8/11/2007

AYAT-AYAT CINTA

Oleh : Mohd Zuhaili Bin Saiman
Kuliah Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar Kaherah

ASSALAMUALAIKUM WBT

Salam manis tanpa gula dilemparkan kepada para pembaca yang tidak mengenal erti penat dan lelah yang sentiasa mengambil risalah Fajar Jumaat setiap minggu.

Tatkala ditaklifkan sebagai penulis risalah Fajar Jumaat pada kali ini, termenung seketika di benak akal fikiran, tajuk apakah yang menepati citarasa dan selera untuk santapan para pembaca yang berstatus AL-AZHAR. Namun ianya bukanlah menjadi masalah yang rumit lagi belit, kerana kita ini semuanya manusia yang tidak dapat lari daripada perasaan CINTA..

Masih ingatkah bagaimana Adam a.s merasakan CINTA yang membara dalam hatinya untuk mempunyai teman hidup, lalu Maha Suci Allah menciptakan Hawa sebagai pasangan. Jadi, khalifah muka bumi yang pertama yang juga nabi Allah pun tidak lari daripada kalimah CINTA ini, apakan pula kita yang maha kerdil ini.

Sedar atau tidak, setiap insan yang diciptakan dalam keadaan lemah ini, disemat dalam kehidupannya perasaan CINTA. Mafhum-Nya yang bermaksud :

‘Dihiasi dalam diri manusia CINTA terhadap syahwat berupa wanita, anak-anak, harta benda yang berbentuk emas dan perak, kuda pilihan haiwan ternakan dan ladang-ladang
( Ali-imran:14 )

Syariat tidak pernah menghalang perasaan CINTA sejak dahulu lagi, kalau tidak masakan Hawa dicipta sebagai ‘sayap kiri’ adam? Malah dengan CINTA manusia mendapat dorongan. Namun tidak mustahil dikatakan dengan CINTA juga manusia mendapat godaan. Namun ianya bukan alasan untuk kita tidak perlu membarakan perasaan CINTA yang wujud dalam jiwa, kerana adanya syurga beserta neraka, wujudnya malaikat beserta syaitan.

Dalam Al-Quran juga menggalakkan CINTA. Mafhum-Nya yang bermaksud :

“Katakanlah (Muhamad) sekiranya kamu cintakan Allah maka ikutilah aku,nescaya kamu akan dikasihi Allah..” (Ali-Imran:31)

Namun CINTA yang diperhangatkan janganlah kita melebihi ‘tobaqat’ yang telah disusun oleh Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. CINTA kita terhadap-Nya mestilah didahului akan segala isi perut dunia. Hamba-Nya yang taat, sama sekali tidak akan sempurna imannya tanpa di’combain’kan CINTA terhadap kekasih-Nya, nabi Muhamad s.a.w kerana mentaati baginda serupalah mentaati-Nya.

Sabda rasulullah:

‘Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah dia mencintaiku melebihi kedua ibu bapanya dan sekalian manusia’

Mafhum-Nya: “Barangsiapa yang mentaati rasulullah maka dia telah mentaati Allah.” ( Muttafaqun Alaih )

Mesti para pembaca pernah membaca, menghafaz malah mengajar orang mengenai mengikhlaskan niat atau menjadi hamba yang bergelar mukhlis. Perkara yang menari-nari di lidah bukannya mudah untuk dipamerkan dengan kelakuan, perkara yang dipamerkan pula bukan mudah untuk direalisasikan di hati. Begitulah ikhlas. Bukan mudah untuk kita mencapai tahap ini tanpa adanya kewujudan CINTA.

Menyingkap kembali sirah-sirah para anbiya’, para sahabat, para ulama’, tidak lupa juga para srikandi islam, bagaimana mereka boleh mencapai martabat mukhlis dalam setiap kelakuan dan keadaan tanpa perasaan CINTA?

Lihat sahaja pada srikandi islam Rabiah Adawiyah. Betapa dalamnya CINTAnya kepada Allah. Setiap zikir munajatnya disulami dengan lafaz-lafaz CINTA terhadap-Nya. Sebagai manusia, kita tidak dapat tidak untuk hidup bersama. Kita tidak boleh ‘mencampak’ orang lain ke belakang. Malah perasaan CINTA juga perlu disalurkan kepada mereka samada yang istimewa atau biasa.

Sabda baginda yang bermaksud :

“Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia MENCINTAI sedaranya sebagai mana dia mencintai dirinya.”

Ini adalah ‘tobaqat CINTA yang ke-3 selepas CINTA terhadap Allah dan kekasih-Nya, Muhamad. Maka tidak akan mencapai nikmat bahgia jikalau tanpa ketiga-tiga CINTA ini.

Justeru, bangkitlah wahai para AZHARI semarakkanlah CINTA suci ini yang telah dikurniakan oleh Allah. Tanpa dorongan CINTA, mustahil adanya hamba yang bergelar mukhlis fi din. Tanpanya juga maka berat punggunglah mahassiwa AZHARI untuk talaqi kerana tiada perasaan CINTA pada ilmu.

Maka terpulanglah kepada diri masing-masing untuk menyemarakkan CINTA ini mengikut citarasa dan skill yang kena dengan pemiliknya. Ketahuilah “Adam turut sunyi tanpa perasaan CINTA, Hawa juga begitu. Anda bagaimana?

No comments: