4/03/2007

UCAPAN KETUA HEWI KPKM SEMPENA SEMINAR PERADABAN KERAJAN NEGERI KELANTAN DI TIMUR TENGAH 2007

ROHANI BINTI HUSIN
Assalamualaikum warahmatullahi warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillah, pujian dan panjatan syukur yang tidak terhingga kita panjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan hidayah dan inayah-Nya SPEKTRUM ’07 sempurna dilangsungkan. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., Keluarga baginda, para Sahabat Ridhwanullahi alaihim ajmain, Amma Ba’du

Para Rombongan, sahabat dan hadirin sekelian

Saya bagi pihak Ahli Jawatankuasa KPKM dan Tanzim pelaksana SPEKTRUM 07 serta ribuan anak-anak Kelantan Mesir merakamkan jutaan terima kasih buat kerajaan negeri Kelantan terutama para rombongan di atas kerjasama dan kesudian melapangkan masa bersama kami di sini dalam agenda besar untuk melihat dan berkongsi suka duka serta jerit payah kami diperantauan.

Pepatah Melayu ada menyatakan ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu dinegeri sendiri’ namun setiap saat dan ketika hati kami sentiasa mendetikkan rasa ingat dan rindukan tanah air. Walau bagaimanapun kami pendam sendiri rasa rindu yang berbuku di hati demi sebuah harapan dan impian keluarga, masyarakat dan tanah air untuk melihat kami pulang gagah sebagi wira dan srikandi juang yang akan medidik anak bangsa.

Berakhirnya SPEKTRUM ’07 bukanlah bermakna titik noktah yang bernama perpisahan bagi kita semua akan tapi saya mengharapkan agar ia akan menjadi titik mula kepada sebuah hubungan kekeluargaan yang lebih erat dan akan terus berkekalan hingga kita pulang untuk berada di medan.

Bertemakan ‘Mahsiswa Berkualiti Menjana Peradaban Hakiki’, SPEKTRUM 07 dilihat sebagai program mega yang julung-julung kali diadakan pada sesi ini bagi menyatukan anak-anak Kelantan di bumi Mesir. Disamping itu, ia juga dapat mengeratkan semangat kebersamaan dengan kerajaan negeri dalam mendokong misi ‘Membangun Bersama Islam’.

Sahabat Akhawat yang dikasihi

Sudah tiba masaya kita kotakan segala hasrat dan tuntutan dakwah khusus buat srikandi perjuangan kerana selangkah sahaja kita menjejakkan kaki ke medan, seribu satu ragam mad’u yang semestinya kita depani. Dunia fitnah hari ini sememngnya memerlukan srikandi yang berani ke depan, cekal, tabah, kreatif dalam mengatur strategi dakwah dan apa yang penting, saya mohon agar sejarah yang tercatat pada hari ini bukanlah hanya akan tinggal sejarah. Sama-sama kita buktikan tangan yang menghayun buaian mampu menggegarkan dunia.

Nah, sudah tiba masanya kita buktikan kemampuan akhawat, srikandi sayap kiri dalam mendepani mehnah dan fitnah dakwah kontemporari. Ketepikan soal hati dalam menyampaikan kebenaran. Usah biar hati larut dalam fitnah faudha kehidupan.

Marilah sama-sama kita sahut seruan menyumbang tenaga mahupun idea untuk memastikan Islam yang kita cintai akan berada di dalam setiap jiwa anak-anak bangsa kita.

Hadirin Hadirat Sekelian

Rakaman terima kasih yang tidak terhingga saya dedikasikan buat PMRAM di atas kerjasama dan bantuan yang dihulurkan. Tanpa naungan PMRAM siapalah KPKM untuk melangsungkan sebuah program yang besar seperti ini.
Jutaan terima kasih juga saya panjangkan buat pengarah dan tanzim pelaksana program di atas tumpahan keringat dan garapan idea dalam memastikan program mega ini dapat dilangsungkan dengan sebaiknya.

Tiada lain yang mampu kami balas melainkan panjatan doa agar segala kerjasama yang diberikan akan dilipat gandakan pahala oleh Allah SWT.

Sahabat ikhwah yang dihormati

Selaku ketua HEWI KPKM saya amat-amat mengharapkan agar sahabat ikhwah sekelian dapat benar-benar berfungsi dalam memastikan segala corak langkah sahabat-sahabat akhwat dapat diterima dan dipandu dalam ertikata sama-sama membantu ke arah perubahan. “Yang berat sama dipikul, yang ringan dijinjing sama”.

Jangan ada benci dalam persaudaraan Islam yang natijahnya lansung tidak akan memberikan keuntungan. Sudah tiba masanya kita hentikan segala cemuhan, lekeh memperlekeh dan marilah sama-sama kita gemblingkan tenaga, pasakkan kekuatan dan eratkan kesatuan bukan untuk kepentingan sendiri tapi ikhlas untuk memastikan bahtera yang kita layari ini akan tenang mengharung ombak ganas lautan perjuangan.

Buat akhirnya, kalau ada sumur diladang, boleh hamba menumpang mandi, kalau ada umur yang panjang insyaAllah kita jumpa lagi.

Sekian, terima kasih buat semua dan hanya Allah jua yang mampu membalasnya.

MODUL OH MODUL 2, JIHAD SRIKANDI SAYAP KIRI

Oleh :
MUHAMMAD NAJID BIN ABDULLAH
KULIAH SYARIAH ISLAMIAH, KAHERAH
Kali pertama saya menulis artikel modul oh modul untuk keluaran Fajar Jumaat, pelbagai telahan mahupun andaian dibuat oleh sahabat-sahabat pembaca. Ada yang mengkritik isi kupasan pokok penulisan yang dibawakan, ada yang menyalahkan saya kerana membawakan isu yang kurang popular dan kabur katanya, sebilangannya pula menyarankan agar saya menukar tajuk artikel malah ada pula yang mempertikaikan penggunaan bahasa yang saya gunakan. Sebilangan lain pula pening tidak dapat mentafsirkan hasrat yang cuba saya bawakan. Namun dalam keributan itu juga ada yang nampaknya boleh memahami topik perbincangan dengan menolak ke tepi eleman remeh mahupun kesilapan yang katanya saya lakukan dengan memasukkan definisi 'cucur' dan 'pam' sebagai modul mahupun uslub.
Apa jua pandangan yang dikemukan, saya telan sendiri dan saya sedar kuasa pembacalah yang selayaknya mengadili segala butiran huruf yang saya lakarkan. Tanpa syok sendiri saya panjangkan artikel tersebut bagi menjelaskan hasrat sebenar ketika jemari saya mentafsirkan jentikan hati dan berian otak dalam mengemukan modul sebagai elemen seni uslub dakwah. Saya buang jauh rasa tercabar atas telahan yang timbul dengan meletakkan rasa tanggungjawab dan amanah ilmu terhadap apa yang saya bawakan.
1. Penggunaan kata kolokial 'cucur' dan 'pam' saya bawakan dengan menisbahkan dua kata tersebut dari sudut hasrat untuk mengubah orang yang 'dicucur' mahupun 'dipam'. Dua kata tersebut kalau diteliti mengikut faham penggunaan sememangnya tidak sama dengan modul tapi kalau kita hayati sebenarnya dari sudut positif kedua-duanya inginkan sesuatu yang tersirat disebalik kata yang berkias. Contoh mudah, kalau ada sahabat kita yang mengutuk salah laku sahabat yang lain, maka kita 'cucurkan' padanya kata 'sedapnya makan ketupat'. Namun saya sedar dua kata tersebut tiada dalam penggunaan Bahasa Melayu. Ia hanya digunakan dalam cakap seharian. Apa pun saya mohon maaf andai dua kata tersebut melenguhkan tafsiran otak pembaca dek telahan yang saya buat tidak tepat atau sebaliknya. Saya harapkan agar ia tidak akan mengganggu kefahaman dalam memberikan fokus kepada pokok penulisan.
2. Isu modul yang saya bawakan untuk menjelaskan betapa dalam dakwah seharusnya tidak dilupakan seni uslub yang bernama modul. Setiap daei' sepatutnya bijak dalam merencana modul mahupun uslub bertindak untuk menyedarkan mad'u. Jangan gunakan modul yang sama untuk semua orang secara pukal tapi fahami 'fe’el' manusia sebelum merencana serangan saraf untuk menyedarkan mereka kembali kepada agama. Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam saya bawakan dalam loghat arab mengikut tulisan melayu : likulli maqam maqal (penulis merasa lebih selesa denga uslub arab dalam membawakan hadis ini)
3. Penulis memohon maaf andai bahasa yang digunakan mengganggu hidup pembaca. Saya sedar apa guna saya menulis andai penulisan saya tidak difahami. Namun ingin saya katakan FAJAR JUMAAT akan menerima sebarang artikel selagi mana ia ditulis menggunakan tatabahasa Melayu, Inggeris mahupun Bahasa Arab atau apa jua bentuk karya kreatif yang bertujuan untuk meneruskan kelangsungan dakwah.
Dengan menggunakan lenggok tari yang sama saya bawakan contoh mudah dengan skop modul yang lebih fokus sebagai menjelaskan pokok penulisan.

Cerita 3
Abang Din merupakan seorang guru Bahasa Melayu berkelulusan Universiti Malaya dalam bidang pengajian Bahasa dan Kesusasteraan. Aliran pengajian dan corak pergaulan bandar menjadikan dia agak maddiyah dalam mengurus keluarga dan merencana masa depan.
Kak Dah pula watak seorang Isteri yang mempunyai latar belakang pengajian Islam lepasan Universiti Malaya bidang Usuludiin. Seorang ustazah yang berkahwin atas pilihan keluarga. Setakat mengajar Pendidikan Islam PMR dan SPM menjadikan ilmunya terbatas apatah lagi menemui jodoh yang dia terpaksa redha, namun ilmu yang ada cukup untuk membuatkan dia memahami akan hakikat kehidupan.
Memahami bahawa suatu masa kita akan dibangkitkan dihadapan Allah dengan amalan masing-masing. Memahami jua akan bahayanya maddiyah dalam aliran pemikiran manusia yang akan menatijahkan ‘selfish’ dalam tindakan, lupa daratan, bersifat keakuan, menindas orang yang lemah dan apa yang lebih dahsyat adalah melupakan saranan dan kewajipan agama secara beransur-ansur.
Suatu masa ketika sedang menikmati minum petang Abang Din dan Kak Dah duduk di ruang tamu rumah ditemani Kakak, Angah, Amir dan Danish. Maka ketika itu berlakulah dioalog berkut :
Abang Din : Cepat betul besar budak-budak ni, Abang rasa baru saja kahwin.
Kak Dah : Kakak dah masuk darjah 2, Angah dah darjah 1, Amir pula dah masuk tadika. Kakak tu sikit masa lagi jadi anak dara.
Abang Din : Sekejap saja masa berlalu.
Kak Dah : Oh ya, tadi saya ke Tabung Haji, duit yang saya buat potongan bulanan gaji tu dah cukup untuk daftar buat haji. Abang pun dah lebih dari cukup untuk buat haji. Apa kata tahun ni kita tunaikan rukun islam ke 5, kita buat haji.
Abang Din : Abang bukan apa. Bukan tak nak pergi tunaikan haji tapi Abang rasa duit yang ada tu nak buat beli tanah kat Kelantan.
Kak Dah : Baru saja tahun lepas kita beli flat kat Ampang tu. Duit yang ada tu kita buat haji la pula.
Abang Din : Abang sebenarnya bukan tak nak buat haji tapi Abang segan kalau orang panggil Abang haji. Hidup Abang akan terbatas dan terikat dengan masjid dan kupiah.
Kak Dah : Ke situ pula Abang ni. Okay lah Abang, kita bincang lain kali saja. Dah nak maghrib ni. Abang tak nak pergi masjid ke. Katanya ada kuliah maghrib malam ni.
Abang Din : Tak rasanya, penat.
Kak Dah : Tak apa lah, Saya nak ke masjid, boleh? Saya bawa Amir dan Danish saja ni, Abang tolong tengok-tengokkan Kakak dan Angah. Anak-anak lelaki ni kena ajar dari kecil lagi ke masjid. Kalau kita sudah tiada nanti boleh jadi imam solat jenazah kita nanti. Saya pergi ya!
Perbualan berakhir di situ. Abang Din diam sambil terkebil-kebil melihat si isteri memanggil anak-anak masuk ke rumah. Ada sesuatu yang menyentuh perasaan dan nubari hingga menyebabkan dia lambat untuk bergerak bangun.

Moralnya
Inilah realiti yang berlaku di kalangan masyarakat. Aliran pengajian, pengaruh persekitaran dan corak berfikir menjadikan kita rencam matlamat dan halatuju. Tambah pula dengan kapasiti diri seorang isteri yang sifatnya mengalah selaku sayap kiri menjadikan permasalahan ini lebih kompleks. Kalau mahu berhujah rasanya masakan ego seorang suami mampu dibawa berbincang secara keras. Penggunaan modul dengan menjadikan anak-anak sebagai alat bantu modul memberikan kesedaran kepada suami. Ini memerlukan kepintaran dan kekreatifan minda seorang isteri untuk memastikan suami akur dengan perintah Allah tanpa meletakkan diri dalam kelompok nusyuz. Mudah bukan jihad srikandi, isteri solehah?
Membantu suami untuk menunjukkan jalan takwa adalah suatu taklifan buat isteri solehah. Namun jangan sekali-kali nusyuz mahupun menguasai suami untuk mengikut telunjuk isteri hingga mengakibatkan suami menjadi dayus sebagaimana istilah ‘queen control’.
Cerita ini saya paparkan bukan semata-mata buat suami isteri tapi saya wakilkan watak isteri yang ingin membetulkan suami dengan modul yang sepatutnya diguna secara hikmah untuk menegur pimpinan atasan. Sekiranya terdapat salah dan silap yang dilakukan oleh pimpinan maka sebagai ahli sepatutnya kita menghormati dan mengasihinya dengan teguran. Tegurlah dengan cara hikmah seperti menarik rambut dalam tepung. Rambut tidak putus, tepung juga tidak berselerak.
Tidak terhenti setakat itu sahaja kiasan yang boleh dibuat beradasarkan cerita mudah tersebut. Saya tingalkan buat sahabat-sahabat untuk merenung lebih jauh kerana apalah sangat kudrat otak kecil saya untuk mengeluarkan semua kaitan yang ada. Saya serahkan pada perkiraan otak pembaca untuk mengkaitkannya selagimana ia tidak lari dengan watak teguran orang lemah kepada orang yang lebih kuat darinya. Ianya memerlukan Alat Bantu Modul (ABM), Modul Oh Modul!

Kesimpulan
Selaku manusia kita tidak terlepas dari salah dan silap. Psikologi adalah elemen tambahan dalam kita merangka skrip hidup atas nama dae’i. Modul pula adalah garapan seni nukilan dari psikologi jiwa dan watak manusia. Islam membenarkan semua pendekatan saraf dan psikologi selagi mana ia tidak bercanggah dengan hukum.
Modul hanya sebahagian daripada uslub teguran. Tidak semua mad’u perlu dimodulkan dalam proses teguran. Pandang kanan, pandang kiri tapi jangan lupa untuk menoleh ke belakang dan melihat ke hadapan demi memastikan kita tidak tersalah langkah, tersilap pandang dalam merangka modul membentuk Fityatun a’manu birabbihim wa zidnahum huda masa depan. Salam jihad buat srikandi perjuangan. Modul Oh Modul



3/13/2007

MODUL OH MODUL !

Oleh :

MUHAMMAD NAJID BIN ABDULLAH
KULIAH SYARIAH ISLAMIAH, KAHERAH
Saya tertarik untuk membuat sedikit catatan dan kupasan mengikut kefahaman sendiri apabila ada sahabat yang menimbulkan persoalan berkenaan dengan istilah modul. Mulanya ingin saya tulis secara ilmiah siap dengan bukti dan fakta, namun saya terfikir apa guna saya menulis sebegitu kalau penulisan saya hanya akan menjadi lapik periuk nasi lantaran tidak ramai golongan pembaca yang suka penulisan berat. Justeru saya rasakan tajuk yang penting ini saya tunaskan dengan penulisan santai dan contoh mudah sekadar untuk membantu menampakkan kewadhihan istilah yang amat penting ini sebelum saya susulkan dengan penulisan berat dalam penulisan akan datang.

Klisenya modul sering dikaitkan dengan pengisian program, muzakarah berkelompok mahupun tidak kurang juga yang menggunakannya dalam muamalah seharian.

Sebagai contoh kita sering mendengar istilah ‘cakap berlapik’, ‘cakap berkias’, istilah pasar yang cukup popular dikalangan anak muda seperti ‘cucur’ dan ‘pam’ serta istilah yang cukup popular di tanah Arab iaitu ‘mujamalah’ juga merujuk kepada makna modul. Ini kerana kesemua istilah yang saya sebutkan di atas hanya mempunyai matlamat yang sama iaitu inginkan sesuatu dari orang yang kita tuju cakap. Justeru bukankah modul juga bermalamatkan untuk menyampaikan sesuatu mesej dengan harapan perkara tersebut dapat difahami. Kesemuanya merujuk kepada modul yang direka samada dengan kata-kata, mimik muka, body contact (bahasa badan), eye contact (isyarat mata) dan apa jua kaedah yang berlapik.

Apa pun istilahnya saya ingin tegaskan modul merupakan suatu cabang seni uslub yang jika diolah dengan baik akan menatijahkan suatu peluang untuk kita menyampaikan mesej dakwah. Namun perlu diingat jika kita silap memahami suasana (fiqhul waqi’), padahnya akan mengakibatkan prasangka, dendam kesumat, permusuhan dan yang pasti akan menyebabkan mad’u lari makin jauh dari kita selaku dae’i.

Sebagaiman yang saya terangkan, saya kotakan dengan membawa contoh cerita-cerita dalam dialog mudah berkenaan dengan modul antara individu yang berbeza-beza latar umur, pendidikan mahupun tahap kefahaman.

Cerita 1

Amir seorang kanak-kanak yang petah berkata-kata. Berumur 5 tahun dan amat manja dengan bapa saudaranya yang saya namakan Ayah Jid.

Suatu pagi, Ayah Jid membawa Amir ke taman permainan. Amir amat gembira dan langsung tidak betah untuk duduk diam, berlari dan bermain; kelihatan asyik dengan dunia kanak-kanak yang penuh animasi. Ayah Jid pula duduk di bangku memerhati sambil membaca buku ‘Anda Berfikir Bagaimana’ tulisan Ainon Mohd dan Abdullah Hasan. Sedang asyik mengamati setiap kiasan contah bawaan pasangan penulis buku tersebut, tiba-tiba Ayah Jid dikejutkan dengan tangisan Amir. Sepantas kilat Ayah Jid meluru ke arah Amir lantaran terkejut dengan jeritan yang secara tiba-tiba.

Rupanya Amir jatuh dan lututnya berdarah. Dalam esakan tangis si Amir maka berlakulah dialog berikut :

Amir : Ayah Jid Sakit, lutut Amir berdarah.

Ayah Jid: Alah sikit jer ni, nanti Ayah Jid lapkan.

Ayah Jid pun terus lapkan darah tersebut dan memujuk Amir supaya berhenti menangis.

Ayah Jid: Kan dah tak ada lagi darah. Sudah!, berhenti menangis.

Amir : Sakit............ dalam esak tangis

Ayah Jid: okay, kalau Amir berhenti menangis nanti Ayah Jid belikan Aiskrim nak. Kalau nak Aiskrim kena berhenti menangis.

Amir : Janji tau!, Amir nak aiskrim coklat Kancil, tak nak aiskrim Cornetto, boikot.

Ayah Jid: Okay, jom kita ke kedai Ayah Haji kat depan tu. Ayah Haji tu bagus dia tak jual aiskrim boikot.

Amir berhenti menagis. Ayah Jid tersenyum bangga kerana jerat mengena dan modul yang dibuatnya menjadi. Uslub yang diguna kena dengan tahap umur dan corak berfikir. Modul Oh Modul!

Ceriita 2

Su Ina seorang gadis sunti yang bermur 12 tahun dan bakal menduduki peperiksaan UPSR pada tahun ini. Su Ina amat rapat dan manja dengan kakak-kakak dan abang-abang selaku adik bongsu. Lantaran keterbatasan masa dan beban tanggungjawab kakak-kakak dan abang-abang yang mempunyai kerjaya mahupun hidup sendiri menjadikan keakraban bertambah apabila sekali-sekala si abang mahupun kakak pulang bercuti.

Suatu hari Abang Jid pulang bercuti ke kampung. Maka sekian banyak waktu dihabiskan bersama adik bongsu. Rasa bersalah terkadang hadir dalam hati lantaran melihat dunia adik bongsu yang terbelit di rumah bersama mak dan ayah seolah-olah semua tanggungjawab menggembirakan hati kedua ibu bapa dibebankan atas dia seorang. Tapi apakan daya dek kerana tuntutan belajar, dakwah dan kerjaya sepatutnya menjadikan kita tidak terikat dengan keluarga dan punya tanggungjawab yang lebih terhadap agama.

Rasa insaf hadir jua bila mengenangkan ulamak-ulamak besar seperti Imam Syafie yang terpaksa musafir jauh meninggalkan ibu yang sudah tua, Imam Nawawi pula korbankan hidup sendiri tidak berkerluaga lantaran menuntut ilmu dan menginfakkan diri demi agama serta ramai lagi. Apalah sangat diri jika mahu dibandingkan dengan ulamak-ulamak dahulu, jauh sekali dengan para sahabat yang hidup dan mati demi Islam.

Dalam rancak bergurau senda dan seolah-olah si abang lupa akan jarak usia yang tidak sesuai untuk berperangai sedemikian. Namun sememangnya ia disengajakan untuk menggembirakan Su Ina yang sekian lama kesunyian dunia animasi anak-anak seusianya dikabusi dunia kedua orang tua yang limpah kasih sayang yang tanpa sedar mengongkong Su Ina untuk terbang bebas memilih haluan. Namun si abang diamkan jua hal kongkongan lantaran sedar betapa luar sahaja daripada pagar rumah sebenarnya tersedia 1001 fitnah yang cuba merosakkan anak-anak gadis seusianya dengan harapan limpahan kasih sayang keluarga tidak akan menjadikan dia sunyi tidak keruan, pendendam dan terperangkap dalam inferiority complex (rasa rendah diri atau kecelaruan identiti).

Dalam lincah berlari dan berkejaran maka Su Ina terjelepuk jatuh di lantai dan lutut serta sikunya berdarah. Maka berlakulah dialog berikut :

Su Ina : Aduh sakitnya Abang Jid!

Kelihatan ada jernihan air mata yang mungkin bukan sengaja bergenang dikelopak mata Su Ina manifestasi dari rasa sakit yang teramat.

Abang Jid: Itu lah, lain kali hati-hati, nak jalan tu pakailah mata, tengok betul-betul. Ni tidak, main rempuh saja.

Su Ina : Okaylah lain kali Su Ina hati-hati

Abang Jid: Mari Abang Jid cuci luka tu dan sapukan ubat. Sikit saja ni, buat malu saja menangis.

Sambil mengesat air mata Su Ina membiarkan sahaja si abang menyapukan ubat pada luka. Sesekali mengetap bibir menahan sakit ketika si abang menyapu ubat pada luka.

Moralnya

Kedua-dua cerita tadi menggambarkan betapa modul amat penting dalam memastikan mesej yang ingin disampaikan dapat difahami oleh mad’u. Perbezaan umur dan tahap berfikir di antara Amir dan Su Ina memerlukan modul yang berlainan. Faktor umur kanak-kanak menjadikan Amir boleh dimodulkan dengan Aiskrim tapi tidak pada Su Ina. Ubat dan sedikit kiasan ‘jalan pakai mata’ mungkin menjadi modul buat Su Ina supaya berhati-hati lain kali dan berhenti menangis. Ini kerana tahap umur gadis sunti yang mampu berfikir secara logik dan realistik menyebabkan dia tahu hanya ubat luka sahaja yang boleh menghilangkan sakit dan menyembuhkan luka. Agak-agaknya kalaulah ditawarkan aiskrim pada Su Ina, apa akan berlaku? Saya tinggalkan persoalan tersebuat supaya menjadi ulit tidur sahabat-sahabat untuk dicerap masuk dalam kehidupan seharian.

KEAGUNGAN DAN KEKUATAN UMAT ISLAM

Oleh :

AHMAD ZIAD FAHMI BIN SHAFIE
USULUDDIN, AKIDAH FALSAFAH, KAHERAH

Alhamdulillah syukur kepada Allah Subhanahu Wataala yang mempertemukan kita dalam ruangan yang ringkas ini. Satu ruangan yang bukan sahaja untuk melihat dan mencerminkan diri kita bahkan satu ruangan untuk mempersada sejarah kita dan umat Islam. Tidak salah untuk belajar sejarah dan tidak salah untuk berbangga dengan sejarah, namun peristiwa semalam adalah suatu yang telah berlalu, yang penting bagi kita adalah merencana masa depan yang lebih bermakna.
Apakah ertinya Islam telah menguasai dua pertiga dunia kalau hari ini kita tidak boleh menguasai apa-apa pun? Apakah perlu kita berbangga dengan nobatan sejarah kegemilangan Islam yang pernah mewujudkan sebuah empayar besar kalau sekiranya hari ini kita tidak melakukan sesuatu untuk mendapat kecemerlangan. Sejarah menunjukkan kepada kita bahawa semuanya itu sebagai iktibar dan pengajaran bagi menilai kembali apakah yang mereka lakukan sehingga mereka telah mencapai satu tamadun keagungan yang amat dihormati dan disegani.
Untuk melihat keagungan mereka, kita harus mengkaji secara meyeluruh apakah yang ada pada generasi awal. Pengkajian kita tentulah tidak boleh menepikan wahyu Allah Subhanahu Wataala dan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Ini kerana penafian kepada sumber-sumber ini membawa erti bahawa kita hanya melihat kepada latar belakang yang zahir semata-mata.
Ada orang yang melihat kekuatan empayar Melaka di zaman Kesultanan Melayu Melaka kerana ada kapal yang baik, tentera yang canggih dan sebagainya. Namun apakah benar kenyataan ini? Betulkah dengan kekuatan fizikal sahaja menyebabkan mereka terkenal? Sepanyol sebuah negara yang unggul di suatu masa pemerintahan islam. marilah kita lihat dan memandang dalam pengkajian kita dengan beberapa unsur kekuatan yang disebutkan oleh Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis:
“Generasi ini akan berjaya, generasi awal akan berjaya”
Kata Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lagi “Mereka telah berjaya disebabkan oleh yakin mereka dengan islam (bil yakin) kerana keyakinan mereka, keyakinan dengan Allah Subhanahu Wataala, keyakinan dengan balasan dan janji Allah, keyakinan dengan perjuangan Islam, keyakinan untuk menengakkan satu sistem dan daulah, keyakinan mereka tentang azab neraka, keyakinan mereka tentang balasan kepada orang yang durhaka kepada Allah Subhanahu Wataala”.
Bentuk-bentuk keyakinan yang tergambar daripadanya boleh disimpulkan sebagaimana berikut :
1. Kecintaan kepada Allah Subhanahu Wataala dan RasulNya.
2. Ketakutannya kepada kemurkaan Allah yang membawa mereka kepada usaha untuk mencari keredhaanNya
Sebilangan manusia apabila kita menyebut tentang keredhaan Allah Subhanahu Wataala mereka menganggap ini urusan agama dan nilai-nilai spitual kitab konservatif.
Keredhaan Allah Subhanahu Wataala bermaksud melakukan sesuatu perkara yang Allah redha kepada kita dan sudah tentulah perkara itu baik. Begitu juga dengan manusia, samada muslim atau non-muslim. Sejarah telah mencatatkan sewaktu Islam sampai dan menguasai Mesir, sistem pemerintahan di Mesir bertukar kepada sistem pemerintahan Islam sedangkan rakyat mesir ketika itu menjoritinya bukanlah beragama Islam.
Amru Al-Asr telah dilantik sebagai gabenor di Mesir dan beliau sangat dihormati. Ini dapat disaksikan apabila golongan bukan Islam redha, harmoni bersama di bawah satu sistem yang tidak mengira bangsa, warna kulit, agama, bahkan memberi kebebasan untuk setiap agama mengamalkan perinsip agama masing-masing. Dalam masa yang sama ia tidak mendorong kepada nilai-nilai yang tidak baik. Justeru, apa yang penting bagi kita ialah untuk melihat kembali sejauh manakah bentuk dan nilai-nilai ini dapat kita contohi.
Secara umumnya, sebagai umat Islam kita memiliki lima kekuatan. Lantas ia mestilah digarap dengan baik lantaran menyedari bahawa kebimbangan negara-negara barat terhadap dunia Islam disebabkan lima perkara ini. Ia dapat diringkaskan sebagaimana berikut :

1. Bilangan umat islam yang ramai.
Kita harus mengakui bahawa umat islam bertaburan diseluruh dunia, di barat di utara di timur dan di selatan. Bilangan umat Islam yang ramai ini merupakan satu elemen kekuatan. Walau bagaimana pun kita harus mengakui juga bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah memberikan amaran, ramainya umat Islam akhir zaman seperti buih dilautan, bertaburan tanpa kesatuan.

2. Sumber galian dan bahan mentah yang banyak
Seluruh unsur-unsur dan sumber-sumber kekuatan dunia sebahagian besarnya berada di negara umat Islam seperti minyak, getah, kelapa sawit, gas asli dan banyak lagi bahan galian lain yang terdapat di negara Islam.
Justeru semua hasil-mahsul berharga ini merupkan kekuatan yang luar biasa jika dieksploitasi dengan baik dan diurus dengan sistematik. Jika dicongak taksir dengan mudah sumber galian ini mampu berfungsi sebagai senjata yang ampuh untuk menawan dan mengatasi negara barat. Seminggu sahaja negara Islam menghentikan bekalan ke Eropah, negara ini akan gelap dan kita harus akui hakikat tersebut.
Namun semuanya hanya mimpi semata seandai umat Islam masih lena dalam tipu daya negara kuasa besar masih mengharap teknologi mereka.

3. Sebahagian besar negara-negara Islam berada di tengah-tengah dunia. Ini dapat disaksikan apabila kita melihat kepada peta dunia. Ia benar-benar strategik dengan koordinat bertaburan dikelilingi negara-negara bukan Islam. Ini memberikan negara-negara Islam bonus dan merupakan satu eleman kekuatan. Serentak dengan itu kaabah yang berada di makkatal mukarramah menjadi pusat yang paling strategik dengan menjadi titik pertemuan dalam jaringan koordinasi jalan perhubungan dunia.

4. Seluruh perairan antarabangsa sebahagian besarnya melalui negara-negara Islam dan ini merupakan peluang keemasan bagi umat Islam untuk meawan hati manusia kembali kepada Islam sebagaimana sejarah pengislaman di nusantara suatu masa dahulu.

5. Hari ini umat islam juga telah mununjukkan satu ledakkan sedar baru, iaitu kesedaran bahawa betapa rosaknya nilai-nilai ideologi yang tidak berperinsipkan islam walau apa jua istilahnya samada sekulerisme, komunisme, sosialisme dan sebagainya. Lantaran itulah manusia kembali membuka mata dan mengagumi Islam.
Justeru, merujuk kepada sinopsis kajian dari barat, mereka menyebut satu perkara umat islam tidak ada hari ini iaitu Salahuddin Al-Ayubi yang kedua. Andainya muncul Salahuddin Al-Ayubi yang kedua, maka nescaya waktu itu umat Islam mampu menggarapkan kelima-lima kekuatan yang mereka ada. Natijahnya Islam akan bangun sebagai kekuatan yang luar biasa dan memberi ancaman kepada kuasa-kuasa besar barat.
Namun ini tidak bermakna Islam mengajak berperang dan membunuh sesuka hati. Sebaliknya Islam mengajar pendamaian. Islam mengajar hubungan yang baik dengan jiran tetangga berlandaskan prinsip.-prinsip tertentu selagimana hubungan kekuatan tersebut tidak sampai menjatuhkan martabat Islam dan menghina syariat.
Sebagai contoh yang lain, kita mampu bersabar namun sabar manusia ada hadnya. Justeru had dan batasan bagi orang mukmin adalah redha Allah Subhanahu Wataala kerana muslim yang benar meletakkan sepenuh pengharapan kepada Allah Subhanahu Wataala di atas segala usaha dan amalnya akan mencapai redha Allah Subahanahu Wataala. Sebaliknya ia tidak mengharapkan redha makhluk.
Maka marilah kita sama-sama berusaha meningkatkan martabat diri agar menjadi muslim yang benar-benar kasih dan cinta kepada Allah Subahanahu Wataala. Justeru, muslim yang baik adalah muslim yang benar-benar mencintai Allah dan RasulNya.

MASIHKAH ADA WAKTU BAGI KITA ?

Oleh :

Azmasukilawani binti Daud
Usuluddin (Tafsir) Kaherah
Zahirnya manusia diciptakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala di muka bumi ini dengan pelbagai ragam, rupa dan lahirnya dengan dilengkapi hati dan perasaan. Hati atau jiwa walaupun kecil bentuknya, tetapi ia adalah punca segala gerak-geri dan amal perbuatan manusia. Daripadanya terhasil perbuatan yang baik dan jahat.
Hati atau jiwa adalah pembentuk hidup seseorang. Ia memainkan peranan penting dalam menggerak, menghenti, memperelok atau mencederakan perbuatannya, sekalipun ia adalah tercipta dari seketul daging. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bermaksud:
“ Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah badan seluruhnya. Dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah badan sekaliannya. Ketahuilah! itulah hati. ”
Setiap dari kita mungkin mempunyai hati yang baik, hati yang keras, hati yang buta, hati yang sakit, hati yang rosak ataupun yang mati. Kemuncak kemusnahan seorang hamba Allah Subhanahu Wata’ala ialah apabila hatinya mati. Seorang yang mati hati dan jiwanya tidak lebih seperti bangkai bernyawa. Hakikatnya, ia telah mati sebelum mati yang sebenarnya.
Manakala hati yang buta sebagaimana Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam surah al-Hajj ayat 46 bermaksud:
“Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati di dalam dada”
Seseorang yang buta matanya di dunia tetapi celik hatinya adalah lebih baik dari mereka yang celik matanya tetapi buta mata hatinya. Dan yang lebih malangnya lagi kalau ada orang yang buta keduanya yakni mata dan hati...wa’auzubillahi min zaalik.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah menjelaskan bahawa hati yang baik dan tulus akan dizahirkan dengan tindak-tanduk perbuatan. Hati yang sejahtera sentiasa mengingati akan kebesaran Allah Subhanahu Wataala yang dihidupkan dengan sifat-sifat mahmudah dan menjauhi segala laranganNya.
Manakala hati yang rosak ialah hati yang telah dicemari oleh perbuatan yang labelnya adalah kemaksiatan sehingga tidak sedikit pun merasa takut akan larangan Allah Subhanahu Wata’ala. Baginya yang didapati adalah kerana kelazatan, kesukaan dan keseronokan hawa nafsu, malah nokhtah akhirnya adalah dosa dan neraka.
Semestinya begitulah hati manusia yang tidak lagi menyayangi dan mensyukuri nikmat Ilahi. Natijahnya membawa kepada kehinaan diri dan kemurkaan Allah.
Pernahkah kita berbicara dengan hati kita? Jenis yang bagaimanakah hati kita ini? Masih lagikah berada pada landasan Ilahi? Pujuklah hati tanyalah diri, apakah jenisnya hati kita ini?
Hati kita bilamana ia diwarnai dengan warna kejahatan dan kemaksiatan yang nyata dilarang oleh Allah Subhanahu Wata’ala, lambat laun akan terjunam ke lembah kehancuran. Lebih dahsyat lagi ialah apabila hati telah lumat dengan kemungkaran dan karat dosa yang melikat menyebabkan seluruh anggota badannya juga turut tidak boleh berfungsi sebaiknya.
Sememangnya kita tidak mahu dan tidak pernah pinta untuk menuju ke arah kesesatan hidup di dunia dan akhirat. Namun hakikat yang tercatat sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata’ala memberikan jawapan bahawa hanya dengan mujahadah dan kesungguhan akan membawa manusia kepada kesejahteraan. Firman Allah Subhanahu Wataala yang bermaksud:
“Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwanya dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorkan jiwanya” ( As-Syams: 9-10)
Hati juga boleh mati seandainya tidak diberikan makanan dan santapan yang sebaiknya dengan sentiasa dihidupkan dengan zikrullah, muhasabah, mujahadah melawan nafsu, muraqobatullah, keimanan yang kental, ketaqwaan kepada Allah Subhanahu Wata’ala, istighfar dan bertaubat. Ini kerana setiap satu dosa yang dilakukan tanpa dibersihkan dengan ikatan taubat dan istighfar akan memrbentuk setompok titik hitam padanya.
Bayangkanlah seandainya berpuluh-puluh dan ratusan dosa yang telah bertatah pada seketul hati yang bersih. Tanpa syak lagi saya katakan bahawa mana mungkin hati akan bersih dan tenang dengan kejahatan dan kemaksiatan yang sentiasa menyubur dan bergelegak panas di dalam diri dan hati sanubari. Pendek kata, mati hati maka rosaklah manusia .
Yang pastinya, selagi nyawa berbaki masih lagi ada waktu bagi kita untuk mengubati dengan mengikis karat mazmumah dengan mengutip kuntuman mahmudah lantas menghiasi kamar hidup ini dengan pugaran islah menuju redha Ilahi. Akan tetapi hati yang mati, iaitu hati yang sirna daripada nur Ilahi akan membawa manusia hanyut ke lembah kealpaan dan menjauhkannya dari hidayah Allah selagimana ia masih bersemadi dalam diri.
Dikesempatan yang terhad ini, dengan penuh rasa hormat dan kasih kepada sahabat semua, terpanggil saya untuk memaparkan beberapa pesanan sebagai tatapan bersama khususnya anak-anak Kelantan di bumi Mesir ini mengenai 10 TANDA-TANDA HATI YANG MATI oleh Syeikh Ibrahim bin Adham, ulamak zahid yang memiliki hati yang sepi dari fana dunia sekalipun kemewahan dunia terhampar penuh buatnya.
Justeru diharapkan pesanan ringkas ini akan memastikan kita benar-benar berusaha untuk memiliki hati yang suci bersih, hidup dan tunduk pada perintah Allah Subhanahu Wataala.
Antara peringatannya ialah sebagaimana berikut :

1. Kamu mengaku kenal Allah Subhanahu Wata’ala, tetapi kamu tidak menunaikan hak-hakNya.
2. Kamu mengaku cinta kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, tetapi kamu mengabaikan Sunnah baginda.
3. Kamu membaca al-Qur’an, tetapi kamu tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
4. Kamu memakan nikmat-nikmat Allah subhanu wata’ala, tetapi kamu tidak mensyukuri atas pemberianNya.
5. Kamu mengaku syaitan itu musuh, tetapi kamu mengikutinya.
6. Kamu mengaku adanya nikmat syurga, tetapi kamu tidak beramal untuk mendapatkannya.
7. Kamu mengaku adanya seksa neraka, tetapi kamu tidak berusaha untuk menjauhinya.
8. Kamu mengaku kematian pasti datang bagi setiap jiwa, tetapi kamu masih tidak bersedia untuknya.
9. Kamu menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi kamu lupa akan keaiban diri kamu sendiri.
10. Kamu menghantar dan menguburkan jenazah atau mayat saudara kamu seIslam, tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripadanya.
Kesimpulannya, hati adalah raja bagi sekalian anggota. Akal adalah menteri dan penasihatnya. Manakala seluruh anggota adalah rakyat jelatanya. Justeru, segala kebaikan dan keburukan amal perbuatan yang dizahirkan anggota adalah manifestasi suci dan kotornya hati.
Oleh yang demikian, maka kita hendaklah sentiasa memelihara kesucian hati kerana disanalah terletak segala punca dan sumber segala sesuatu. Malahan hati yang bersih adalah medan tertegaknya keimanan dan keyakinan yang benar. Mana mungkin dapat menatijahkan amalan yang baik dan keimanan yang jitu serta keyakinan yang benar mantap selagimana hati masih bergelumang dengan hasutan hawa nafsu. Sebagaimana yang diriwayatkan dari Anas dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:
“Tidak lurus iman seorang hamba hingga lurus (lebih dahulu) hatinya”
MASIHKAH ADA WAKTU BAGI KITA untuk mengubati hati ini menuju Ilahi?. Semestinya amat beruntunglah bagi mereka yang menyuburkan hatinya dengan baja ketaqwaan yang tercerlang terang dengan nur Ilahi. Lantas siramanya adalah iman yang menjanjikan ketenangan dan redha dari Yang Maha Esa. Namun semua ini tidak akan terhasil kalau hingga ke detik dan tika ini kita masih lagi hanyut dalam dunia yang kita cipta sendiri tanpa bertumas untuk memastikan iman terhias dihati dan terzahir dengan bukti.

ULAMAK ‘RICE COOKER’, BAGAIMANA DENGAN KITA ?

Oleh :

MUHAMMAD NAJID BIN ABDULLAH
KULIAH SYARIAH ISLAMIAH, KAHERAH

Sabda Nabi Sallalllahu Alaihi Wasallam
“Celakalah bagi ummatku yang terdiri dari kalangan ulama’ Suu’ sedang mereka adalah golongan yang menggunakan ilmu mereka untuk mendapatkan dunia dan mencapai kemegahan dan kedudukan’”
Rujuk Faidhul Qadir, Jilid ke 6 . Muka surat 369
Tersentak diri seketika apabila seorang sahabat mencadangkan agar istilah ‘Ulamak Rice cooker’ yang diperkenalkan oleh Ustaz Nasaruddin Tantawi dalam blognya dijadikan tajuk artikle Fajar Jumaat. Bertanya saya pada diri apakah benar wujud dalam dunia fitnah hari ini ‘ulamak rice cooker’? Adakah saya dan sahabat-sahabat Azhari juga tidak terlepas daripada cengkaman duniawi ini?
Lantas saya simpulkan dalam hati dan minda sedar, dek kerana kita hidup dan berdepan dengan suatu zaman yang nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sifatkan sebagai zaman Islam kembali dagang, maka tidak salah untuk saya membawakan istilah ini untuk menjadi tatapan bakal-bakal ulamak warga Kelantan Mesir. Bukan menuduh mahupun menghina tapi suka saya katakan setelunjuk jari ini menunding ke hadapan empat yang lain kembali pada diri. Rasa gerun hadir tersisip jauh di lubuk hati, takut-takut artikle ini disalah erti, apatah lagi menyedari akan diri belum layak digelar Azhari.
Apa pun saya optimis untuk berkongsi rasa dan harapan agar sama-sama kita pastikan digniti diri dan martabat ulamak tidak dikotori. Sudah tiba masanya kita meletakkan dalam hati sanubari kita hakikat ‘izzahnya diri dek kerana ilmu dan gelaran ulamak yang terpundak sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud :
“Allah mengangkat darjat orang yang beriman di antara kamu dan darjat orang-orang yang berilmu beberapa darjat” (Al-Mujadalah : 11)
Namun begitu pada masa yang sama juga, rasa izzah berilmu sepatutnya menjadikan kita manusia paling tawadhuk di lapangan dakwah dengan menyingsing lengan, bermandi keringat demi memastikan agama Allah mandiri di atas muka bumi ini. Firman Allah Subhanahu Wata’ala
“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di kalangan hamba-hambaNya adalah ulamak“ (Faathir : 28)
Justeru, ‘ulamak rice cooker’ yang cuba dibangkitkan dalam penulisan kali ini sebagaimana yang ditakrifkan oleh ustaz Nasaruddin Tantawi sebagai ulmak yang zahirnya kelihatan hebat berilmu namun lemah jiwanya. Bukan sahaja ia tidak mampu berkata hei si zalim ! kepada mereka yang berlaku zalim, malah ilmu dan segala pengiktirafan (sijil) kesarjanaannya dijadikan peluang dan anak tangga untuk mencapai perolehan lumayan sehingga tergamak ia mendiamkan diri terhadap penyelewengan, maksiat dan mungkar yang berlaku di hadapannya.
Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam :
“Apabila engkau melihat ummatku takut maka tidak berani berkata kepada orang yang berlaku zalim , wahai si zalim maka diucap selamat tinggal daripada mereka”
Riwayat al Hakim di dalam al MustadrakJuzuk 4 . Muka surat 108Cetakan darul Kutub al I’lmiyyah Beirut
Sedar atau masih mamai, suka atau benci akan hakikat staffing diri dalam entiti masyarakat selaku ulamak, seharusnya membawa kita menyedari akan izzah ilmu yang dimiliki. Natijahnya menjadikan kita lebih berwaspada dan peka dengan apa yang berlaku seputar, lebih-lebih lagi apa yang berkait dengan Islam dan umatnya.
Justeru, ‘Ulamak Rice Cooker’ sepatutnya dijadikan garis sempadan sedar dan insaf akan taklifan diri. Lantas, ia sepatutnya tidak lagi menjadikan kita asyik, alpa dan leka dengan dunia yang kita cipta sendiri dengan konsultan tatariasnya adalah syaitan.
Berfikir saya sejenak ketika hampir separuh melakar setip bait kata dengan istilah yang mengkesikkan telinga selaku bakal ulamak atau paling tidak dikatakan berkelulusan agama. Bagaimana mungkin saya tegar meningggalkan artikle ini disalah erti tanpa saya mengemukakan pandangan ulamak atau paling tidak menunjukkan jalan keluar agar penangan ‘ulamak rice cooker’ tidak terpalit pada semua bakal ulamak Azhari.
Justeru, saya kemukakan pandangan Ustaz Fathi Yakan dalam bukunya yang menjadi rujukan ulamak murabbi “Apa Ertinya Saya Menganut Islam, dalam ‘item’ saya mestilah dapat menguasai diri” yang saya rasakan mampu menjadi penawar kemandoman momentum dakwah dan ulamak hari ini. Bukan menuduh apa lagi menghina-caci-maki tetapi inilah hakikat yang tersirat di benak minda masyarakat yang membarah dan seakan hilang rasa percaya apatah lagi ulamak muda seperti kita hari ini.
Saya ringkaskan pandangan ustaz Fathi Yakan sebagaimana Berikut :
Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam
“Fitnah cubaan akan dibentangkan kepada manusia seperti tikar, satu demi satu. Mana-mana hati yang dipengaruhinya tercatitlah di hati itu suatu titik hitam. Mana-mana hati yang mengingkarinya tercatitlah pada hati itu satu titik putih, hinggalah hati itu menjadi salah satu dari dua jenis hati ; samada putih seperti batu putih yang tidak akan dicacatkan oleh sebarang fitnah atau menjadi hati yang hitam pekat, tidak mengenal maaruf dan mengingkari sebarang kemungkaran”
(Hadis Riwayat Muslim daripada Hudzaifah Ibn Yaman)
Justeru, beliau membahagikan perbincangan kepada 2 skop iaitu :

1. Pembahagian golongan manusia dalam menghadapi pertarungan jiwa.
i) Golongan yang dapat ditewaskan oleh hawa nafsu dan tunduk kepada kemewahan dunia dan kekal dalam keduniaan
ii) Golongan yang berjihad melawan hawa nafsu, terkadang menang dan ada masanya tewas namun sentiasa bertaubat.
iii) Golongan maksum iaitu nabi dan rasul
2. Sendi kekuatan dalam pertarungan jiwa
i) Hati - hati yang hidup, lembut, bersih dan cekal sebagaimana kata-kata Saidina Ali Karramallahu wajhah :
“Allah mempunyai bejana di bumi, iaitu hati. Hati yang Allah paling kasihi ialah hati yang paling lembut , bersih dan cekal”
ii) Akal - Akal yang dipandu petunjuk Ilahi dan dapat membezakan antara hak dan batil serta mampu memadu jasad untuk melahirkan deklarasi akal melalui perantara samada lisan mahupun bukti.
Tuntasnya, ‘Ulamak Rice Cooker’, bagaimana dengan kita? Lantas, mana mungkin mampu kita lawan fitnah dunia tanpa kita perkasakan jiwa dan himmah diri. Pastikan diri tidak berseorangan kerana ‘kambing yang jauh daripada kumpulan akan mudah dimakan serigala’. Lantas pastikan kesatuan dan kebersamaan kita dalam menongkah arus fitnah selaku ulamak muda, pelapis ulamak yang bermaruah dengan sentiasa paksikan iman di hati dan ingat mengingat sesama kita, bakal ulamak Azhari.

SAPULAH AIR MATA ITU

Oleh :
WAN BALQIS BINTI WAN IBRAHIM
KULIAH USULUDDIN, KAHERAH

Sedang rancak bertukar khabar dengan seorang exco siswi, muncul seorang senior di pintu Pejabat Siswi KPKM. Salam diucap, senyuman diukir manis. Namun saya segera mengesan sisa air jernih di kelopak matanya. Atas dasar ukhuwah fillah, senior tadi menyatakan sebab setelah diminta. Rupanya dia baru pulang dari cyber café, menelefon keluarga di tanahair. Senior tadi mula bercerita.

“Adik terpilih menerima zakat dari pihak sekolah sebanyak RM300. Adik bagi RM200 pada ayah, dan minta masukkan ke akaun Kak Ngah,” petah si bongsu 13 tahun senior saya, bercerita di corong telefon. “Kak Ngah mesti ingat adik ada bahagian tolong Kak Ngah belajar di Mesir tau. Cepatlah balik ya?” airmata yang cuba ditahan laju menuruni pipi si kakak.

Terharu dengan sikap si bongsu sanggup berkongsi wang milik sendiri dan tahu mengenang kesusahan ibu bapa menyekolahkan mereka. Walau tidak seberapa, paling tidak bulan ini si ayah tidak perlu keluarkan wang untuk keperluan kakaknya di Mesir.

Apa yang membuatkan senior saya begitu sedih, malam sebelum menelefon, beliau tidak membelek buku walhal imtihan tinggal 20 hari sahaja lagi. Saya tahu senior saya ini rajin belajar, juga ringan tulang menolong kerja-kerja persatuan. Mungkin malam itu dia lena dalam dakapan saratoga disebabkan kepenatan mengurus dan menghadiri kelas tambahan, lebih-lebih lagi beliau merupakan salah seorang mas’ulah UKB tahun 4.

Hati saya terusik. Cuba mengawal suasana, lalu terkeluar jenaka di bibir. Dalam masa yang sama cuba menyembunyikan perasaan sebenar di hati. Bukan isu airmata yang ingin dibicarakan di sini, namun di sebalik cerita senior tersebut, terselit sebuah pengajaran…sebuah kisah harapan. Ayuh sapulah air mata itu.
Lantaran mengenang harapan keluarga, guru-guru dan harapan negara serta Islam sebenarnya, maka kita gagahkan kaki menapak ke bumi ini. Kerana sebuah harapan dari insan-insan tersayang, imtihan kali ini juga kita akan tempuhi setelah berbulan-bulan menghadiri kuliah. Di bahu kita tersandar harapan, bermakna kita sekarang sedang menyandang sebuah amanah!

Bukan hanya dengan menjadi YDP KPKM, amanah akan terpundak, atau dengan memegang title Presiden PMRAM, maka amanah akan terpikul di bahu. Bahkan pengorbanan berjauhan beribu-ribu kilometer dari keluarga dan bumi kelahiran, juga disebabkan ingin melunaskan sebuah amanah sebagai tullabul ‘ilm.

Sahabat-sahabat!

Semua mahu najah dalam imtihan kali ini. Yang mustajid mahu naik tahun, yang i’adah mahu sofiy tahun ini, pelajar tahun akhir pula mahu pulang berbakti. Ya, semua akan kata mahu najah jika ditanya. Najah dengan imtiyaz, jayyid jiddan atau jayyid. Sesetengah pula menyatakan kalau dapat maqbul pun jadilah. Tidak mahu berlama-lama di sini. Sudah banyak masa dikorbankan, sudah beribu Ringgit Malaysia ayah habiskan untuk anaknya ini. Namun adakah tindakan kita selari dengan apa yang dicita-citakan?

Kenapa kita sering tewas dengan benteng-benteng penghalang? Selalu gagal mencapai target yang ditetapkan. Selalu mengalah dengan ajakan saratoga tercinta, lebih-lebih lagi di faslus syita’ ini. Benar, pelbagai mehnah dan tribulasi yang merintangi, mengakibatkan perancangan yang diatur gagal terlaksana. Tepat sebagaimana kata-kata yang pernah dilontarkan oleh seorang pensyarah kolej saya sebelum terbang ke bumi anbiya’ ini. Pesan beliau :

“Antum gagal imtihan merupakan ujian. Najah pun satu ujian. Sistem pengajian di al-Azhar juga bakal menguji antum berjaya atau tidak untuk terus berdiri teguh, mengutip mutiara ilmu di sana,” sambung beliau “mahu tidak mahu antum semua akan melalui seribu satu ujian, lebih-lebih lagi apabila bergelar penuntut ilmu agama Allah.”

Semua makruf, tidak dinamakan hidup andai tiada masalah menghalangi. Di ardhil kinanah ini, masalah tidak cukup belanja, terpaksa dan tersengaja study di saat-saat akhir, suasana yang tidak membantu dan banyak lagi faktor-faktor yang menghantui. Cuma bagaimana kita menghadapi dan mengatasinya, itulah yang bakal menentukan corak dan halatuju hidup kita pada masa hadapan. Saya tergamam apabila diberitahu oleh seorang kakak dari negara seberang mengenai rahsia kejayaan beliau. Katanya, paling kurang wajib khatam kitab sebanyak 16 kali. Tidak peliklah beliau usai ijazah pertama dan M.A. dengan taqdir imtiyaz.

Itu rahsia kecemerlangan dan cara beliau study. Rata-rata pelajar cemerlang yang saya kenali menasihatkan agar menyiapkan nota setiap kali muhadarah berakhir. Namun ada juga yang mampu berjaya hanya dengan membaca kitab tanpa nota. Kadang-kadang dengan mengajar di kelas tambahan pun merupakan satu langkah study yang baik.

Tidak kira apa jua kaedah atau cara belajar yang dirasakan sesuai untuk diri masing-masing pilih, silakan.

Persoalannya, adakah langkah untuk menyempurnakan keinginan bergelar al-najihun telah anda mulakan? Adakah sifat dan ciri-ciri manusia al-falah telah dilazimi dalam diri masing-masing? Tepuk dada, tanya hati dan iman, sejauhmanakah kita telah berusaha untuk melunaskan harapan dan amanah ibu bapa, keluarga dan suruhan agama dimaksimakan.
قال الشافعي :
شكوت إلى واكع عن سوء حفظي #
فأرشدني عن ترك المعاصي
وعلمني بأن العلم نور #
ونور الله لا يهدى للعاصي

Jaga hubungan dengan Allah, tinggalkan maksiat; agen perosak amal dan nur Ilahi. Mudah-mudahan Allah lorongkan kejayaan untuk anda. Andai tidak berjaya di dunia, insya Allah dibalas di hari muka kelak.

Jadilah burung kecil ketika ditegur malaikat akan tindakannya yang mungkin sia-sia; berulang-alik membawa air di paruh untuk memadamkan api besar yang membakar Nabi Ibrahim a.s. ketika baginda ingin dihapuskan penyembah-penyembah berhala ketika itu. Mana mungkin air di paruh mampu memadamkan api yang besar itu? Jawab si burung:

“Paling tidak aku ada jawapan ketika disoal Allah Taala kelak (untuk menolong Ibrahim)”


Ayuh mulakan usaha sekarang, sapulah air mata itu kerana DI PUNDAKMU TERPIKUL AMANAH UMMAH! Selamat berimtihan, Selamat Hari Raya Aidil Adha. Allahu Akbar, Allahu Akbar. Allahu Akbar.