3/13/2007

KALAU TIDAK DIPECAHKAN RUYUNG, MASAKAN DAPAT SAGUNYA

DARI PENA :

MUHAMMD NAJID BIN ABDULLAH
KULIAH SYARIAH ISLAMIAH, KAHERAH.

"Islam membebaskan aqal serta menggalakkan pengkajian alam semesta, juga meninggikan taraf ilmu dan ulama'. Ia juga mengalu-alukan segala yang baik lagi bermanfaat dari setiap sesuatu. ”Hikmah adalah barang yang hilang dari orang mu'min, dimana sahaja dia menjumpainya, dialah yang lebih berhak terhadapnya.”
(Risalah Ta’alim, Al-Imam Hasan Al-Banna)

Panjatan tahmid dirafa’kan ke hadrat Allah Subhannahu Wataala di atas jenuhan limpah izin dan nikmat kurnia. Selawat serta salam buat junjungan besar kita nabi dan rasul Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, keluarga baginda, sahabat serta mereka yang menjadi mata rantai kepada perjuangannya.
Ligat otak berfikir dan mencari idea untuk melakarkan sesuatu untuk memenuhi amanah terbitan Fajar Jumaat sebagai tatapan warga Kelantan Mesir lantaran agak sukar mencari penulis yang sanggup menukilkan sesuatu. Kalau diikutkan hati jenuh rasanya mahu diluahkan semua yang terbuku dihati sebagai ingatan buat diri yang selalu alpa, juga sahabat seperjuangan. Namun ruang yang ada cukup terbatas tapi saya sifatkan penuh makna dalam menukil pesan buat peringatan untuk menyegarkan kembali hati yang kecut iman takwa.
Dalam leka membaca artikle ringkas Koleksi pena Mustafa Masyhur yang bertajuk ’Imam Hasan Al-Banna – Memperingati Kesyahidannya’ dilayar komputer, rasa kagum dengan kesungguhan dan iltizamnya Al-Banna dalam menuntut Ilmu dan menghormatinya dengan sungguh-sungguh beramal dan menyebarkannya. Rasa insaf hadir dalam hati lantas otak pantas berfikir, bagaimanakah agaknya dengan kita? Sungguh-sungguhkah kita dalam mendapatkan ilmu, beramal dan menyebarkannya?
Apakah kita hanya menunggu kelu tanpa usaha, ibarat menunggu bulan jatuh ke riba atau lebih dahsyat lagi hanya semata-mata bermatlamat segulung ijazah yang akan dipamerkan buat tatapan bangga keluarga dan masyarakat kononya kita ilmuan lepasan Al-Azhar padahal ilmu entah ke mana. Kalau itu yang dipahat dikotak fikiran, hati kecil saya berkata, tidak perlu sampai ke Mesir jauhnya kita bermusafir. Cukup dengan kita selesaikan sahaja Sarjana Muda di mana-mana institusi pengajian di Malaysia.
Nah, kempen 'Jom Ke Kuliah' yang dicanang oleh PMRAM pada awal sesi pengajian kali ini menampakkan kesungguhan dan usaha yang tidak kenal erti kalah. Bermatlamat meningkatkan kesedaran di kalangan mahasiswa/i di Ardul Kinanah untuk tetap istiqamah ke kuliah, hadir ke majlis-majlis ilmu dan talaqqi seterusnya mampan ilmu di dada setaraf ijazah Sarjana Muda yang dibawa pulang.
Ayuh buang jauh-jauh hasutan-hasutan nakal yang secara tidak sengaja terpahat berzaman di benak minda kita ’KULIAH UNIVERSITI AL-AZHAR TIDAK WAJIB’. Usah jadikan ketidak wajiban hadir ke kuliah tersebut sebagai alasan untuk kita betul-betul ponteng kuliah hingga menjadikan kita lupa pada suatu yang bernama amanah yang perlu kita pikul dan kandar bersama dalam memastikan kita menjadi ilmuan agama yang thiqah, berilmu dan yang paling penting beramal dengan ilmu yang ada.
Saya yakin dan percaya seawal kita melangkahkan kaki ke bumi Mesir, kita dihantar dengan hiba syahdu keluarga dan rakan taulan. Tiada lain yang diharap melainkan kita benar-benar mencari mutiara ilmu serta pulang membawa bakti selaku ulamak sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Taubah yang bermaksud :

'Hendaklah ada di kalangan kamu suatu kumpulan yang mendalami ilmu agama dan memberi peringatan kepada masyarakat apabila mereka kembali berada di pangkuan masyarakat, mudah-mudahan mereka mendapat peringatan.' (Surah Al-Taubah Ayat 122)
Inilah sebenarnya harapan dan cita-cita besar ibu bapa dan masyarakat kita dalam menantikan kembalinya kita ke tanah air. Penantian yang didambakan ialah untuk bukan setakat mengajar dan menghukum. Apatah lagi dengan hanya bergaya menggenggam segulung ijazah dengan menjajanya ke hulu dan ke hilir untuk ditukarkan dengan kemewahan tapi apa yang dinantikan ialah pulang memberi peringatan dan tidak segan-silu serta tidak kekok menyingsing lengan, bermandi keringat untuk berada dalam lapangan dakwah.
Lantas, terfikirkah kita mana mungkin cahaya ilmu akan menyinari sanubari kita seandai kita tidak pernah amanah dengan diri sendiri dan tidak pernah mahu beradab dengan guru? Apakah mungkin namanya amanah kalau kita tidak ke kuliah? Apakah mungkin adanya adab selaku ' tullabul ilmi ' sekiranya kita tidak pernah bersua muka dengan guru sedangkan kita mendakwa kita mengambil ilmu darinya? Semua persoalan ini saya tinggalkan untuk difikirkan bersama jawapannya. Namun saya suka ingatkan bahawa mana mungkin kitakan dapat barakah sekiranya kita sombong dan mendabik dada dengan kemampuan sendiri, kebolehan mentelaah sendiri sedangkan kita lupa untuk mengakui asal usul perkembangan ilmu Islam adalah melalui talaqqi.
Justeru, saya sedar setelunjuk tangan ini menunding jari ke arah orang lain, tiga yang lain berkait ke arah diri sendiri. Apa pun sama-sama kita sambut kalam baik daripada PMRAM untuk kita sematkan dihati seterusnya kita gagahkan kaki melangkah ke kuliah. Pahatkan dalam sanubari untuk kita layakkan diri selaku ulamak suatu hari nanti dengan memastikan usaha dan kesungguhan kita hari ini berpaksikan kebenaran, penuh adab dan iltizam.
Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :
“Orang yang paling mnyesal pada hari Qiamat ialah lelaki yang dapat menuntut ilmu di dunia tetapi ia tidak mengambil kesempatan menuntutnya, dan lelaki yang mengajar ilmu kepada orang lain, lalu yang belajar darinya mendapat faedah dari ilmu itu sedangkan ia sendiri tidak mendapat apa-apa. (Diriwayatkan oleh Ibn ‘Asakir dari Anas)

Hadith ini menggalakkan supaya menggunakan segala kesempatan hidup untuk mempelajari ilmu-ilmu pengetahuan yang berguna kepada kehidupan dunia dan akhirat. Dengan ilmu pengetahuan sahajalah ibadat akan dilakukan dengan betul. Amalan ibadat tanpa ilmu pengetahuan yang betul boleh menjerumuskan seseorang ke dalam bida’ah dan kekeliruan yang merosakkan agamanya. Justeru permusafiran kita yang jauh ke bumi debu Kinanah sepatutnya digunakan semaksima yang mungkin untuk mencedok ilmu dengan menghadiri kuliah, majlis-majlis tafaquh dan talaqqi
Hadith ini juga menggariskan satu panduan yang penting iaitu tujuan belajar ialah beramal sama ada ia seorang pelajar atau seorang guru, kerana amalan itu merupakan nilai ilmu dan nilai seseorang yang berilmu. Kata pepatah Arab “Ilmu tanpa amal laksana pokok tanpa buah” alangkah ruginya seseorang yang berilmu tapi tidak mendapat apa-apa guna dari ilmunya sedangkan orang-orang yang belajar darinya memungut keuntungan-keuntungan yang abadi.
‘Kalau tidak dipecahkan ruyung masakan dapat sagunya’. Justeru ilmu perlu dicari dan dituntut dengan pugaran usaha yang bukan sedikit mahunya. Ikhwah barangkali punya leluasa yang bukan sedikit untuk ke kuliah. Dengan kudrat dan kesempatan yang lebih berbanding akhawat sepatutnya artikle ini dijadikan suatu cabaran untuk penuhkan ilmu di dada dengan ke kuliah mahupun majlis talaqqi dan bukan lena dalam dakapan Saratoga seperti yang diheboh dan digegak-gempitakan mulut celupar ramai - nafikanlah, buktikan bahawa ia sama sekali tidak benar.
Bagi akhawat lancar-lancarkanlah hanyunan langkah ke kuliah atau jika berkesempatan hadiri majlis tafaquh dan talaqqi ilmu. Jangan pula dibenarkan kata tohmah orang, akhawat ke Mesir bukan mengaji bertalaqqi tapi hanya berlumba-lumba melengkapkan diri dengan pelbagai menu masakan sebagai persiapan mengikat suami. Apakah benar tohmahan? Ayuh buktikan, tutup mulut celupar itu, ayuh kita ke kuliah.
Nah, terpukul bukan. Justeru, kita bukan anak kecil lagi yang perlu dipujuk rayu dan dimanjai tapi akal matang kita mampu berfikir dan kudrat tenaga kita mampu bertindak, AYUH MUJAHADAH !

No comments: