. Bersikap ramah terhadap kenalan baru seperti kenalan lama dan anggota keluarga.
7. Jangan pentingkan diri dan bangga. … selalu utamakan keinginan orang lain, dan bualkan (bicarakan) minat mereka, bukan anda.
8. Jangan tetapkan ukuran betul dan salah dengan sendiri.
9. Kekalkan keinginan sihat, cergas bersemangat, dan aktif untuk mengetahui semua perkara yang dapat anda pelajari tentang cara membantu orang.
10. Jangan jemu mencari pengalaman.
11. Bersikap terbuka terhadap perkara yang remeh, tetapi pertahankan dengan tegas dan jelas kepada prinsip.
12. Pastikan anda membantu semua orang pada bila-bila masa, dan bagaimana cara pun… bantulah orang yang memerlukan bantuan apabila anda berupaya.
13. Cari kualiti dalaman yang menjadikan seseorang, bukan menilainya dari luaran yang mungkin akan menimbulkan salah sangka.
14. Sedar bahawa perbuatan yang tidak dapat anda lakukan tidak menjadikannya tugas yang mustahil dibuat.
15. Terima perkara yang tidak dapat anda ubah, tetapi bersikap berani mengubah perkara yang dapat anda ubah.
16. Jangan harapkan kesamaan pendapat atau cuba menyamakan perbezaan.
17. Jangan cuba bandingkan keseronokan orang lain dengan ukuran anda.
18. Selalu berikan teladan untuk diikuti dengan bersikap jujur dan tegas dengan keputusan.
19. Tampilkan ciri warak tambahan seperti ketahanan, semangat, inisiatif, pertimbangan, adil setia, berdiplomasi, dan bijak bertindak.
     Tuntasnya, sama-sama kita pugarkan usaha, sufikan hati, optimiskan minda dan panjatkan tawakal pada Allah jua. Pada masa yang sama pastikan kita menanamkan dalam benak nurani kita suatu keazaman untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam hidup mengikut acuan yang membawa kita ke Syurga Allah Suhanahu Wataala.

No comments: