3/13/2007

SAPULAH AIR MATA ITU

Oleh :
WAN BALQIS BINTI WAN IBRAHIM
KULIAH USULUDDIN, KAHERAH

Sedang rancak bertukar khabar dengan seorang exco siswi, muncul seorang senior di pintu Pejabat Siswi KPKM. Salam diucap, senyuman diukir manis. Namun saya segera mengesan sisa air jernih di kelopak matanya. Atas dasar ukhuwah fillah, senior tadi menyatakan sebab setelah diminta. Rupanya dia baru pulang dari cyber café, menelefon keluarga di tanahair. Senior tadi mula bercerita.

“Adik terpilih menerima zakat dari pihak sekolah sebanyak RM300. Adik bagi RM200 pada ayah, dan minta masukkan ke akaun Kak Ngah,” petah si bongsu 13 tahun senior saya, bercerita di corong telefon. “Kak Ngah mesti ingat adik ada bahagian tolong Kak Ngah belajar di Mesir tau. Cepatlah balik ya?” airmata yang cuba ditahan laju menuruni pipi si kakak.

Terharu dengan sikap si bongsu sanggup berkongsi wang milik sendiri dan tahu mengenang kesusahan ibu bapa menyekolahkan mereka. Walau tidak seberapa, paling tidak bulan ini si ayah tidak perlu keluarkan wang untuk keperluan kakaknya di Mesir.

Apa yang membuatkan senior saya begitu sedih, malam sebelum menelefon, beliau tidak membelek buku walhal imtihan tinggal 20 hari sahaja lagi. Saya tahu senior saya ini rajin belajar, juga ringan tulang menolong kerja-kerja persatuan. Mungkin malam itu dia lena dalam dakapan saratoga disebabkan kepenatan mengurus dan menghadiri kelas tambahan, lebih-lebih lagi beliau merupakan salah seorang mas’ulah UKB tahun 4.

Hati saya terusik. Cuba mengawal suasana, lalu terkeluar jenaka di bibir. Dalam masa yang sama cuba menyembunyikan perasaan sebenar di hati. Bukan isu airmata yang ingin dibicarakan di sini, namun di sebalik cerita senior tersebut, terselit sebuah pengajaran…sebuah kisah harapan. Ayuh sapulah air mata itu.
Lantaran mengenang harapan keluarga, guru-guru dan harapan negara serta Islam sebenarnya, maka kita gagahkan kaki menapak ke bumi ini. Kerana sebuah harapan dari insan-insan tersayang, imtihan kali ini juga kita akan tempuhi setelah berbulan-bulan menghadiri kuliah. Di bahu kita tersandar harapan, bermakna kita sekarang sedang menyandang sebuah amanah!

Bukan hanya dengan menjadi YDP KPKM, amanah akan terpundak, atau dengan memegang title Presiden PMRAM, maka amanah akan terpikul di bahu. Bahkan pengorbanan berjauhan beribu-ribu kilometer dari keluarga dan bumi kelahiran, juga disebabkan ingin melunaskan sebuah amanah sebagai tullabul ‘ilm.

Sahabat-sahabat!

Semua mahu najah dalam imtihan kali ini. Yang mustajid mahu naik tahun, yang i’adah mahu sofiy tahun ini, pelajar tahun akhir pula mahu pulang berbakti. Ya, semua akan kata mahu najah jika ditanya. Najah dengan imtiyaz, jayyid jiddan atau jayyid. Sesetengah pula menyatakan kalau dapat maqbul pun jadilah. Tidak mahu berlama-lama di sini. Sudah banyak masa dikorbankan, sudah beribu Ringgit Malaysia ayah habiskan untuk anaknya ini. Namun adakah tindakan kita selari dengan apa yang dicita-citakan?

Kenapa kita sering tewas dengan benteng-benteng penghalang? Selalu gagal mencapai target yang ditetapkan. Selalu mengalah dengan ajakan saratoga tercinta, lebih-lebih lagi di faslus syita’ ini. Benar, pelbagai mehnah dan tribulasi yang merintangi, mengakibatkan perancangan yang diatur gagal terlaksana. Tepat sebagaimana kata-kata yang pernah dilontarkan oleh seorang pensyarah kolej saya sebelum terbang ke bumi anbiya’ ini. Pesan beliau :

“Antum gagal imtihan merupakan ujian. Najah pun satu ujian. Sistem pengajian di al-Azhar juga bakal menguji antum berjaya atau tidak untuk terus berdiri teguh, mengutip mutiara ilmu di sana,” sambung beliau “mahu tidak mahu antum semua akan melalui seribu satu ujian, lebih-lebih lagi apabila bergelar penuntut ilmu agama Allah.”

Semua makruf, tidak dinamakan hidup andai tiada masalah menghalangi. Di ardhil kinanah ini, masalah tidak cukup belanja, terpaksa dan tersengaja study di saat-saat akhir, suasana yang tidak membantu dan banyak lagi faktor-faktor yang menghantui. Cuma bagaimana kita menghadapi dan mengatasinya, itulah yang bakal menentukan corak dan halatuju hidup kita pada masa hadapan. Saya tergamam apabila diberitahu oleh seorang kakak dari negara seberang mengenai rahsia kejayaan beliau. Katanya, paling kurang wajib khatam kitab sebanyak 16 kali. Tidak peliklah beliau usai ijazah pertama dan M.A. dengan taqdir imtiyaz.

Itu rahsia kecemerlangan dan cara beliau study. Rata-rata pelajar cemerlang yang saya kenali menasihatkan agar menyiapkan nota setiap kali muhadarah berakhir. Namun ada juga yang mampu berjaya hanya dengan membaca kitab tanpa nota. Kadang-kadang dengan mengajar di kelas tambahan pun merupakan satu langkah study yang baik.

Tidak kira apa jua kaedah atau cara belajar yang dirasakan sesuai untuk diri masing-masing pilih, silakan.

Persoalannya, adakah langkah untuk menyempurnakan keinginan bergelar al-najihun telah anda mulakan? Adakah sifat dan ciri-ciri manusia al-falah telah dilazimi dalam diri masing-masing? Tepuk dada, tanya hati dan iman, sejauhmanakah kita telah berusaha untuk melunaskan harapan dan amanah ibu bapa, keluarga dan suruhan agama dimaksimakan.
قال الشافعي :
شكوت إلى واكع عن سوء حفظي #
فأرشدني عن ترك المعاصي
وعلمني بأن العلم نور #
ونور الله لا يهدى للعاصي

Jaga hubungan dengan Allah, tinggalkan maksiat; agen perosak amal dan nur Ilahi. Mudah-mudahan Allah lorongkan kejayaan untuk anda. Andai tidak berjaya di dunia, insya Allah dibalas di hari muka kelak.

Jadilah burung kecil ketika ditegur malaikat akan tindakannya yang mungkin sia-sia; berulang-alik membawa air di paruh untuk memadamkan api besar yang membakar Nabi Ibrahim a.s. ketika baginda ingin dihapuskan penyembah-penyembah berhala ketika itu. Mana mungkin air di paruh mampu memadamkan api yang besar itu? Jawab si burung:

“Paling tidak aku ada jawapan ketika disoal Allah Taala kelak (untuk menolong Ibrahim)”


Ayuh mulakan usaha sekarang, sapulah air mata itu kerana DI PUNDAKMU TERPIKUL AMANAH UMMAH! Selamat berimtihan, Selamat Hari Raya Aidil Adha. Allahu Akbar, Allahu Akbar. Allahu Akbar.

No comments: