2/10/2007

EID MUBARAK


Oleh :
Rosriana Mohamad
Syariah Islamiah, Kaherah.

    Pemergian Ramadan al-Mubarak, disusuli kehadiran Syawal yang mulia, hari yang dikenali sebagai hari kemenangan, menang dalam erti kata berjaya memerangi pelbagai godaan sepanjang kita berpuasa pada bulan Ramadan melalui tarbiah madrasah Ramadan.
     Alhamdulillah, kita telah pun berada pada bulan syawal yang cukup indah dan meriah. Ada diantara kita bergembira menyambut Aidulfitri dengan pelbagai persiapan, namun pada saat ini juga ada saudara yang seagama dan seaqidah dengan kita menyambut Aidulfitri dengan kepanasan butir-butir peluru yang tanpa ada keperimanusiaan, dan tangisan yang entah bila akan kesudahannya. keperitan.dan kezaliman yang dihidangkan. Dalam kita bergembira ingatlah kepada mereka yang sensara.
     Di sini,saya mengajak sahabat-sahabiah meneliti sepintas lalu beberapa peristiwa ghazwah yang berlaku pada bulan syawal sebagai santapan ilmuan kita bersama.
     Pada pertengahan Syawal, disana tercetusnya persengketaan antara Qainuqa’ yang sama-sama bermukim di madinah dengan umat islam. Persengketaan berlaku kesan daripada kemenangan islam pada perang badar. Mereka membatalkan perjanjian yang telah dimeterai bersama Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Justeru, umat diseru supaya berwaspada dan tidak mudah percaya dengan yahudi ketika itu.

Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Dan jika kamu khuatir akan terjadinya pengkhianatan dari suatu golongan,maka kembalikanlahperjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur.Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang khianat ”.
Al-Anfal :58

      Perang Uhud ( 3 Hijrah )
      Kekalahan puak Quraisy pada perang Badar memberi impak yang besar kepada mereka. Sejak itu, musyrikin Mekah sentiasa mempersiapkan diri mereka untuk balas dendam dan memerangi Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Pada 15 Syawal mereka bersedia untuk menyerang bersama 3000 orang tentera. Setelah Rasulullah s.a.w mengetahui akan kemaraan kafir Mekah, baginda berbincang dan sebulat suara untuk keluar berperang dari Kota Madinah. Tentera Islam seramai 700 tentera setelah dikhianati oleh puak munafiq yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bersama 300 pengikutnya.
     Di medan Uhud, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam mengatur startegi kedudukan tentera Islam. Setiap kumpulan diketuai seorang ketua. Baginda sallallahu alaihi wasallam menetapkan pasukan pemanah yang diketuai oleh Abdullah bin Jabir. Mereka ditempatkan di atas bukit yang membelakangi tentera Islam untuk menjaga dari belakang. Rasulullah sallallahu alaihi wasallam telah berpesan agar mereka tidak berganjak kecuali setelah diberi arahan. Akan tetapi mereka telah ingkar akan arahan tersebut. Dalam masa yang sama Khalid Al-Walid pemimpin pasukan musyrikin melihat kekurangan pasukan pemanah dan bertindak menyerang semula tentera Islam. Akhirnya, tentera Islam tewas akan puak kafir kerana kelalaian sendiri.

Perang Khandak / Ahzab ( 5 Hijrah )
     Perang khandak ataupun dengan nama lain perang Ahzab yang berpunca daripada Yahudi bani Nadhir yang telah diusir. Beberapa orang ketua mereka menuju ke Mekah mengajak puak Quraisy untuk sama-sama membunuh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Kemudian mengajak dua lagi suku kaum di Ghatfan iaitu bani Murrah dan Fazarah. Mereka semua bersepakat untuk menyerang kaum muslimin di Madinah.
     Setelah baginda sallallahu alaihi wasallam mengetahui perancangan tersebut, baginda sallallahu alaihi wasallamterus berbincang dengan para sahabat. Antara pendapat yang dipersetujui ialah pendapat Salman Al-Farisi untuk menggali parit adalah dipersetujui. Kemaraan tentera kafir terhenti setelah melihat Khandak yang dalam mengelilingi Madinah. Melihat keadaan tersebut mereka menghasut Bani Quraizah yang baru berdamai agar membatalkan perjanjian damai dengan pihak muslimin.
     Kesannya, mereka turut berpihak untuk memerangiI slam. Dan ini adalah ancaman besar kepada tentera Islam yang hanya berjumlah 3000 tentera .
     Di sana juga, Naim bin Mas’ud bin Amir dari Banu Quraizah telah memeluk Islam tanpa pengetahuan kaumnya. Beliau merupakan orang yang dipercayai dikalangan Bani Quraizah. Beliau juga telah membuat beberapa tipu daya sehingga memecah-belahkan persepakatan antara suku kaum yang memerangi Islam. Mereka semua kembali setelah berasa takut dan gentar dengan apa yang ditimpakan oleh Allah ke atas mereka iaitu angin kencang yang menganggu gugat dan merosakan perkhemahan tentera kafir.
     Perang Hunain ( 8 Hijrah )
     Setahun selepas pembukaan Mekah,telah berlaku perang Hunain pada 10 Syawal. Ia merupakan peperangan terakhir yang berlaku antara Muslimin dan Musyrikin yang berpunca daripada pemimpin Hawazin dan Saqif. Mereka masih berdukacita dengan penguasaan Islam ke atas Kota Mekah. Mereka menyangka Rasulullah sallallahu alaihi wasallam akan menyerang setelah menyelesaikan urusan baginda disana. Apa yang berlaku, pemimpin Hawazin dan Saqif mengambil keputusan untuk menyerang sebelum kaum muslimin menyerang mereka.
     Tentera Musyrikin diketuai oleh Malik bin Auf pemimpin Hawazin yang memimpin tentera lebih sedikit jumlahnya daripada tentera Islam. Manakala Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersama tentera Muslimin keluar sehingga tiba di lembah Hunain. Maka disinilah berlaku pertempuran sehingga pada mulanya tentera Islam hampir tewas kerana keramaian dan tipu daya mereka. Dimana ada dikalangan tentera Islam berpaling dari medan Hunain, tetapi Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersama dengan tentera lain tetap meneruskan perjuangan. Akhirnya kemenangan berpihak kepada tentera Islam.
     Inilah diantara sejarah perjuagan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, para sahabat dan para syahidin yang berjuang habis-habisan demi memastikan syiar Islam berada dikemuncaknya, juga mendapatkan keredhaan Allah Taala. Bagaimanakah pula dengan kita?. Adakah penat-lelah kita selama ini, Pergorbanan yang dicurahkan kerana untuk Islam ataupun semata-mata kerana kepentingan diri sendiri beralndaskan nafsu semata-mata….

Salam Lebaran Al-Mubarak.





 

No comments: