2/10/2007

KITA DAN KPKM

KITA & KPKM

OLEH :

MOHD HAFIZ BIN MAHMUD
YDP KPKM SESI 2006/2007


Firman Allah:
“Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk” (al Kahf:13)

Assalamualaikum Wbrt

Sahabat Yang Dirahmati Allah
          Setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan kehadrat Allah SWt kerana dengan limpah izin dan kurnianya kita masih lagi diberi ruang untuk teruskan kehidupan atas muka bumi Allah ini dalam misi dan visi suci sebagai hamba Allah seterusnya diberi kefahaman oleh Allah untuk terus tegar memugar Ardhu Kinanah, terus bertahan dan sebolehnya menjadi penerus yang kuat mendokong misi khilafah. Selawat serta salam buat junjungan besar kita nabi dan rasul Muhammad SAW, keluarga baginga, sahabat serta mereka-mereka yang menjadi mata rantai kepada perjuangannya.
         Panjatan Tahmid juga saya lebarkan atas izin kurnia Allah menyatukan kita dalam satu bahtera persatuan yang saya sifatkan sebagai medan untuk kita mengimplimentasi segala ilmu sesuai dengan tema KPKM ‘Berilmu Dan Beramal. Inilah suatu janji yang secara sedar sedang menguasai kotak fikiran kita dengan dengan beramalkan suatu hadis ‘Hendaklah kamu berada bersama jemaah orang Islam’. Nakhoda persatuan yang saya maksudkan ialah Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir (KPKM) yang bernaung di bawah Persekutuan Republik Arab Mesir(PMRAM) yang jika dirujuk dasar dan asas penubuhan adalah bermatlamat menjadikan Al-quran dan Al-Sunnah sebagai asas dan matlamat dalam pergerakan dan tindakan dengan menyakini bahawa cara hidup Islam sahajalah yang dapat memberikan kesejahteraan, kepuasan, ketenangan dan kebahagiaan kepada pendokongnya di dunia dan juga di akhirat. KPKM juga meyakini manhaj Islam perlu digerakkan dalam setiap aspek tindakan anak-anak Kelantan Mesir samada dari sudut penguasaan ilmu pengetahuan, ekonomi, sosial, politik, kebajikan dan sebagainya dengan satu iltizam untuk mencapai mardhatillah.
         Suka saya untuk panjangkan kalam pertama selepas pentaklifan ini dengan mengajak para sahabat untuk sama-sama merenung dan membuat koreki kendiri dalam meletakkan standard kesatuan, kemuafakatan, kerjasama padu antara kita dalam menjadikan KPKM sebagai sebuah bahtera milik bersama yang perlu kita dokongi kearah matlamat laungan menjadikan anak-anak Kelantan cemerlang dari sudut akademik, punyai akhlak dan jiwa kental dan mampu mendepani massa.
        Andaikan kita berada dalam satu kapal ditengah lautan. Nakhoda adalah sang ketua yang diamanahkan untuk mengetuai permusafiran, diikuti pembantu kiri, kanan, depan dan belakang yang sentiasa bertungkus lumus untuk memastikan bahtera pelayaran tidak berkubur ditengah lautan seterusnya para penumpang yang sentiasa berdoa untruk keselamatan. Fokusnya setiap inci dari kita punyai peranan dalam memastikan pelayaran kita selamat dan tidak goyah dirempuh badai.
       Inilah analogi mudah untuk menunjukkan bahawa kesatuan adalah aset utama dalam sesebuah gerakan organisasi yang tersusun sifatnya yang tunjangnya adalah berasaskan kebenaran. Cuma mungkin ada pincang jika diteliti teknikal perjalanan yang perlu diperbaiki dan sudah menjadi adat nasi berkerak adat lesung berdedak, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Jangan kerana lumpur secalit kerbau sekubang di sembelih. Kerana sifat manusia yang terpuji bukanlah orang yang tidak pernah jatuh mahupun silap tapi meraka yang terpuji dan terhormat adalah mereka yang jatuh dan bangkit kembali mencipta kegemilangan.
       Kiri, kanan, depan dan belakang kita diasak gelombang ombak lautan malah terkadang ujian taufan dari Tuhan datang dari atas menggongcang kapal, sesekali karang dari bawah muncul secara senyap cuba mengganggu perjalanan. Tamsilan mudah yang saya bawakan, saya tinggalkan beberapa persoalan buat sahabat untuk berfikir dan mencari jawapan kerana mana mungkin kebenaran dapat dijelmakan seandainya kita malas untuk menggunakan otak anugerah Tuhan sebagaimana firman Allah bermaksud ‘kenapa kamu tidak berfikir’.
       Dikesempatan waktu yang terbatas ini tidak terlalu lewat untuk saya dedikasikan ucapan Ramadhan Karim dan selamat menempuhi pengajian kepada seluruh anak kelantan samada Azhari mahupun mahasiswa perubatan dengan harapan agar sama-sama kita maksimakan usaha dengan panduan studi yang betul dan berkesan agar natijah imtihan yang bakal diperolehi sejajar dengan usaha dan smart studi yang kita amalkan.
       Secara khususnya ingin saya mengajak mahasiswa baru untuk sama-sama bermuhasabah dalam memulakan langkah pertama bergelar mahasiswa di Ardul Kinanah. Sesuatu yang ingin saya kongsi bersama dengan kalian adalah bagaimana mungkin kejayaan akan datang bergolek menghampiri kita mahupun melayang jatuh ke riba seandai tidak disusuli usaha, doa dan tawakkal kerana kecemerlangan bukan sutu kemahiran yang kita boleh banggakan mahupun kita paksikan berdasarkan masa lalu tapi ia berteraskan bagaimana kita mampu mengekalkan sikap seorang yang cemerlang mahupun membuang jauh sikap gagal, lantas memasang tekad yang utuh untuk berjaya dengan cemerlang.
      Walau siapa dan apa pun kita masa yang lalu jangan letakkan di kotak hati dan fikiran yang ia adalah ukuran tetap yang menjanjikan sesuatu yang qatei untuk kejayaan dan kegagalan kita hari ini. Seandainya dulu kita pelajar yang cemerlang jangan kita memdabik dada menyatakan kita mampu mengulangi sejarah cemerlang untuk kali kedua seandai kita tidak bertindak dan mengekalkan sikap cemerlang masa dulu. Namun sebaliknya seandai kita pernah gagal, jangan sekali-kali putus asa dan menganggap gagal akan menjadi sajian kita selamanya kerana sepatutnya kita muhasabah dan berubah untuk betindak dan membentuk sikap baru yang mampu menatijahkan kejayaan. Justeru, orang yang terpuji bukanlah orang yang tidak pernah jatuh tapi mereka adalah orang yang jatuh dan bangkit kembali untuk melakar kejayaan yang tidak pernah disangka-sangka. Sematkan di hati DIA YANG BERJAYA adalah kita.
    Tuntasnya, suburkan sifat bantu-membantu, tolong-menolong dan kemas ikatan ukhuwwah sesama kita agar rahmat Allah akan melimpahi kita sepanjang keberadaan di perlembahan Nil ini. Seterusnya marilah sama-sama kita keketepikan prasangka dan sengketa kerana mana mungkin parasit yang menghisap rahmat Allah ini mampu membantu kita membesar dengan tenang dan sejahtera.
     Wujudkan sekitaran yang kondusif untuk menyuburkan cara hidup yang mampu merangsang kelangsungan biah pengajian dengan mengetepikan semua perkara negatif yang merampas inayah dan hidayah Allah jauh dari kita dek kerana kealpaan dan keloklakan kita dalam memasarkan diri selalu hamba Allah. BERSAMBUNG .......










 

No comments: